Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Majlis Pertunangan Untuk Keselamatan dan Keberkatan Bakal Pengantin

doa majlis pertunangan

Kredit gambar: istockphoto

Dalam agama Islam, pertunangan antara lelaki dan perempuan diadakan kerana janji dan niat untuk berkahwin dan menjadi suami isteri kelak.

Ketika majlis pertunangan diadakan, yang utama adalah menjemput berkat dari Allah dan doa untuk pasangan bertunang itu, semoga yang baik-baik dikurniakan untuk kedua-duanya di dunia dan di akhirat.

Doa dilafazkan dengan harapan agar pasangan ini diberkati, dilindungi daripada segala keburukan dan kejahatan serta dipermudahkan urusan mereka dalam usaha untuk mengikat pertalian yang sah nanti.

Doa Majlis Pertunangan Untuk Bakal Pengantin

Highlighted

Kredit gambar: aziekitchen.com

Ketika majlis itu berlangsung, sebaiknya doa majlis pertunangan ini didoakan oleh wakil yang membacanya dengan kuat dan jelas, supaya dapat diaminkan oleh para tetamu yang hadir:

Alhamdulillahi robbil ‘aalamiin. Wassolaatu wassalaamu ‘alaa asyrafil anbiyaai wal mursaliin. Wa ‘ala aalihi wasohbihi ajma’in.

Ya Allah Ya Tuhan kami, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, kami berhimpun di majlis yang mulia dan bersejarah ini memohon rahmat dan hidayah dari sisiMu.

Semoga dengan rahmat itu,
Engkau berikan hidayah dan petunjuk dan menyatukan pemikiran kami, Engkau perkukuhkan perpaduan kami, Engkau hindarkan fitnah dan pertelingkahan di kalangan kami, Engkau memperbaiki urusan agama dan dunia kami.

Ya Allah,
Engkaulah yang mempunyai segala kepujian, Engkaulah yang berhak menerima segala kepujian, Engkaulah yang berhak menerima segala kesyukuran, Engkaulah yang memiliki segala pemerintahan, di tangan Engkaulah segala kebajikan, kepada Engkaulah kembali segala urusan.

Ya Allah,
Sumber segala barakah, curahkanlah berkatMu atas lambang cinta ini dan bimbinglah kedua saudara kami dalam masa pertunangannya. Semoga mereka mencari kehendakMu dengan hati yang ikhlas dan mendapat kebaikanMu yang melimpah.

Ya Allah Ya Tuhan Kami,
Sumber segala cinta kasih, kerana ehsanMu, dua pasangan muda ini dapat saling bertemu. Kini mereka memohon rahmatMu untuk memasuki fasa pertunangan dan mempersiapkan diri untuk gerbang perkahwinan. Kami mohon, kuatkanlah mereka dengan berkatMu yang melimpah. Semoga dalam masa pertunangan ini, mereka kian hari kian saling menghargai dan saling mengasihi dengan kasih sejati.

Ya Allah Ya Tuhan Kami,
Kasih setiaMu berlimpah bagi kami. Engkau menganugerahkan Hawa kepada Adam sebagai penghibur dan teman berkongsi suka duka kehidupan, sesuai ciri peribadinya dan setia sepanjang hidup. Perkenanlah dan berkatilah cincin ini, lambang niat suci, hati yang jujur, dan kasih yang murni, agar saudara-saudari kami yang memakainya selama tempoh pertunangan, saling belajar mengenal, dijauhkan dari hawa nafsu tak teratur, menjalin persaudaraan yang suci murni, sehingga terlaksanalah keperibadian yang saling mengisi, saling melengkapi antara satu sama lain; semoga tercapailah cita-cita mereka membina sebuah keluarga yang bahagia.

Kami memuji Engkau, Ya Allah, sebab dengan pengharapan yang lembut Engkau menggerakkan hati dan menyiapkan hambaMu (nama lelaki) dan hambaMu (nama perempuan) untuk saling mencintai. Kami mohon, kuatkanlah hati mereka, agar mereka menjalani masa pertunangan ini dengan bertumpu kepada iman, dan dalam segala hal berusaha berkenan kepadaMu, sehingga akhirnya sampai ke gerbang perkahwinan.

Rabbana aatinaa fiddunya hasanah. Wa fil aakhirati hasanah, waqinaa ‘azaabannaar. Subha narabbika rabbi izzati amma yasifunn. Wasalaa mun ‘alal mursaliin. Walhamdulillahi robbil ‘aalamiin.

Kredit gambar: ohmedia.my

Semoga Allah Memakbulkan Doa Majlis Pertunangan

Yang penting adalah bukan kemegahan majlisnya, tetapi keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T. pada majlis pertunangan itu.

Semoga segala inti pati doa majlis pertunangan ini dimakbulkan dan berkat keikhlasan doa daripada tetamu yang hadir, Allah mengurniakan rahmat untuk majlis ini dan kesemuanya.


Dapatkan panduan doa-doa dan ilmu keagamaan yang lain di SINI.