Ibu, Bayi & Kanak Kanak

5 Doa Melembutkan Hati Anak Agar Mendengar Kata

doa melembutkan hati anak

Sumber SirapLimau

Sebagai ibu bapa, kita dianjurkan supaya sentiasa membaca doa melembutkan hati anak agar mereka sentiasa mendengar kata dan tidak melakukan segala perkara yang tidak baik.

Sesungguhnya, cahaya mata yang dianugerahkan Allah kepada kita adalah amanah yang perlu digalas sebaik-baiknya. Kesibukan kita dalam mencari mencari rezeki menyebabkan kita tiada masa untuk melihat perkembangan tumbesaran anak-anak kita.

Dewasa ini semakin banyak kes keruntuhan akhlak yang berlaku di kalangan anak-anak kita. Ditambah pula dengan kehadiran gajet yang membuatkan anak-anak kita semakin jauh dan sukar dipantau.

Selain memberi kata nasihat, antara ikhtiar lain adalah dengan memohon doa kepada Allah SW.T. agar anak-anak dilembutkan hatinya.

Hati yang lembut akan memudahkan anak menerima nasihat, tidak mudah marah, rendah hati dan disenangi orang sekeliling.

Berikut merupakan beberapa pilihan doa yang boleh diamalkan oleh ibu bapa untuk melembutkan hati anak-anak.

Senarai Doa Melembutkan Hati Anak Yang Berkesan

Highlighted

Kredit gambar: Mingguan Wanita

Berikut merupakan antara pilihan doa-doa melembutkan hati anak iaitu:

#1. Doa Nabi Zakaria Mendapat Zuriat Yang Baik

Bertepatan dengan maksudnya, doa ini sangat sesuai diamalkan untuk memohon dikurniakan zuriat, mahupun untuk memperelokkan akhlak anak-anak kita.

هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهٗ ۚ قَالَ رَبِّ هَبْ لِيْ مِنْ لَّدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۚ اِنَّكَ سَمِيْعُ الدُّعَاۤءِ

(Surah Al Imran Ayat 38)

“Hunaaalika da’aa Zakariyyaa Rabbahuu qoola Rabbi hab lii mil ladunka zurriyyatan taiyibatan innaka samii’ud du’aaa’.”

Maksudnya:

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.”

#2. Doa Supaya Dilembutkan Hati Anak

Latiif, yakni salah satu daripada nama Allah yang terkandung dalam asmaul Husna ini bermaksud Maha Lembut. Oleh itu, dengan berkat kelembutanNya, eloklah kita memohon agar Allah melembutkan hati anak kita. Doa ini amat sesuai dibacakan sekiranya mempunyai anak yang agak degil dan keras kepala.

اَللّٰهُ لَطِيْفٌۢ بِعِبَادِهٖ يَرْزُقُ مَنْ يَّشَاۤءُ ۚوَهُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيْزُ

(Surah As-Syuura Ayat 19)

“Allahu Latifun bi ‘ibadihi, yarzuqu man yasha’u, wa huwa l’-Qawiyyu l-‘Aziz.”

Maksudnya:

“Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”

#3. Doa Supaya Anak Kuat Dan Sabar

Doa ini digalakkan ditiup pada ubun-ubun anak setiap pagi sebelum mereka ke sekolah, atau setiap kali selepas solat bersama. Mudah-mudahan mereka dikurniakan Allah SWT kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi semua bentuk ujian dan cabaran sehingga mencapai kemenangan di dunia dan akhirat.

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اصْبِرُوْا وَصَابِرُوْا وَرَابِطُوْاۗ وَاتَّقُوا اللّٰهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ

(Surah Al Imran Ayat 200)

“Yaa ayyuhalladzina amanush biru wa shobiru wa robitu wat taqullaha la’allakum tuflihuun.”

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

#4. Doa Untuk Anak Agar Menjadi Penyejuk Mata

Ini adalah salah satu doa yang disyariatkan kepada kita juga, agar memohon keluarga dan anak keturunan yang dapat menjadi penyejuk pandangan, dan penawar di hati.

