Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Majlis Kesyukuran Yang Sesuai Untuk Semua Majlis

Doa Majlis Kesyukuran

Kredit gambar: motor-kapcai.blogspot.com/

Jika direnungkan kembali, begitu banyak nikmat dan anugerah yang telah dikurniakan kepada kita. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah, Maha Sempurna daripada sebarang kekurangan.

Adalah merupakan akhlak yang elok jika kita sebagai hambaNya mensyukuri segala nikmatnya ini. Banyak cara yang boleh kita lakukan untuk menzahirkan rasa syukur ini. Salah satunya adalah dengan mengadakan majlis kesyukuran dan memberi makan kepada orang ramai.

Doa Majlis Kesyukuran Yang Sesuai Untuk Semua Majlis

Dalam majlis kesyukuran yang diadakan, sebaiknya mulakanlah majlis dengan selawat dan doa majlis kesyukuran terlebih dahulu.

Dalam perkongsian kali ini, Motherhood ingin kongsikan beberapa doa majlis kesyukuran yang elok maknanya untuk dibaca dan diaminkan bersama-sama:

Doa Majlis Kesyukuran 1

Highlighted


Segala kepujian dan kesyukuran dipersembahkan ke hadhratMu Ya Allah di atas limpah rahmah perlindungan kepada kami sekalian dengan aman tenteram, sihat wal’afiat dan selamat sejahtera. Kami memohon kepadaMu Ya Allah semoga diperkukuhkan perpaduan, dipereratkan persaudaraan dan diperkuatkan keazaman, hasrat dan cita-cita agar sentiasa mendapat keredhaanMu Ya Allah.

Kami juga memohon kasih sayangMu Ya Allah agar jiwa dan kehidupan kami berada dalam aman di dunia agar kami dapat mengimarahkan bumi sepertimana yang Engkau perintahkan, maka daripada Engkaulah sahaja Ya Allah kami memohon bantuan dan pertolongan.

Kami dengan segala rendah diri memohon agar Engkau kurniakan kami dan hamba-hambaMu sekalian dengan taufik dan hidayah, sentiasa di bawah pimpinan dan petunjukMu Ya Allah, mudah-mudahan segala usaha dan amal yang kami tunaikan akan mendapat sepenuh kejayaan dalam keredhaan dan restuMu di sepanjang zaman.

Berkatilah negara Malaysia ini dan rahmatilah di bawah perlindunganMu sekalian yang bersangkutan dengannya semoga mendapat pertunjuk dariMu ke jalan yang Engkau redhai serta dengan penuh kehormatan dan kesucian, di samping meninggikan syiarMu dalam semua bidang.

Peliharakanlah kami dan negara kami daripada segala bala bencana. Jauhkanlah kami sekalian daripada segala ancaman dan pengkhianatan. Bersihkanlah negara kami dari segala anasir jahat. Pandulah kami semua ke jalan yang benar, adil dan saksama dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Kekalkanlah Ya Allah kebenaran, keadilan, perpaduan, ketenteraman dan kemakmuran dalam negara bertuah ini.

Kredit gambar: www.islam.gov.my/

Doa Majlis Kesyukuran 2

Ya Allah, Ya Tuhan kami, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, kami berhimpun pada hari ini berdoa memohon rahmat dan hidayah dariMu.

Semoga dengan rahmat itu,
Engkau berikan petunjuk kepada kami, Engkau perkukuhkan perpaduan kami,
Engkau memperbaiki urusan Agama dan dunia kami.

