Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Masuk Masjid Dan Keluar Masjid Serta Adab-Adabnya

doa masuk masjid

kredit gambar : MYKMU.NET

Masjid merupakan rumah Allah dan tempat khusus umat islam melakukan ibadah. Alangkah bagus jika kita turut melafazkan doa masuk masjid sebaik sahaja menjejakkan kaki memasuki ruangan rumah Allah ini.

Highlighted

Kredit gambar: Astro Awani

Islam menganjurkan kita supaya beradab mulia dengan membaca doa ketika masuk dan keluar daripada masjid di mana ianya merupakan amalan sunnah dan bagi menghormati rumah Allah.

Doa-doa Masuk Masjid dan Keluar Masjid

Kredit gambar: wahdah islamiyah

Antara doa-doanya adalah seperti berikut:

#1. Doa masuk masjid pertama

أَعُوْذُ بِاللهِ العَظِيْمِ وَبِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ وَسُلْطَانِهِ الْقَدِيْمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ. بِسْمِ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلهِ. أَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذُنُوْبِي وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ

(A’udzu billahil ‘azhim wa biwajhihil karim wa sulthanihil qadimminas syaithanirrajim. Bismillahi wal hamdulillah. Allahumma shalli wa sallim ‘ala sayyidina muhammadin wa ‘ala ali sayyidina muhammadin. Allahummaghfirli dzunubi waftahli abwaba rahmatik)

Ertinya:

Aku berlindung kepada Allah Yang Maha Besar, kepada zat-Nya Yang Maha Mulia, dan kepada kerajaan-Nya yang sedia dari syaitan yang terlontar. Dengan nama Allah dan segala puji bagi Allah.

Wahai tuhanku, berilah selawat dan sejahtera atas Saidina Muhammad dan atas keluarga Saidina Muhammad. Wahai tuhanku, ampuni untukku segala dosaku. Bukalah bagiku segala pintu rahmat-Mu.

#2. Doa masuk masjid kedua

اللَّهُمَّ افْتَحْ لي أبْوَابَ رَحْمَتِكَ

(Allahummaftha lii abwaaba rahmatika)

Ertinya: Ya Allah, bukalah pintu-pintu rahmat-Mu untukku.

Kredit gambar: solusi anak muda

Manakala untuk doa keluar masjid pula adalah:

#1. Doa keluar masjid pertama

أعُوْذُ بِاللهِ العَظِيْمِ وَبِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ وَسُلْطَانِهِ الْقَدِيْمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ. بِسْمِ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلهِ. أَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذُنُوْبِي وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ فَضْلِكَ

(A’udzu billahil ‘azhim wa biwajhihil karim wa sulthanihil qadimminas syaithanirrajim. Bismillahi wal hamdulillah. Allahumma shalli wa sallim ‘ala sayyidina muhammadin wa ‘ala ali sayyidina muhammadin. Allahummaghfirli dzunubi waftahli abwaba fadhlik)

Ertinya:

Aku berlindung kepada Allah Yang Maha Besar, kepada zat-Nya Yang Maha Mulia, dan kepada kerajaan-Nya yang sedia dari syaitan yang terlontar. Dengan nama Allah dan segala puji bagi Allah.

Wahai tuhanku, berilah selawat dan sejahtera atas Saidina Muhammad dan atas keluarga Saidina Muhammad. Wahai tuhanku, ampuni untukku segala dosaku. Bukalah bagiku segala pintu kemurahan-Mu.

#2. Doa keluar masjid kedua

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ

(Allaahumma innii as’aluka min fadhlika)

Ertinya: Wahai tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu akan segala keutamaan-Mu.

Melalui doa-doa ini juga, kita mengharapkan segala pahala yang telah dilakukan ketika berada di dalam masjid akan diterima dan diredhai oleh Allah.

