Tidaklah dijadikan kita oleh Allah S.W.T. melainkan untuk menyembah dan beribadah kepadaNya. Dalam kesibukan dan perancangan kita mengutip kelazatan di dunia, janganlah sekali-kali kita tidak lupa akan tujuan kita diciptakan.
Selepas solat Subuh, luangkanlah masa sekejap untuk membaca doa mathurat. Dalam perkongsian kali ini, Motherhood ingin kongsikan doa mathurat yang ringkas yang Mommy dan Daddy boleh amalkan di pagi hari.
Doa Mathurat Ringkas Untuk Dibaca Di Pagi Hari
Kalau tak sempat dan ada perancangan awal pun, boleh je baca ketika dalam perjalanan. Jom, kita manfaatkan masa yang ada selagi sihat dan mampu ya?
Berdasarkan rujukan daripada Aku Islam, di bawah ini, akan disenaraikan turutan doa mathurat ringkas untuk Mommy dan Daddy:
#1. Surah Al-Fatihah
#2. Surah Al-Baqarah Ayat 1 – 5
#3. Surah Al-Baqarah Ayat 255 (Ayat Kursi)
#4. Surah Al-Baqarah Ayat 256
#5. Surah Al-Baqarah Ayat 257
#6. Surah Al-Baqarah Ayat 284
#7. Surah Al-Baqarah Ayat 285
#8. Surah Al-Baqarah Ayat 286
#9. Surah Al-Ikhlas
#10. Surah Al-Falaq
#11. Surah An-Nas
#12. Doa pujian kepada Allah S.W.T.
Maksudnya: Sesungguhnya kami terjaga di pagi hari (di petang hari) dengan (kesedaran bahawa) Kerajaan (bumi dan segala isinya) ini seluruhnya adalah milik Allah. Dan segala puji bagi Allah, tiada sekutu bagiNya tiada Tuhan selain Dia dan kepadaNya kami akan dibangkitkan.
#13. Doa untuk teguh pendirian dalam islam
Maksudnya: Kami terjaga di pagi hari (petang hari) dalam fitrah Islam, dan kalimah ikhlas dan dalam agama nabi kami, Muhammad S.A.W., dan dalam millah (ajaran) bapa kami Ibrahim yang hanif (lurus) sedang dia bukan orang musyrik.
#14. Doa mensyukuri nikmat
Maksudnya: Ya Allah, aku terjaga pada pagi dan petang dalam nikmatMu, afiat (keselamatan dari mara bencana), dan terjaganya rahsia-rahsia (dosa-dosa) ku, maka sempurnakan nikmatMu, afiatMu dan penjagaanMu itu di atasku, di dunia dan akhirat.
#15. Pengakuan segala nikmat daripada Allah
Maksudnya: Ya Allah, tidaklah aku pada waktu pagi dan petang dengan nikmat apa yang aku peroleh dan diperoleh seseorang di antara makhlukMu adalah dariMu, yang Esa dan tidak bersekutu, maka bagiMu segala puji dan syukur.
#16. Pujian bagi Allah
Ya Allah, bagiMu segala puji seagung kemuliaan wajahMu dan kebesaran kekuasaanMu.
#17. Bacaan ikrar
Maksudnya: Aku telah redha dengan Allah sebagai Tuhanku, dan dengan Islam sebagai agamaku dan dengan Muhammad sebagai Nabi dan Rasulku.
#18. Tasbih kepada Allah
Maksudnya: Maha Suci Allah dan segala puji bagiNya sebanyak bilangan kejadianNya dan keredhaanNya, dan seberat timbangan ‘ArasyNya dan sebanyak dakwat (yang terpakai untuk menuliskan) kalimahNya.
#19. Bacaan meninggikan Asma’ Allah
Maksudnya: Dengan nama Allah, yang dengan namaNya akan terhalanglah, segala sesuatu di bumi dan di langit, untuk menimpakan bencana, dan Ia Maha Mendengar dan Mengetahui.
