Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Pilihan Doa Malam Nisfu Syaaban Yang Ma’thur Lagi Masyhur Yang Lengkap

doa malam nisfu syaaban

Kredit gambar: blog.evermos.com

Malam Nisfu Syaaban adalah bulan rahmat yang mulia lagi berkat dan mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan selain malam Lailatul Qadar dan umat Islam digalakkan untuk membaca doa malam Nisfu Syaaban beserta memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain.

Bulan Syaaban adalah bulan yang ke 8 dalam takwim hijrah. Nisfu Syaaban bermaksud separuh atau hari yang ke-15 dalam bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.

Terdapat kelebihan dan keistimewaan malam nisfu Syaaban kerana Allah SWT memberi keampunan dan menerima doa bagi yang memohon ampun serta memunajat kepadanya.

Jom lihat perkongsian mengenai doa malam nifsu Syaaban ini dan kelebihannya dengan lebih lanjut lagi!

Pilihan Doa Malam Nisfu Syaaban

Highlighted

Kredit gambar: id.berita.yahoo.com

Imam Abdul Ghani bin Ismail an-Nablusi menyebut dalam kitabnya Fadha’il al-Ayyam wa asy-Syuhur, ms. 38, antara amalan para solehin pada malam nisfu Syaaban selepas solat fardhu Maghrib dan sunat ba’diahnya, dibaca Surah Yassin sebanyak 3 kali.

Pada bacaan yang pertama diniatkan untuk memohon dipanjangkan umur dan kesihatan yang baik agar dapat beribadat dan mentaati segala perintah Allah.

Manakala, untuk bacaan yang kedua pula, diniatkan untuk memohon supaya diluaskan rezeki yang halal dan diberkati dan untuk bacaan ketiga, diniatkan supaya ditetapkan iman dan mati dalam keimanan (husnul khatimah).

Setiap kali selepas selesai membaca Surah Yassin, bacalah doa di bawah ini iaitu:

#1. Pilihan Doa Yang Ma’thur Lagi Masyhur

Daripada Ibn Mas’ud, beliau berkata:

مَا دَعَا عَبْدٌ قَطُّ بِهَذِهِ الدَّعَوَاتِ إِلَّا وُسْعَ عَلَيْهِ فِي مَعِيشَتِهِ.

Maksudnya: “Tidaklah seseorang hamba yang berdoa dengan doa ini, melainkan akan diluaskan kehidupannya.”

اللَّهُمَّ يَا ذَا الْمَنِّ وَلَا يُمَنُّ عَلَيْهِ، يَا ذَا الْجَلَالِ وَالإِكْرَامِ، يَا ذَا الطَّوْلِ وَالْإِنْعَامِ، لَا إِلَهَ إِلا أَنتَ ظَهْرَ اللأحِينَ، وَجَارَ الْمُسْتَجِيرِينَ، وَمَأْمَنَ الْخَائِفِينَ. اَللَّهُمَّ إِن كُنتَ كتبتني عِندَكَ شَقِيًّا أَوْ مَحْرُومًا أَوْ مَطْرُودًا أَوْ مُقَتَرًا عَلَيَّ فِي الرِّزْقِ، فَامْحُ اللَّهُم بِفَضْلِكَ شَقَاوَتِي وَحِرْمَانِي وَطَرْدِي وَإِقْتَارَ رِزْقِي وَأَثْبَشي عِندَكَ فِي أُمِّ الْكِتَاب سَعِيدًا مَرْزُوقًا مُوَفَّقًا لِلْخَيْرَاتِ ، فَإِنَّكَ قُلْتَ وَقَوْلُكَ الْحَقُّ فِي كِتَابِكَ الْمُنَزَّلَ عَلَى لِسَانِ نَبِيِّكَ الْمُرْسَلَ: ” يَمْحُو اللَّهُ مَا يَشَاءُ وَيُثْبِتُ وَعِندَهُ أُمُّ الْكِتَاب” إِلَهي، بِالتَّجَلِّي الأَعْظَمِ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِن شَهْرِ شَعْبَانَ الْمُكَرَّمِ، الَّتِي يُفْرَقُ فِيهَا كُلٌّ
أَمْرٍ حَكِيمٍ وَيُبْرَمُ، نَسْأَلُكَ أَن تَكْشِفَ عَنَّا مِنَ الْبَلَاءِ، مَا نَعْلَمُ وَمَا لَا نَعْلَمُ، إِنَّكَ
أَنتَ الأَعَةُ الأَكْرَمُ. وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya:

