Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Doa Masuk Rumah Dan Keluar Rumah Berserta Dalil

doa masuk rumah

Kredit gambar : Sirap Limau

Sebagai seorang muslim, kita dianjurkan supaya membaca doa masuk rumah dan juga doa keluar rumah supaya segala urusan berjalan dengan lancar dan dipermudahkan oleh Allah S.W.T.

Amalan sunnah Nabi Muhammad S.A.W

Sebenarnya berdoa adalah salah satu sunnah baginda Rasulullah S.A.W.

Hal ini bertetapan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bahawa Rasulullah S.A.W ketika baginda hendak masuk ke dalam rumah, Rasulullah S.A.W membaca doa masuk rumah lalu mengucapkan salam kepada anggota keluarga yang berada di dalam rumah.

عَنْ أَبِى مَالِكٍ الأَشْعَرِىِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « إِذَا وَلَجَ الرَّجُلُ فِى بَيْتِهِ فَلْيَقُلِ اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ خَيْرَ الْمَوْلِجِ وَخَيْرَ الْمَخْرَجِ بِسْمِ اللَّهِ وَلَجْنَا وَبِسْمِ اللَّهِ خَرَجْنَا وَعَلَى اللَّهِ رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا ثُمَّ لْيُسَلِّمْ عَلَى أَهْلِهِ

Maksudnya:

“Dari Abu Malik Al Asy’ari, ia berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, “Jika seseorang memasuki rumahnya, maka ucapkanlah ‘Allahumma inni as-aluka khoirol mawlaji wa khoirol makhroji, bismillahi walajnaa wa bismillahi khorojna wa ‘alallahi robbinaa tawakkalnaa’ (Ya Allah, aku memohon pada-Mu kebaikan ketika masuk dan keluar dari rumah. Dengan nama Allah, kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan hanya kepada Allah Rabb kami, kami bertawakkal). Lalu hendaklah mengucapkan salam pada keluarganya.”

Hadis riwayat Abu Daud 5096. Al Hafizh Abu Thohir)

Selain itu, kita juga digalakkan untuk membaca doa keluar rumah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi, dari Anas bin Malik r.a bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda :

إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ: “بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ” قَالَ: « يُقَالُ حِينَئِذٍ: هُدِيتَ وَكُفِيتَ وَوُقِيتَ. فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ، فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ: كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِىَ وَكُفِىَ وَوُقِىَ

Maksudnya:

“Jika seseorang keluar dari rumahnya lalu membaca (zikir) : Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah (Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada-Nya, dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya), maka malaikat akan berkata kepadanya: “(sungguh) kamu telah diberi petunjuk (oleh Allah Ta’ala), dicukupkan (dalam segala keperluanmu) dan dijaga (dari semua keburukan)”, sehingga syaitan-syaitan pun tidak bisa mendekatinya, dan syaitan yang lain berkata kepada temannya : Bagaimana (mungkin) kamu bisa (mencelakakan) seorang yang telah diberi petunjuk, dicukupkan dan dijaga (oleh Allah Ta’ala)

Hadis riwayat Tirmidzi 3426

Berdasarkan hadis di atas, jelas menyatakan bahawa dengan mengamalkan doa-doa yang telah diajarkan oleh baginda Rasulullah S.A.W, maka kehidupan kita sentiasa dalam peliharaan dan keredhaan Allah S.W.T.

Doa Masuk Rumah & Doa Keluar Rumah

Highlighted

Kredit gambar : Orami

#1. Doa masuk rumah

اَللهُمَّ اِنّىْ اَسْأَلُكَ خَيْرَالْمَوْلِجِ وَخَيْرَالْمَخْرَجِ بِسْمِ اللهِ وَلَجْنَا وَبِسْمِ اللهِ خَرَجْنَا وَعَلَى اللهِ رَبّنَا تَوَكَّلْنَا

“Allahumma inni as-aluka khoirol mawlaji wa khoirol makhroji, bismillahi walajnaa wa bismillahi khorojna wa ‘alallahi robbinaa tawakkalnaa”

Maksudnya:

“Wahai Allah, aku memohon sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Atas nama-Mu, kami masuk dan atas nama-Mu kami keluar. Dan kepada Allah tuhan kamilah kami bertawakal.”

