Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Melupakan Seseorang Dalam Islam Yang Terkandung Dalam Al-Quran Dan Hadis

doa lupakan seseorang

Kredit gambar: istockphoto

Antara kelemahan terbesar manusia ialah emosinya. Mengawal dan bertindak dengan betul di atas emosi sendiri bukanlah senang. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan perasaan yang mendalam.

Dalam berhubungan sesama manusia, kita akan diuji dengan pelbagai situasi yang sulit dan tidak menyenangkan. Antaranya adalah apabila kita harus melupakan seseorang di atas sebab-sebab yang tertentu seperti tidak berjodoh dan sebagainya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. yang telah direkodkan oleh Imam Bukhari, baginda telah bersabda:

Tidaklah menimpa seseorang Muslim sama ada letih, sakit, kerisauan, kesedihan, kesusahan atau kebimbangan bahkan tusukan duri sekali pun melainkan Allah S.W.T. akan menjadikan semua itu sebagai kifarah kepada dosa-dosanya.

Sering kali kita terlupa bahawa pada setiap ujian Allah itu, dosa kita akan digugurkan bersama.

Doa Melupakan Seseorang Dalam Islam Yang Terkandung Dalam Al-Quran Dan Hadis

Ketika diuji dengan ujian perasaan, manusia sering melakukan tindak-tanduk yang dirasakannya akan membantu mereka menangani ujian itu.

Padahal sebenarnya, ketika ujian datang menimpa, perkara pertama yang kita harus lakukan adalah berdoa memohon ampun dan pertolongan dari Allah.

Sesungguhnya, Allah S.W.T. lah yang memegang hati manusia. Kita sering terlupa dan menyangka bahawa hati kita ini adalah dalam kawalan kita.

Oleh itu, perbanyakkanlah berdoa memohon kepadaNya. Berikut adalah antara doa yang kita boleh amalkan untuk melupakan seseorang:

Doa Melupakan Seseorang (1)

Highlighted

Kredit gambar: www.surah.my/13

Maksudnya: “Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Ia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada “Ibu segala suratan”.” – Surah Ar-Ra’d, ayat 39

Daripada perkongsian The Rohani, pada ayat ini, telah dijelaskan bahawa sesungguhnya, Allah S.W.T. itu Maha Berkuasa untuk membuat apa sahaja yang dikehendakiNya.

Segala kesakitan dan tekanan yang anda sedang alami, Dia boleh hapuskannya sekelip mata sahaja. Amalkanlah doa ini sentiasa dan fahamilah maksudnya supaya hati anda terubat.

Doa Melupakan Seseorang (2)

Melalui perkongsian Dalamislam, terdapat beberapa doa yang kita dianjurkan untuk berdoa dengannya apabila ingin melupakan seseorang.

“Ya Allah berikanlah aku kekuatan hati untuk senantiasa bersabar di jalan kebenaran dan jalan yang Engkau Redhai. Jangan biarkan ingatanku bergantung kepada masa lalu dan seseorang yang membuat aku jauh dariMu, lali dari ibadah kepadaMu, dan melupakan perintahMu. Biarkan hati dan fikiran ini hanya tunduk kepada ajaranMu serta berpasrah pada TitahMu.”

Doa Melupakan Seseorang (3)

Doa untuk melupakan seseorang yang seterusnya pula:

“Ya Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang, jangan jadikan kami larut dalam kesedihan. Biarkan hati dan fikiran ini selalu tertaut kepada kebaikan dan kebenaran. Jangan jadikan orang-orang di masa lalu kami menjadi penghalang kami untuk beribadah dan selalu mengingatiMu. Biarkan kami senantiasa mengingatiMu, bukan mengingat hal-hal yang buruk dan membuat tertekan.”

Fahamilah dan hayatilah maknanya, kemudian berdoalah dengan hati yang hadir, memohon Allah mengijabahkan isi pati doa kita.

Doa Melupakan Seseorang (4)

Selain itu, berdoalah dengan doa daripada hadis Rasulullah S.A.W. ini apabila ditimpanya rasa sedih dan dukacita:

Kredit gambar: web.facebook.com/jomsolah?_rdc=1&_rdr

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku mohon perlindungan denganMu daripada rasa susah hati dan kesedihan, daripada lemah dan malas, daripada sifat bakhil dan sifat penakut dan daripada desakan berhutang dan paksaan orang.” – Riwayat al-Bukhari

Doa Melupakan Seseorang (5)

Doa ini juga elok untuk diamalkan untuk menenangkan hati di atas segala yang terjadi. Dalam doa ini juga turut mengandungi lafaz istirja’ (Sesungguhnya kita milik Allah dan kepadaNya kita akan kembali) yang kita disarankan untuk menyebut apabila ditimpa sesuatu yang tidak diingini.