#20. Doa terhindar daripada syirik
Maksudnya: Ya Allah, kami berlindung padaMu dari menyekutukanMu dengan sesuatu yang kami ketahui, dan kami memohon ampun dari (menyekutukanMu) dengan sesuatu yang tidak kami ketahui.
#21. Doa berlindung daripada kejahatan makhluk
Maksudnya: Aku berlindung pada kalimat Allah yang sempurna, dari kejahatan apa-apa yang diciptakan.
#22. Doa terhindar daripada belenggu hutang
Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung pada-Mu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung padaMu dari cengkaman hutang dan penindasan orang.
#23. Doa dilimpahkan kesihatan
Maksudnya: Ya Allah, sihatkanlah badanku, Ya Allah, sihatkanlah pendengaranku, Ya Allah, sihatkanlah penglihatanku.
#24. Doa terhindar daripada kemiskinan
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung padaMu dari kekafiran dan kefakiran; Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari azab kubur; tidak ada Tuhan selain Engkau.
#25. Doa memohon keampunan
Maksudnya: Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau; Engkau yang menciptakan dan aku abdiMu, dan aku berada dalam perjanjian denganMu, ikrar kepadaMu, (yang akan aku laksanakan dengan) segala kemampuanku; dan aku berlindung padaMu, dari kejahatan apa-apa yang telah aku lakukan; aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmatMu kepadaku; dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang boleh mengampuni dosa-dosa, kecuali Engkau.
#26. Istighfar
Maksudnya: Aku memohon ampun kepada Allah yang tidak ada Tuhan selain Dia, yang hidup dan selalu jaga; dan aku bertaubat padaMu.
#27. Pujian dan memohon taubat
Maksudnya: Maha Suci Engkau, Ya Allah dan segala pujian bagi-Mu; aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, aku mohon ampun dan bertaubat padaMu.
#28. Selawat ke atas Rasulullah S.A.W.
Maksudnya: Ya Allah restui dan berkatkanlah junjungan kami Muhammad sebagai hamba, Nabi dan RasulMu yang ummi. Berkatkan keluarga dan sahabat Baginda. Sejahterakanlah Baginda selama-lamanya. Sejahterakanlah Baginda selama-lamanya sebanyak-banyak bilangan dalam ilmu dan sebanyak-banyak perkara yang ditulis oleh QalamMu dan sebanyak-banyak yang dirangkum oleh kitabMu.
Maksudnya: Terimalah dan relakanlah pemimpin terutama kami; Sayyidina Abu Bakar, Omar, Othman, Ali dan para sahabat Baginda semuanya, para tabi’in, dan orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka sampai hari pembalasan. Terimalah (kepulangan) mereka dengan sebaik-baiknya. Maha Suci Tuhan (Mu) yang memiliki kebesaran dan kemuliaan dari sifat tercela. Salam sejahtera untuk para Rasul utusan, dan segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
#29. Doa selepas al-Mathurat
Maksudnya: Ya Allah kurniakanlah kami lisan (lidah) yang lembut membasahi mengingati dan menyebut (namaMu), hati yang penuh segar mensyukuri (nikmatMu), serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada (perintahMu). Ya Allah, kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap, dinn (cara hidup) yang jitu dan unggul, selamat dari segala mara bahaya dan petaka.
Kami mohon kepadaMu Ya Allah kecukupan yang tidak perlu kami terpaksa meminta kepada orang lain. Berikanlah kami Ya Allah iman yang sebenarnya sehingga kami tidak menyekutukanMu.
Berikanlah rahmatMu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami. Jangan (Ya Allah) Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri; walaupun hanya dalam sekelip mata atau lebih pendek dari masa itu. Wahai Tuhan yang paling mudah dan cepat memperkenankan permintaan.
Selawat (berkat dan rahmat) dan restu Allah untuk junjungan kami Muhammad, Nabi yang mulia, kepada keluarga Baginda dan para sahabat Baginda amnya.
Doa Mathurat Ringkas
Semoga dengan amalan doa mathurat ini, Mommy dan Daddy dikurniakan segala yang terbaik di dunia dan di akhirat.
InsyaAllah.