Ya Allah, Ya Tuhan kami yang memiliki segala kekuasaan dan kemuliaan, kurniakanlah taufik dan hidayahMu kepada kami, restuilah perancangan kami, bimbinglah kami dengan petunjukMu yang berterusan. Pimpinlah kami sekalian ke jalan yang lurus dan benar yang membawa kepada ketenteraman dan kesejahteraan. Hindarkanlah kami sekalian dari segala malapetaka dan sifat-sifat yang keji. Selamatkanlah kami sekalian daripada perselisihan yang boleh membawa perpecahan dan kebinasaan. Anugerahkanlah kepada kami kekuatan dan keupayaan untuk merangka strategi dan dasar negara bagi mencapai kecemerlangan dan kesejahteraan serta matlamat wawasan sebagaimana yang kami cita-citakan.

Ya Allah, Ya Tuhan kami, kami pohonkan limpah rahmat, taufik dan hidayah bagi pemimpin-pemimpin dan seluruh rakyat negara yang tercinta. Mantapkanlah semangat dan keazaman mereka dengan penuh kesabaran dan bertawakkal kepadaMu dalam memikul tanggungjawab memajukan negara supaya disanjung tinggi, bertaraf dunia dan disegani, di bawah ri’ayahMu dan naunganMu.

Kredit gambar: www.islam.gov.my/

Doa Majlis Kesyukuran 3

Ya Allah Ya Tuhan kami, kami bersyukur tidak terhingga atas limpah kurniaMu dan memohon keberkatan yang berterusan dalam setiap perancangan dan seterusnya mengambil keputusan sebagai panduan dalam mentadbirkan urusan negara kami Malaysia yang tercinta ini dengan kemas dan teratur. Semoga segala nikmat di bumi yang bertuah ini kami berjaya manfaatkannya sebagai meningkat dan memantapkan ekonomi negara kami.

Ya Allah, Ya Tuhan kami, kami memohon peliharakanlah hamba-hambaMu dalam sihat wal’afiat dan aman sentosa sepanjang hayat.

Ya Allah, kami memohon limpah kurnia taufiq dan hidayah agar para pemimpin di segenap lapisan dan peringkat, pegawai-pegawai dalam semua tingkatan Persekutuan dan Negeri, serta seluruh rakyat Malaysia, seia sekata berganding bahu melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas dan penuh semangat, berkerjasama bermuafakat untuk memaju dan memakmurkan negara dan mempertahankan kesucian agama kami, membimbing rakyat kearah mencapai wawasan negara.

Kredit gambar: www.islam.gov.my/

Doa Majlis Kesyukuran 4

Ya Allah kami memohon agar pertemuan mesyuarat ini dianugerahkan hidayah dan taufik agar urusan harian kami berjalan dengan lancar, beroleh kejayaan dan keberkatan.

Ya Allah, kami dipertanggungjawabkan dengan amanah yang berat, maka anugerahkanlah kepada kami keupayaan dan kemampuan untuk melaksanakan
amanah dan tanggungjawab tersebut.

Jadikanlah majlis ini sentiasa mendapat pertunjuk ke jalan yang diredhai serta hindarkanlah hati-hati kami dari sifat-sifat buruk yang boleh merosakkan
keharmonian dan perpaduan.

Selamatkanlah kami dan jadikanlah zaman ini zaman yang bertambah-tambah aman dan tenteram semoga negara kami terus maju lagi makmur dan rakyat dapat hidup bersatu, bantu-membantu di antara satu sama lain demi kesejahteraan bersama.

Kredit gambar: www.islam.gov.my/

Doa Majlis Kesyukuran 5

Ya Allah Ya Tuhan kami, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, kami berhimpun di majlis yang mulia dan bersejarah ini memohon rahmat dan hidayah dari sisiMu.

Semoga dengan rahmat itu,
Engkau berikan hidayah dan petunjuk dan menyatukan pemikiran kami, Engkau perkukuhkan perpaduan kami, Engkau hindarkan fitnah dan pertelingkahan di kalangan kami, Engkau memperbaiki urusan agama dan dunia kami.