Doanya adalah sebegini:

Kredit gambar: web.facebook.com/jomsolah?_rdc=1&_rdr

Maksudnya: “Sesungguhnya kita milik Allah dan kepadaNya kita akan kembali. Ya Allah, kurniakanlah ganjaran kepadaku di atas musibah yang menimpa diriku dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik daripadanya.” – Riwayat Muslim

Daripada Ummu Salamah R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ، فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللهُ: {إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ} [البقرة: 156]، اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا، إِلَّا أَخْلَفَ اللهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا”.

Maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah lalu ia membaca apa yang telah diperintahkan oleh Allah, “Innaa lillahi wainnaa ilaihi raaji’uun allahumma`jurnii fii mushiibati wa akhlif lii khairan minhaa (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah. Ya Allah, berilah kami pahala karena mushibah ini dan tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya)” melainkan Allah menukar baginya dengan yang lebih baik.” – Riwayat Muslim (918)

Doa Melupakan Seseorang (6)

Dalam perkongsian Popbela, ada sebuah zikir dan doa yang Rasulullah S.A.W. ucapkan ketika ditimpa kegelisahan dan kesulitan:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ ; لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ ; لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَرَبُّ الْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ

Maksudnya: “Tiada Ilah (Tuhan) yang berhak diibadahi kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala Yang Maha Agung lagi Maha Penyantun; Tiada Ilah (Tuhan) yang berhak diibadahi kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala  Pemilik dan Penguasa Arsy’ yang agung; Tiada Ilah (Tuhan) yang berhak diibadahi kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala Pemilik dan Penguasa langit, bumi dan Arsy’ yang mulia.” – Riwayat Bukhari, no. 6346 dan Muslim, no. 2730

Tenangkanlah hati dengan melazimi doa ini. InsyaAllah, hati anda akan merasa lebih tenang dan redha dengan ujian ini.

Doa Melupakan Seseorang (7)

Percayalah dengan sebenar-benarnya bahawa Allah lah yang mengatur hati-hati kita dan perlindungan hanyalah daripada Dia:

“Ya Allah Yang Maha Pengasih, sesungguhnya Engkaulah yang mengatur hati-hati kami. Jagalah hati kami dari kedengkian, ingatan yang buruk, kebencian, yang mampu menyengsarakan hidup. Jangan biarkan kami mengingat hal-hal yang menjadikan kami lalai dari ibadah dan taat padaMu.”

Doa Melupakan Seseorang (8)

Seperti kata-kata dari barat “This too, shall pass”, dalam Islam juga, tiada yang kekal melainkan Allah sahaja. Jadi segala penderitaan dan kegelisahan yang anda sedang rasakan sekarang, ia juga akan hilang suatu hari nanti.

Amalkanlah doa ini dengan yakin:

Maksudnya: “Sesungguhnya kepunyaan Allah apa yang diambil olehNya dan kepunyaanNya jualah apa yang diberi. Setiap sesuatu itu telah ditetapkan ajal (tempoh) di sisiNya. Maka bersabarlah dan mohonlah ganjaran daripadaNya.” – Riwayat Muslim

Doa Melupakan Seseorang (9)

Perbanyakkan juga doa ketika dalam kesusahan ini. Moga Allah mengangkat ujian ini dan memberi ketenangan pada hati dan jiwa:

Kredit gambar: web.facebook.com/jomsolah?_rdc=1&_rdr

Maksudnya: “Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku telah tergolong di kalangan orang-orang yang zalim.” – Hadith riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim

InsyaAllah, moga-moga dengan amalan doa-doa ini, Allah akan mengangkat ujian yang telah Dia berikan dan mengurniakan sesuatu yang lebih baik darinya.


Dapatkan e-baucar istimewa apabila Mommy mengundi jenama barangan bayi dan keperluan ibu hamil kegemaran Mommy di Motherhood Choice Awards 2022 hari ini!