Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Ketika Hujan Yang Mujarab Dan Senang Untuk Dihafal

doa ketika hujan

Sumber: Adobe Stock

Hampir semua orang tahu bahawa hujan itu adalah suatu rahmat. Membuat doa ketika hujan telah menjadi kebiasaan bagi ramai orang juga.

Air hujan bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan tumbuh-tumbuhan, terutamanya dalam pertanian, tetapi ia juga menyediakan akses kepada air yang bersih, membuang habuk dari udara dan menyahtoksiknya, dan banyak lagi kebaikan hujan!

Highlighted

Sumber: Adobe Stock

Jadi tidak hairanlah ia dikatakan suatu rahmat memandangkan ia mendatangkan kebaikan untuk banyak perkara. Disebabkan itu, doa ketika hujan adalah antara doa yang paling mustajab dan mudah termakbul!

Dalam hujan terkandungnya 1001 rahmat dari Allah s.w.t. yang merupakan tanda kasih sayang Allah kepada makhluk-Nya.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Dan Kami turunkan air daripada langit berupa hujan yang penuh dengan keberkatan dan manfaatnya sekali gus menyuburkan tanaman serta kebun dengan hasil yang lumayan yang dituai.”

Surah Qaf: Ayat 9

Tambahan pula, doa ketika hujan tergolong antara doa yang tidak ditolak sebagaimana disebutkan daripada Sahl bin Sa’ad r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Dua doa yang tidak akan ditolak: Doa ketika azan atau selepas daripada azan dan doa ketika turunnya hujan.”

Hadith riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 2534

Begitu hebatnya kuasa berdoa ketika hujan! Jadi setiap kali hujan tak kira di mana anda berada, janganlah lepaskan peluang untuk berdoa ketika itu!

Lagi-lagi pada waktu musim di mana hujan kerap turun di negara kita. Warga Islam di Malaysia memang beruntung!

Sumber: Getty Images

Doa Ketika Hujan Yang Mustajab Dan Mudah Dimakbulkan

Doa ketika hujan ini sebenarnya pendek sahaja, memang senang untuk dihafal. Nabi Muhammad s.a.w. mengajarkan kepada umatnya apabila melihat hujan turun agar berdoa dengan doa ini:

Bacaan dalam RUMI:

Allahumma soyyiban naafi’an

Maksud:

“Ya Allah turunkanlah pada kami hujan yang bermanfaat.”

Sumber: Adobe Stock

Imam Ibn Hajar (jilid 2, halaman 668-669) dalam mensyarahkan hadith ini mengatakan:

“Bahawa doa ini adalah mustahab (sunat dan digalakkan) dibacakan selepas turunnya hujan bagi menambahkan lagi kebaikan dan keberkatan serta menjauhi musibah daripada sebarang kemudharatan”

Tambahan pula, telah menjadi amalan Nabi Muhammad s.a.w. apabila melihat awan gelap atau pun hujan turun dan Baginda s.a.w. akan berdoa kepada Allah s.w.t. supaya awan atau hujan tersebut membawa rahmat dan bukannya musibah seperti yang disebut dalam sebuah hadis yang bermaksud:

Daripada Aisyah RA, isteri Nabi SAW berkata:

” Rasulullah s.a.w. apabila melihat mendung di langit, Baginda berganjak ke depan, ke belakang, atau beralih masuk atau keluar dan berubahlah raut wajahnya. Maka apabila hujan turun, Baginda mula menenangkan hatinya dan hilanglah kekhuatirannya.

Lantas Aisyah berkata; “Maka saya pun menanyakan hal itu, lalu Baginda menjawab: “Saya khuatir, kemungkinan ini menjadi azab yang ditimpakan ke atas umatku.” Dan ketika melihat hujan turun Baginda bersabda: “(Ini adalah) rahmat.”

Hadith riwayat Muslim, no. 899

Begitulah besarnya rahmat hujan di dalam Islam. Di samping doa ketika hujan yang disebutkan tadi, anda juga bolehlah menyelitkan apa-apa doa yang ingin dibacakan.

Moga Allah s.w.t. menjadikan setiap hujan yang turun itu suatu rahmat dan keberkatan dari-Nya dan bukanlah suatu azab. Semoga bermanfaat.