Ya Allah, kami memohon taufiq dan hidayahMu dalam setiap perkara dan restuilah perancangan dan pembangunan yang disusun dan diatur oleh kami dalam usaha memajukan negara kami. Bimbinglah para pemimpin kami yang memikul amanah dan tanggungjawab dalam pentadbiran negara kami dengan sinaran petunjukMu yang berterusan. Pimpinlah kami sekalian ke jalan yang lurus dan benar yang membawa kepada ketenteraman dan kesejahteraan. Hindarkanlah kami sekalian dari segala malapetaka dan sifat-sifat keji, hasad dengki, boros, dan semua sifat negatif. Ya Allah selamatkanlah kami sekalian dari perselisihan yang boleh membawa perpecahan dan kebinasaan. Anugerahkanlah kepada kami kekuatan dan keupayaan untuk merangka strategi dan dasar negara bagi mencapai kecemerlangan dan kesejahteraan serta matlamat wawasan sebagaimana yang kami cita-citakan.

Kami pohonkan limpah rahmat, taufiq dan hidayat bagi pemimpin kami di segenap lapisan dan seluruh rakyat negara yang tercinta. Mantapkanlah semangat dan keazaman mereka dengan penuh kesabaran dan bertawakkal kepadaMu dalam memikul tanggungjawab memajukan negara dan agama supaya disanjung tinggi dan disegani.

Kredit gambar: www.islam.gov.my/

Doa Majlis Kesyukuran 6

Ya Allah, kami pohon perlindungan dariMu dari segala hasutan syaitan mahu pun kejahatan insan, kami pohon keselamatan dan kesejahteraan agar hidup dalam aman dan tenteram, selamatkanlah kami dari segala keburukan, jauhkanlah kami dari segala bala, wabak mahu pun penyakit yang menyusahkan.

Ya Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Mengetahui apa yang tersirat dalam hati dan sanubari kami, Engkaulah yang lebih mengetahui hajat dan tujuan kami pada saat ini, kami mengakui dengan penuh kesedaran dan keinsafan tentang kebesaran dan kekuasaanMu Ya Allah. Lantaran itu kami menadah tangan di samping memohon keselamatan dan kesejahteraan yang berterusan, kami juga ingin melahirkan kesyukuran yang tidak terhingga atas nikmat keselamatan dan kesejahteraan yang telah Engkau kurniakan.

Ya Allah, Engkaulah yang lebih mengetahui tentang hati dan perasaan kami, kami yakin bahawa hanya kudrat dan iradatMu sahaja yang dapat menyelamatkan kami dari segala rupa bentuk keburukan mahu pun bala bencana, hanya kekuasaanMu jua yang telah menyelamatkan kami dari segala maksiat mahu pun wabak yang sedang melanda kami.

Ya Allah, kemurahanMu kami pohonkan, ihsanMu kami harapkan, Rahman dan RahimMu kami pinta, semoga kami sentiasa dilindungi dan dinaungi dengan sepenuh riayah dan pemeliharaanMu, kami akui bahawa kami sentiasa terdedah kepada bahaya dan keburukan, lebih-lebih lagi manusia yang mempunyai hasad dengki di atas sedikit kelebihan yang dikurniakan kepada kami, justeru itu, kami pohonkan Ya Allah, Engkau peliharakanlah serta hindarkanlah kami daripada segala bahaya dan keburukan itu.

Sekiranya keburukan telah Engkau qadha ke atas kami, sekiranya kecelakaan telah Engkau tetapkan akan menimpa kami, maka dengan Rahman dan RahimMu Ya Allah kami pohonkan, hindarkanlah kami dari segala keburukan dan kecelakaan itu, agar dapat kami hidup lebih bererti dan lebih bermakna.

Kredit gambar: www.islam.gov.my/

Semoga dengan doa majlis kesyukuran ini, Allah melimpahkan rahmat dan barakahNya buat kita semua. InsyaAllah..

Sumber: JAKIM


Rujuk panduan solat, zikir, doa dan ibadah-ibadah lain DI SINI.