Ya Allah, Tuhan Yang Memiliki Kurniaan, dan tidaklah Dia yang dikurniakan kepadaNya. Wahai Tuhan Yang Memiliki Kebesaran dan Kemuliaan, Wahai Tuhan Yang Mempunyai Kekuatan dan Nikmat, tiada Tuhan melainkan Engkau, yang telah menzahirkan pertolongan bagi orang yang datang berlari kepadaNya, yang memberi perlindungan kepada orang-orang yang memohon perlindunganNya dan memberi keamanan bagi orang berada dalam ketakutan. Ya Allah, sekiranya Engkau telah menulis bagiku di sisiMu di dalam Ibu Segala Catitan sebagai seorang yang celaka, atau orang yang diharamkan atau dihalau atau dikurangkan rezeki ke atasku, maka hapuskanlah ia dengan kurniaanMu, Ya Allah, akan kecelakaanku, keharamanku dan kesempitan rezekiku. Tetapkanlah aku di dalam Ibu Segala Catitan itu menjadi seorang yang bahagia, beroleh rezeki dan beroleh taufik untuk segala kebajikan kerana Engkau telah berfirman dan perkataanMu adalah yang paling benar di dalam Kitab (Al-Qur’an) yang telah Engkau turunkan kepada Nabi Muhammad iaitu firmanMu (mafhumnya): “Allah boleh menghapuskan apa-apa yang disukaiNya dan pada sisinya Ummul Kitab (Ibu Segala Catitan).” Ya Tuhanku, dengan pandangan rahmatMu Yang Maha Besar pada malam Nisfu Sya’ban yang mulia ini, yang padanya ditetapkan segala urusan yang penting, kami bermohon agar diangkatkan daripada kami segala bala, baik yang kami ketahui atau yang tidak kami ketahui dan Engkaulah yang lebih mengetahuinya kerana sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Perkasa dan Maha Mulia. Semoga Allah sentiasa mencurahkan rahmatNya kepada Nabi Muhammad, keluarga Baginda dan seluruh para sahabatnya.”

#2. Pilihan Doa Oleh Syaikh Abdul Qadir al-Jilani

اللَّهُمَّ إذَا أَطْلَعَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِن شَعْبَانَ عَلَى خَلْقِكَ، فَعُدْ عَلَيْنَا بِمَنَّكَ وَعِتْقِكَ، وَقَدِّرْ لَنَا مِن فَضْلِكَ، وَاسِعَ رِزْقِكَ، وَاجْعَلْنَا مِمَّن يَقُومُ لَكَ فِيهَا بَعْض حَقِّكَ. اللَّهُمَّ مَن قَضَيْتَ فِيهَا بوَفَاتِهِ، فَاقْضِ مَعَ ذَلِكَ لَهُ رَحْمَتَكَ، وَمَن قَضَيْتَ طُولَ حَيَاتِهِ، فَاجْعَلْ لَهُ مَعَ ذَلِكَ نِعْمَتَكَ، وَبَلَّغْنَا مَا لاَ تَبْلُغُ الْآمَالُ إِلَيْهِ، يَا خَيْرَ مَن وَقَفَتِ الْأَقْدَامُ بَيْنَ يَدَيْهِ، يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ، بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ، وَصَلَّى اللَّهُ
عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَآلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya:

“Ya Allah, apabila Engkau telah mendatangkan malam Nisfu Sya’ban kepada makhlukMu, maka curahkanlah kepada kami kurniaan dan pembebasanMu (dari api neraka), dan pilihkanlah kami sebagai orang-orang yang mendapatkan kurniaanMu, kelimpahan rezekiMu, serta jadikanlah kami sebagai orang-orang yang melaksanakan di antara hakMu. Ya Allah, sesiapapun yang Engkau tetapkan untuk meninggal dunia pada malam Nisfu Sya’ban ini, maka tetapkanlah bersamanya kasih sayangMu, dan sesiapapun yang Engkau tetapkan pada malam Nisfu Sya’ban ini panjang umur, maka tetapkanlah bersamanya curahan nikmatMu, serta sampaikan kami kepada sesuatu yang tidak dapat diraih oleh cita-cita dan keinginan, Ya Allah Tuhan Sebaik-baik Pemberi orang-orang yang memohon, Ya Allah Tuhan Pemelihara alam semesta, hanya kerana kasih sayangMu (doa dan harapan terpenuhi) Ya Allah, Tuhan Sebaik-baik Pemberi Rahmat. Semoga Allah sentiasa mencurahkan rahmatNya kepada Nabi Muhammad, keluarga Baginda dan seluruh para sahabatnya.”

Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf al-Hadith wa al-Athar, 7/85 dan Ibn Abi Dunya dalam Ad-Du’a dan juga dari riwayat Ibn Umar. Doa dari “Ilahi bit tajalli…” sampai akhir adalah tambahan oleh Syaikh Ma’ al-Ainain dalam Na’t al-Bidayat.

(Lihat Doa Malam Nisfu Sya’aban, ms. 41-42)

Gelaran Nama Untuk Malam Nisfu Syaaban

  • Lailatul Mubarakah atau malam keberkatan
  • Lailatul Baraah atau malam pelepasan
  • Lailatul Qismah wal-taqdir atau malam pembahagian dan penentuan
  • Lailatul Takfir atau malam mengkifaratkan dosa
  • Lailatul Ijabah atau malam diperkenankan doa
  • Lailatul Syafaah atau malam syafaat
  • Lailatul Idil Malaikah atau malam raya malaikat
  • Lailatul Hayat atau malam hidup, iaitu malam yang tidak dimatikan apabila seseorang menghidupkan malamnya.

Kelebihan Malam Nisfu Syaaban

Kredit gambar: www.bola.com

Melalui rujukan dari laman Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat beberapa matan hadis yang berkaitan dengan kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam malam nisfu Sya’ban. Antaranya adalah:

  • Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a, bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”.

(Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380) Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. (Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184)

  • Daripada Abu Tha’labah r.a, bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ اطَّلَعَ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فَيَغْفِرُ لِلْمُؤْمِنِ، وَيُمْلِي لِلْكَافِرِينَ، وَيَدَعُ أَهْلَ الْحِقْدِ بِحِقْدِهِمْ حَتَّى يَدَعُوهُ

Maksudnya:

“Apabila tiba malam nisfu Syaaban, Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka itu meninggalkannya”.

(Syu’ab al-Iman, no. Hadith 3551) Ibn Jauzi mengatakan bahawa hukum hadith ini adalah tidak sahih. (Lihat: al-‘Ilal al-Mutanihiyah, 2:560)

  • Daripada Abdullah bin Amr r.a, bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

يَطَّلِعُ اللهُ عزَّ وجلَّ إلى خَلْقِهِ ليلَةَ النِّصفِ مِنْ شَعْبَانَ ، فيَغْفِرُ لِعبادِهِ إِلَّا لِاثْنَيْنِ مُشَاحِنٍ ، وقَاتِلِ نَفْسٍ

Maksudnya:

“Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”.

(Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353) Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). (Lihat: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43) Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih (Lihat: Musnad Ahmad, 10:127)

  • Daripada Mu’az bin Jabal r.a, bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya:

“Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.”

(Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665)

  • Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ يَغْفِرُ اللهُ لِعِبَادِهِ إِلَّا لمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya:

“Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.”

(Majma’ al-Zawaid, 8:68) Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. (Lihat: al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1:325)

  • Daripada Abu Bakar r.a, bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

يَنْزِلُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِكُلِّ نَفْسٍ إِلَّا إِنْسَانًا فِيْ قَلْبِهِ شَحْنَاء أَوِ المُشْرِكَ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya:

“Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan setiap yang bernyawa kecuali orang yang ada dalam hatinya permusuhan dan juga orang yang syirik”.

Imam al-Bukhari mengatakan padanya nazhar (perlu diteliti),manakala Ibn ‘Adiy mengatakan sanadnya mungkar. (Lihat: Lisan al-Mizan, 5:269)

Oleh itu, umat Islam dinasihati untuk tidak melepaskan peluang, merebut rahmat dan kurniaan Allah dengan cara beribadah dengan memperbanyakkan solat sunat, berpuasa membaca al-Quran, berzikir, bersedekah, membaca doa Nisfu Syaaban dan lain-lain lagi dengan memanjatkan kesyukuran atas limpahan nikmat Allah yang tiada terhingga banyaknya.

Sesungguhnya malam Nisfu Syaaban ini adalah kesempatan untuk menyuci dan memperbaiki diri dengan memohon ampun bagi menginsafi dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mulakanlah dengan membaca doa malam Nisfu Syaaban seperti di atas.


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan di SINI.