Selain itu, ia turut menekankan permohonan kita agar dapat menjadi pemimpin yang baik atau ‘role model’ yang dapat menjadi ikutan orang-orang bertaqwa. Selitkan doa ini setiap kali selepas solat.

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ اَزْوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَامًا

(Surah Al-Furqan Ayat 74)

“Rabbana hab lana min azwaa jina wa dzurriyyaatinaa qurrata a’yuun. Waj alna lil muttaqiina imaamaa.”

Maksudnya:

“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata kami melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

#5. Doa Supaya Dikurniakan Anak Yang Mentaati Perintah Allah

Ini adalah salah satu petikan doa daripada Nabi Ibrahim yang dibacakan ketika membina Kaabah bersama anaknya, Nabi Ismail.

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَآ اُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَۖ وَاَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا ۚ اِنَّكَ اَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ

(Surah Al-Baqarah Ayat 128)

“Rabbana waj alna muslimaini laka wamin dzurriyatinaa ummatan muslimatan laka wa arinaa manaa sinakaa watub alaina. Innaka anta tawwabur rahiim.”

Maksudnya:

“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Sahabat Anas bin Malik berkata: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan doa kepada Umar bin Khattab.

اَللَّهُمَّ لَيِّنْ لِيْ قَلْبَهُ لَيِّنْتَ لِدَاوُدَالْحَدِيْد

“Allahumma Layyinli Qalbahu, Layyinta li Dawudal Hadiid.”

Maksudnya:

“Ya Allah, lembutkanlah hatinya sebagaimana Engkau melunakkan besi kepada Nabi Dawud.”

Tips Agar Doa Dimakbulkan Oleh Allah

Kredit gambar: Roompi Id

Terdapat beberapa tips atau panduan supaya setiap doa dimakbulkan oleh Allah S.W.T iaitu:

#1. Mencari waktu yang mustajab iaitu sepertiga malam terakhir

Rasuluah SAW bersabda: “Allah turun ke langit dunia setiap malam, ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Allah berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku kabulkan, siapa yang meminta-Ku, Aku beri, dan siapa yang minta ampunan pasti Aku ampuni.” (HR. Muslim)

#2. Berdoa antara azan dan iqamah dan ketika sujud dalam solat

Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Doa antara azan dan iqamah tidak tertolak.”

(Hadis Riwayat Abu Daud, Nasa’i, dan Tirmidzi)

Nabi bersabda:

“Keadaan terdekat antara hamba dengan Tuhannya adalah ketika sujud. Maka perbanyaklah berdoa.”

(Hadis Riwayat Muslim)

#3. Menghadap kiblat dan menadah tangan semasa berdoa

Dari Jabir r.a, Nabi Muhammad S.A.W ketika berada di padang Arafah, beliau menghadap kiblat, dan beliau terus berdoa sampai matahari terbenam.

(Hadis Riwayat Muslim)

#4. Berdoa dengan khusyuk, rendah hati dan penuh pengharapan kepada Allah

Allah S.W.T berfirman:

“Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.”

(Surah Al-Anbiya’: 90)

#5. Menggunakan suara yang syahdu

Allah S.W.T juga berfirman:

“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah Al-A’raf: 55)

#6. Memuji Ke-Esaan Allah dan berselawat ke atas Rasulullah S.A.W

Sabda Rasulullah S.A.W:

“Apabila kalian berdoa, hendaknya memulai dengan memuji dan mengagungkan Allah, kemudian bersalawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Kemudian berdoalah sesuai kehendaknya.”

(Hadis riwayat Ahmad)

#7. Yakin doa pasti termakbul dan tidak mudah berputus asa

Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

“Janganlah kalian ketika berdoa mengatakan : Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau mahu. Ya Allah, rahmatilah aku, jika Engkau mahu. Hendaklah dia mantapkan keinginannya, kerana tidak ada yang memaksa Allah.”

(Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Semoga dengan perkongsian ini, sedikit sebanyak dapat memberi manfaat yang sangat berguna, InsyaAllah!


Rujuk panduan solat, zikir, doa dan ibadah-ibadah lain DI SINI.