Allah S.W.T berfirman dalam Surah At-Taubah ayat-18 yang bererti:

“Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut (kepada siapa pun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Adab-adab Ketika Berada di Dalam Masjid

Kredit gambar: Pinhome

Antara beberapa adab ketika berada di masjid adalah seperti:

  • Memasuki masjid dengan langkah kaki kanan sambil membaca doa masuk masjid.
  • Memakai pakaian yang sopan dan kemas.
  • Pakai pakaian yang tidak mempunyai gambar yang boleh mengganggu kekhusyukan orang lain untuk solat.
  • Memakai pewangi.
  • Bersih daripada kotoran dan najis.
  • Solat dengan tukmaninah dan melazimkan zikir.
  • Kurang bercakap sesuatu yang tidak berfaedah di dalam masjid.
  • Masuk dengan langkah kaki kanan dan keluar menggunakan langkah kaki kiri sambil membaca doa keluar masjid.

Apabila berada di ruangan masjid yang suci ini sangat digalakkan supaya kita memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat terutamanya zikir dengan membaca tasbih, tahlil, tahmid, takbir dan sebagainya.

Perbanyakkan juga bacaan Al-Quran dan juga selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W, menambah ilmu dengan mempelajari hadis-hadis, ilmu fekah, tauhid, dan pelbagai lagi disiplin ilmu syariat yang ada.

Allah S.W.T berfirman dalam surah an-Nur ayat 36-37 yang bermaksud:

(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya, di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.

(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.

Hadis yang menganjurkan membaca doa ketika masuk dan keluar masjid

Berdasarkan hadis sahih ini, sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W, didiklah diri kita untuk selalu menjejakkan kaki ke rumah Allah yang suci ini dan sentiasa mengamalkan adab-adab yang telah dianjurkan terutamanya adab ketika sedang berdoa.

Hadis Jami’ At-Tirmidzi 289

Ertinya :

“Telah menceritakan kepada kami Ali bin Hujr berkata; telah menceritakan kepada kami Isma’il bin Ibrahim dari Laits dari Abdullah bin Al Hasan dari ibunya Fatimah binti Al Husain dari neneknya Fatimah Al Kubra ia berkata : Rasulullah S.A.W bersabda : Apabila Rasulullah S.A.W masuk ke masjid, baginda membaca selawat dan salam untuk Nabi Muhammad, lalu mengucapkan : “Rabbighfirli dzunubi waftahli abwaaba rahmatik (Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan bukalah pintu-pintu rahmat-Mu untukku), dan jika keluar baginda juga membaca selawat dan salam untuk Muhammad, lalu mengucapkan : Rabbighfirli dzunubi waftahli abwaaba rahmatik (Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan bukalah pintu-pintu rahmat-Mu untukku). Ali bin Hujr berkata ; Isma’il bin Ibrahim berkata ; Aku bertemu dengan Abdullah bin Al Hasan di Makkah, lalu aku bertanya kepadanya tentang hadis ini. Maka ia pun menceritakan hadis tersebut kepadaku, ia berkata : Jika masuk baginda membaca : Rabbiftahli baaba rahmatik (Ya Allah, bukakanlah pintu rahmat-Mu), dan jika keluar baginda membaca : Rabbiftahli baba fadhlik (Ya Allah, bukakanlah pintu kurnia-Mu).

Ia berkata, “Dalam bab ini juga ada riwayat dari Abu Humaid, Abu Usaid dan Abu Hurairah.”

Abu Isa berkata, “Hadis Fatimah ini darjatnya Hasan, akan tetapi sanadnya tidak bersambung, sebab Fatimah binti Al Husain belum pernah bertemu dengan Fatimah Al Kubra. Kerana Fatimah (Al Kubra) hanya hidup beberapa bula saja setelah wafatnya Nabi Muhammad S.A.W.”

Kredit gambar: MawardiBahar / Shutterstock.com

Pada zaman permulaan Islam dahulu, masjid adalah tempat utama untuk menyampaikan dan menyebarkan dakwah Islam. Segala perancangan, strategi dan sebagainya dilakukan di dalam masjid.

Maka, pada hari ini sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W dan juga hamba Allah yang beriman, marilah kita bersama-sama mengimarahkan semula masjid di negara kita yang tercinta ini.

Semoga segala amal ibadat dan kebaikan yang kita lakukan diterima dan diredhai oleh Allah.


Rujuk panduan solat, zikir, doa dan ibadah-ibadah lain DI SINI.