Kredit gambar : Islam Itu Indah

#2. Doa keluar rumah

بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

“Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah.”

Maksudnya:

“Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada-Nya, dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya.”

Adab-adab Ketika Masuk Rumah Yang Tidak Berpenghuni

Kredit gambar : Rumah123.com

Rumah yang tidak berpenghuni selalunya akan didiami oleh makhluk-makhluk halus. Oleh itu, bagi sesiapa yang ingin memasukinya terutamanya yang baharu sahaja berpindah masuk ke rumah baharu dinasihatkan supaya memanjatkan doa masuk rumah supaya diri kita sentiasa dalam lindungan Allah S.W.T.

Kredit gambar: Iproperty

Antara adab-adabnya adalah seperti berikut:

  • Sebelum masuk, ketuk pintu terlebih dahulu.
  • Mengucapkan salam.
  • Membaca doa masuk rumah.

Daripada Nafi’ bahawa Abdullah bin Umar r.a berkata:

إِذَا دَخَلَ الْبَيْتَ غَيْرَ الْمَسْكُونِ فَلْيَقُلِ السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين.

Maksudnya:

“Jika engkau memasuki suatu rumah yang tidak berpenghuni maka katakanlah : Assalamu’alaina wa’ala ibaadillahis solihin – Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.”

Hadis riwayat al-Bukhari (1055) dalam al-Adab al-Mufrad. Ibn Hajar al-Asqalani berkata sanadnya hasan.

  • Masuk dengan kaki kanan terlebih dahulu.

Kepentingan Membaca Doa 

Kredit gambar: Iproperty

Doa masuk rumah dan juga doa keluar rumah ini sangat penting dalam kehidupan harian kita supaya segala aktiviti dan urusan sedang dilakukan bertepatan dengan syariat dan keredhaan daripada Allah S.W.T serta dijauhkan dari segala sesuatu yang sesat lagi menyesatkan.

Malah, dalam Islam setiap perkara yang kita lakukan mempunyai aturan, tertib atau adab-adab dan juga doa-doanya. Lantaran itu, sebagai muslim apa pun yang sedang kita lakukan atau usahakan, selitkanlah ianya dengan doa untuk memohon pertolongan dan perlindungan Allah dan juga sebagai tanda kita mensyukuri nikmat-nikmat kurniaan-Nya.

Selain itu, jika doa masuk rumah ini sering diamalkan juga, ianya dapat menghindarkan diri kita dari gangguan jin atau makhluk halus yang berkeliaran di luar rumah kita.

Jabir bin Abdillah r.a, baginda Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يُذْكَرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ

Maksudnya:

“Apabila seseorang masuk ke dalam rumah lalu dia mengingati Allah ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata : ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Tapi apabila dia tidak mengingati Allah ketika masuk, maka syaitan berkata : ‘kalian mendapat tempat menginap’.”

Hadis riwayat muslim (2018), Abu Daud (3675) dan lain-lain.

Juga daripada Jabir bin Abdillah r.a, Rasulullah S.A.W bersabda :

وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا

Maksudnya:

“Tutuplah pintu, dan sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup (yang disebut nama Allah).”

Hadis Riwayat Bukhairi (3304), Muslim (2012) dan yang lainnya.

Kredit gambar: Iproperty

Nabi Muhammad S.A.W juga menganjurkan kita mengucapkan salam dan doa masuk rumah. Tujuannya supaya sesiapa sahaja yang sering berdoa diberikan keberkatan dan selalu bersyukur di atas segala nikmat kurniaan-Nya yakni perlindungan daripada Allah S.W.T.

Semoga dengan perkongsian ini, Mommy mendapat manfaat dan juga kebaikan darinya. Insya-Allah.