Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Doa Atau Niat Mandi Wajib Berserta Rukun Mandi Wajib Yang Sah

Islam merupakan agama yang indah, menyeluruh, dan mempertengahkan kebersihan.

Dalam keadaan tertentu, seseorang Islam yang sudah baligh diwajibkan untuk bermandi wajib sebelum menunaikan ibadah seperti solat, berpuasa, dan membaca Quran.

Islam adalah satu cara hidup, dan umat Islam diberikan panduan dan bimbingan melalui Al-Quran dan hadis yang merangkumi setiap aspek dalam kehidupan.

Adalah menjadi perkara yang penting untuk mendapatkan panduan dan bimbingan yang betul supaya umat Islam menurut perintah Allah berdasarkan landasan syariah yang ditetapkan.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Mandi wajib adalah salah satu bimbingan buat umat Islam dalam membersihkan dan menyucikan diri daripada hadas supaya dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna.

Apa Itu Hadas?

Hadas besar menurut istilah syarak merupakan sesuatu yang maknawi, iaitu kotoran yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar yang berada pada seluruh badan seseorang.

Hadas besar menyebabkan seseorang individu Muslim tidak dapat mendirikan ibadah seperti mendirikan solat sehinggalah mandi wajib dilakukan dengan cara yang sah.

Mandi wajib juga dikenali sebagai mandi junub atau mandi hadas besar.

Syarat/Keadaan Yang Diwajibkan Mandi Junub

  1. Bersetubuh (berjimak) samada keluar air mani ataupun tidak
  2. Keluar air mani (secara sengaja ataupun tidak)
  3. Datang haid bagi perempuan
  4. Wiladah (bersalin)
  5. Nifas (darah yang mengiringi selepas bersalin)
  6. Mati selain daripada mati syahid

Untuk pengetahuan anda, kaedah mandi wajib dengan mandi sunat adalah sama. Bezanya hanyalah pada niatnya sahaja.

Ketika ingin bermandi wajib, jika terdapat najis pada anggota badan anda, ia perlulah dibersihkan dahulu sebelum memulakan mandi wajib.

Sumber: Getty Images

Setelah selesai mandi wajib pula, anda tidak diwajibkan mengambil wudhu’ jika hendak mengerjakan solat dengan syarat anda tidak melakukan apa-apa perkara yang membatalkan wudhu’ sewaktu mandi wajib tadi.

Niat/Doa Mandi Wajib

1. Niat/Doa Mandi Wajib Selepas Haid

Bacaan dalam RUMI:

Nawaitul ghusla liraf’il hadatsil akbar minal haidi fardhon lillahi ta’ala

Maksud:

“Aku niat mandi untuk menghilangkan hadas besar dari haid, fardhu kerana Allah Ta’ala”

2. Niat/Doa Mandi Wajib Selepas Bersetubuh

Bacaan dalam RUMI:

Nawaitul ghusla liraf’il hadatsil akbar minal janabati fardhon lillahi ta’ala

Maksud:

“Aku niat mandi untuk menghilangkan hadas besar dari jinabah, fardhu kerana Allah Ta’ala”

3. Niat/Doa Mandi Wajib Selepas Nifas

Bacaan dalam RUMI:

Nawaitu ghusla liraf’il hadatsil akbar minan nifasi fardhon lillahi ta’ala

Maksud:

“Aku niat mandi untuk menghilangkan hadas besar dari nifas, fardhu kerana Allah Ta’ala”

4. Niat/Doa Mandi Wajib Secara Am

Bacaan dalam RUMI:

Nawaitu raf‘al hadatsil akbari lillahi ta’ala

Maksud:

“Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Ta’ala”

Rukun Mandi Wajib

1. Niat atau membaca doa mandi wajib

2. Meratakan air ke seluruh anggota badan termasuklah:

  • rambut
  • semua bulu di seluruh anggota badan
  • bahagian luar kulit telinga
  • kemaluan lelaki dan perempuan yang sebelah belakang yang zahir semasa membuang air besar
  • kemaluan perempuan yang zahir pada masa ia duduk membuang air kecil

Perkara Wajib Dan Sunat Semasa Mandi Wajib

Perkara Wajib

  1. Berniat untuk mandi wajib
  2. Membasuh seluruh badan yang zahir dengan air
Sumber: Getty Images

Perkara Sunat

  1. Mengambil wudhu’
  2. Membasuh kedua-dua tangan di luar daripada bekas air
  3. Membasuh kemaluan dengan tangan kiri dan juga segala kekotoran yang ada pada badan
  4. Membasuh bahagian kanan dahulu kemudian kiri (sunnah Rasulullah s.a.w.)
  5. Menyelati rambut kepala dengan air kemudian membasuh kepala tiga kali
  6. Mengambil air dan membasuh ke semua tubuh yang berlipat seperti kedua-dua telinga lipatan perut, di dalam pusat dan ketiak
  7. Menggosok tubuh dan berturut-turut dalam membasuh anggota
  8. Membasuh sebanyak tiga kali sebagai kias kepada wudu

Langkah-langkah Mandi Wajib Mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w.

  1. Berniat ketika air menyentuh ke tubuh
  2. Membaca ‘Bismillah’
  3. Membasuh tangan sebanyak tiga kali
  4. Membasuh kemaluan dengan tangan kiri
  5. Mengambil wudhu’ sebelum atau selepas mandi wajib
  6. Membasuh kepala
  7. Memulakan dengan bahagian kanan tubuh badan
  8. Meratakan air ke seluruh anggota badan

Semoga bermanfaat.