Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Lengkap Doa Malam Lailatul Qadar Malam Yang Penuh Berkah Beserta Dalil Sahih

doa malam lailatul qadar

Kredit gambar: galamedia.pikiran-rakyat.com

Bagi mendapat kemuliaan, kelebihan dan keutamaan malam lailatul qadar, Rasulullah S.A.W menganjurkan bagi umat Islam untuk memperbanyak membaca doa malam lailatul qadar sambil beritikaf di dalam Masjid bagi memohon keampunan kepada Allah S.W.T.

Malam lailatul qadar merupakani salah satu malam yang menyimpan keutamaan yang melimpah, malam yang penuh dengan kebaikan dan kelebihan bahkan ia juga dipercayai lebih mulia dibanding dengan 1000 bulan.

Malah, ketika tiba 10 malam yang terakhir di bulan Ramadan, baginda Rasulullah S.A.W juga menunjukkan kesungguhan yang luar biasa dan hebat dalam mengejar malam Lailatul Qadar seperti diceritakan oleh Aisyah r.a, beliau menceritakan bahawa:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ الأوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ أَيْقَظَ أَهْلَهُ وَشَدَّ المِئْزَرَ وَأَحْيَا اللَّيْلَ

Maksudnya:

“Adapun Rasulullah S.A.W apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda SAW membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut”.

(Hadis Riwayat Ibn Hibban, no. 3436)

Salah satu amalan sunnah yang menjadi keutamaan pada malam istimewa ini antaranya adalah dengan memperbanyakkan berdoa pada malam Lailatul Qadar.

Untuk mengetahui apakah doanya, jom ikuti perkongsian di bawah!

Mencari Lailatul Qadar dan Doa Malam Lailatul Qadar

Highlighted

Kredit gambar: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM

Berdasarkan hadis sahih di atas, tidak dapat dinafikan bahawa Lailatul Qadar merupakan malam yang sangat istimewa dan dinanti-nantikan keseluruhan umat Islam.

Ia merupakan malam perayaan, malam kesyukuran, kenikmatan serta kebajikan bagi umat Islam dan malam tersebut juga malaikat akan turun untuk turut serta bersama manusia dan mereka mengetahui kelebihan-kelebihan yang terkandung di dalamnya.

تَنَزّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْـرٍ * سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

Maksudnya:

“Pada malam itu (malam al-Qadar) turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan-Nya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar”.

(Surah al-Qadr Ayat 4-5)

Malah, malam itu juga malaikat akan membawa rahmat kepada sekalian manusia seperti yang dikatakan oleh Imam al-Qurtubi r.a:

“Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar”.

Bahkan Imam ad-Dahhaq r.a juga turut berkata:

“Allah swt tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan”.

Terdapat ramai di kalangan ulama yang berpendapat bahawa sesiapa yang sering mengerjakan solat isyak dan solat subuh secara berjemaah, mempunyai peluang yang cerah untuk memperoleh kelebihan malam Lailatul Qadar ini.

Bahkan Imam as-Syafie r.a turut berkata bahawa:

مَنْ شَهِدَ الْعِشَاءَ وَالصُّبْحَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ، فَقَدْ أَخَذَ بِحَظِّهِ مِنْهَا

Maksudnya:

“Barangsiapa yang menyaksikan (hadir) menunaikan solat Isyak dan Subuh pada malam al-Qadar maka dia telah mendapat bahagiannya daripada malam tersebut”.

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan waktu bermulanya malam al-Qadar adalah selepas terbenamnya matahari dan berakhir apabila terbitnya fajar berdasarkan ayat terakhir di dalam surah al-Qadar.

Berdasarkan ayat terakhir dalam Surah Al-Qadar, Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-asqalani berpendapat bahawa malam Lailatul Qadar bermula selepas terbenam matahari dan akan berakhir apabila terbitnya fajar.

Oleh itu, bersama-samalah kita mempertingkatkan segala ibadah sunat pada malam itu dan berdoa untuk malam Lailatul Qadar.

Daripada Aisyah r.a, bahawa beliau bertanya Nabi Muhammad S.A.W:

“Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar maka apa yang sepatutnya aku ucapkan”.

Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya:

“Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku”.

[Riwayat al-Tirmizi (3513), Ibn Majah (3850) dan Ahmad (25384)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih. Manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menghukum sanad hadith ini sebagai sahih dan perawi-perawinya adalah thiqah]

Berdasarkan dalil-dalil di atas, maka jelaslah bagaimana amalan memperbanyakkan doa malam Lailatul Qadar ini sangat digalakkan oleh baginda Rasulullah S.A.W.

Oleh itu, bersama-samalah kita semua sebagai hamba yang bertakwa dalam mengejar kebaikan-kebaikan pada malam yang penuh berkah ini.

Diharapkan dengan perkongsian ini, kita semua mendapat ilmu yang bermanfaat!


Dapatkan juga pelbagai lagi pilihan doa dan panduan ibadah yang lain di SINI!