Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Doa Memakai Pakaian Mengikut Dalil Sahih

doa memakai pakaian

Kredit gambar: www.thespruce.com

Sebagai orang Islam, memohon doa memakai pakaian dan ketika membukanya merupakan tindakan ibadah yang dilakukan untuk mengingatkan diri betapa pentingnya untuk bersyukur, menjaga hati yang ikhlas, dan mengakui kekuasaan Allah dalam segala hal, termasuk dalam hal-hal seharian walaupun hanya untuk berpakaian.

Bahkan, tujuan membaca doa ketika memakai pakaian dalam Islam juga adalah untuk mengungkapkan rasa syukur kepada Allah dan meminta perlindungan-Nya dari panahan mata jahat atau godaan syaitan yang selalu menghasut umat manusia agar melakukan dosa dan kejahatan.

Selain itu, doa ini turut mengandungi permintaan ampun dan perlindungan daripada kesalahan atau keburukan yang mungkin terjadi melalui pakaian tersebut serta sebagai pengingat bahawa Allah adalah sumber segala berkat dan kemuliaan lalu menghindarkan diri dari sifat kesombongan atau riak ketika memakai pakaian.

Oleh itu, melalui artikel kali ini, kita akan pelajari beberapa petikan doa memakai pakaian untuk diamalkan setiap hari.

Untuk ketahui apakah doa-doa tersebut, ikuti perkongsian di bawah!

Senarai Petikan Doa Memakai dan Membuka Pakaian

Highlighted

Kredit gambar: umroh.com

Berikut merupakan beberapa doa yang boleh kita amalkan iaitu:

#1. Doa ketika memakai pakaian

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهِ وَخَيْرِ مَا هُوَ لَهُ ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ وَشَرِّ مَا هُوَ لَهُ

Allaahumma innii as’aluka min khairhi wa khaira maa huwa lahu, wa a’uudzubika min syarrihi wa syarri maa huwa lahu

Maksudnya:

“Ya Allah, sungguh aku memohon kepada-Mu kebaikan pakaian ini dan kebaikan sesuatu yang di dalamnya, dan aku berlindung kepada-Mu dari keburukan pakaian ini dan keburukan sesuatu yang ada di dalamnya.”

#2. Doa ketika membuka pakaian

بِسْمِ اللهِ الَّذِيْ لاَ إِلَهَ إِلأَ هُوَ

Bismillahi ladzi laa ilaaha Illa hu

Maksudnya:

“Dengan nama Allah yang tiada tuhan selain Dia”

Doa ini merupakan doa ‘pendinding’ dari terbukanya aurat kita di mana ia boleh dilihat oleh golongan jin/syaitan ketika ingin membuka baju bagi lelaki mahupun wanita.

Bacaan yang merupakan sunnah Rasulullah S.A.W. ketika sedang membuka pakaian ini mampu menghalang pandangan jin dan juga syaitan untuk melihat aurat manusia.

#3. Doa Sebelum Masuk Bilik Mandi

بِسْمِ اللهِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ

Bismillaah, Allaahumma Innii A’uudzu bika Minal Khubutsi Wal Khabaa-its.

Maksudnya:

“Dengan menyebut nama Allah, Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah dari jin lelaki dan jin perempuan.”

#4. Doa Ketika Keluar Bilik Mandi

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَذْهَبَ عَنِّي الْأَذَى وَعَافَانِي

Alhamdulillaahil Ladzii Adzhaba ‘Annil Adzaa Wa ‘Aa-faa-nii.

Maksudnya:

“Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kotoran dari ku dan yang telah menyihatkan ku.”

Dalil Mengenai Doa Memakai Pakaian dan Membukanya

Terdapat beberapa dalil sahih berkaitan dengan doa-doa ketika membuka dan memakai pakaian. Antara beberapa dalil mengenai keperluan untuk membaca doa ketika buka pakaian adalah melalui firman Allah S.W.T dan hadis sahih iaitu:

إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ ۗ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya:

“Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.”

(Surah Al-‘Araf : 27)

Riwayat daripada Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda :

سِتْرُ مَا بَيْنَ أَعْيُنِ الْجِنِّ، وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا وَضَعُوا ثِيَابَهُمْ أَنْ يَقُولُوا : بِسْمِ اللَّهِ

Maksudnya:

“Penghalang (hijab) antara pandangan mata jin dan aurat bani Adam ketika membuka pakaian ialah membaca bismillah (dengan nama Allah)”

[HR al-Tabrani di dalam al-Mu’jam al-Ausat (2504)]

Antara riwayat lain pula adalah daripada Ali bin Abi Talib yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda :

سِتْرُ مَا بَيْنَ الْجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا دَخَلَ الْكَنِيفَ أَنْ يَقُولَ: بِسْمِ اللَّهِ

Maksudnya:

“Penghalang (hijab) antara pandangan mata jin dan aurat bani Adam, ketika masuk ke kanif (tempat buang air), ialah membaca bismillah (dengan nama Allah).”

[HR Ibn Majah (297)] Dan diriwayatkan juga oleh Imam al-Tirmizi (606) dengan sedikit perbezaan.

Diharapkan dengan perkongsian ilmu ini, kita semua dapat beramal dengannya, InsyaAllah!


Dapatkan panduan ibadah yang lain di SINI!