Dalam menjalani kehidupan ini, kita akan singgah dan melawat pelbagai tempat. Ada yang elok dan ada yang tidak elok. Contoh tempat yang tidak elok adalah seperti tandas dan yang elok, masjid.
Sejak kecil lagi kita selalu diajar untuk membaca doa masuk dan keluar tandas kan? Semoga dengan bacaan itu, Allah S.W.T. akan melindungi kita daripada keburukan dan kejahatan syaitan serta daripada segala sesuatu bahaya yang kita tidak tahu.
Doa Masuk Pasar – Kenapa Ada Tuntutan Untuk Membacanya?
Tetapi, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pasar adalah tempat yang buruk juga dan kerana itulah, kita digalakkan untuk membaca doa masuk pasar.
Seperti hadis yang berikut, daripada Abu Hurairah R.A., sabda Rasulullah S.A.W.:
أَحَبُّ الْبِلاَدِ إِلَى اللَّهِ مَسَاجِدُهَا وَأَبْغَضُ الْبِلاَدِ إِلَى اللَّهِ أَسْوَاقُهَا
Maksudnya: Tempat yang paling Allah suka adalah masjid-masjid manakala tempat yang paling Allah benci adalah pasar-pasar. – Riwayat Muslim (671)
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ini kerana di pasar, ada berlakunya riba, tipu daya dalam urusan jual beli, lagha dalam mengingati Allah dan lain-lain lagi.
Ia bukanlah kerana pada pandangan pasar itu kotor. Kerana walaupun di pasaraya besar yang bersih, ia juga termasuk di bawah istilah pasar. Tempat yang melalaikan kita dan tempat berlakunya riba dan sebagainya.
Jarang kita ke pasar untuk berzikir dan beramal seperti tujuan kita ke masjid. Kebanyakkan daripada kita ke sana untuk bersuka-ria dan membeli-belah yang boleh menjurus kepada lagha dalam mengingati Allah.
Kata Imam Ibn Bathhal Rahimahullah:
وَأمَّا إِذَا ذُكِرَ اللهُ فِى السُّوقِ فَهُو مِنْ أَفْضَلِ الأعْمَال
Maksudnya: Adapun apabila dibacakan zikrullah di dalam pasar maka ia merupakan antara amalan yang paling afdhal. – Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Bathhal (6/249)
Kenyataan beliau ini telah disokong dengan sabda Rasulullah S.A.W.:
مَنْ دَخَلَ السُّوقَ فَقَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكُ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ حَىٌّ لاَ يَمُوتُ بِيَدِهِ الْخَيْرُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَلْفَ أَلْفِ حَسَنَةٍ وَمَحَا عَنْهُ أَلْفَ أَلْفِ سَيِّئَةٍ وَرَفَعَ لَهُ أَلْفَ أَلْفِ دَرَجَةٍ
Maksudnya: Sesiapa yang masuk ke dalam pasar lalu dia membaca: (doa masuk pasar) Maka Allah menetapkan satu juta kebaikan buatnya dan menghapuskan satu juta kejahatannya serta mengangkat kedudukannya sebanyak satu juta darjat. – Riwayat Al-Tirmizi (3428)
Daripada hadis ini, doa msuk pasar telah dinyatakan dengan jelas:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكُ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ حَىٌّ لاَ يَمُوتُ بِيَدِهِ الْخَيْرُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan, bagiNya segala pujian. Dia lah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Dia lah Yang Maha Hidup, tidak akan mati. Di tanganNya semua kebaikan. Dan Dia lah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Dengan fadhilat bacaan zikir atau doa masuk pasar ini, rugilah jika kita tidak mengamalkannya. Diberikan satu juta kebaikan dan dihapuskan satu juta kejahatan serta diangkat kedudukan sebanyak satu juta darjat?
MasyaAllah.. begitu banyak kelebihan pada bacaannya.
Doa Masuk Pasar
InsyaAllah, sama-sama kita berusaha untuk membacanya setiap kali ke pasar, mall, kedai runcit dan lain-lain tempat jual beli. Lama-kelamaan, pasti kita akan mengingatinya.
Semoga dengan amalan doa masuk pasar ini, kita dilindungi daripada segala keburukan di pasar dan dikurniakan ganjaran dari sisiNya. InsyaAllah.
Dapatkan panduan doa harian lain dengan rujuk SINI.