Jika diminta untuk memilih di antara tiada air ataupun tenaga elektrik, pasti ramai yang memilih untuk tiada elektrik. Ini adalah kerana air merupakan antara keperluan utama manusia.
Bukan sahaja manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan juga. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan dan apabila sesuatu tempat itu kekurangan air dan hujan tidak pula turun, masyarakat atau rakyatnya boleh hilang kewarasan.
Dahaga, kekurangan makanan, sakit kepala dan terbantut segala urusan harian; air amatlah penting.
Hilangkan Kerisauan Dengan Memperbanyakkan Doa Minta Hujan Ini
Apabila diuji dengan ketiadaan air dan kurangnya hujan yang turun, teruslah laksanakan solat memohon hujan dan amalkan doa-doa meminta hujan ini:
Doa minta hujan (1)
Dalam sebuah perkongsian oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Rasulullah S.A.W. telah bersabda dengan doa berikut:
اللهُمَّ أَغِثْنَا، اللهُمَّ أَغِثْنَا، اللهُمَّ أَغِثْنَا
Maksudnya: “Ya Allah turunkanlah hujan kepada kami, Ya Allah turunkanlah hujan kepada kami, Ya Allah turunkanlah hujan kepada kami.” – Riwayat al-Bukhari (1014)
Doa ini telah dibaca oleh Rasulullah ketika baginda sedang berkhutbah. Seseorang telah datang dan mengutarakan masalah berkenaan hujan yang tidak turun setelah lamanya. Doa ini telah pun dipanjatkan oleh Rasulullah supaya Allah mengutuskan hujan kepada mereka.
Doa minta hujan (2)
Dalam hadis yang lain oleh Jabir bin Abdillah R.A., sabda Rasulullah S.A.W.:
اللَّهُمَّ اسْقِنَا غَيْثًا مُغِيثًا، مَرِيئًا مَرِيعًا، نَافِعًا غَيْرَ ضَارٍّ، عَاجِلًا غَيْرَ آجِلٍ
Maksudnya: “Ya Allah turunkanlah hujan kepada kami secara merata, menyegarkan, menyuburkan tanaman, bermanfaat tanpa mudharat serta kami mohon agar diturunkan hujan dengan segera tanpa ditangguh-tangguh.” – Riwayat Abu Daud (1169)
Spesifiknya doa ini iaitu mengharapkan hujan yang lebat daripada Allah tetapi tidak memudaratkan.
Doa minta hujan (3)
Selain daripada itu, doa ini juga elok untuk diamalkan. Ia adalah daripada hadis yang turut diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah R.A.:
اللَّهُمَّ اسْقِ عِبَادَكَ، وَبَهَائِمَكَ، وَانْشُرْ رَحْمَتَكَ، وَأَحْيِ بَلَدَكَ الْمَيِّتَ
Maksudnya: “Ya Allah turunkanlah hujan kepada hamba-hambaMu, binatang ternakan serta luaskanlah rahmatMu dan hidupkanlah negeriMu yang mati.” – Riwayat Abu Daud (1176)
Pengertian kepada permohonan supaya Allah menghidupkan kembali negeri yang telah mati adalah agar Allah mengembalikan semula kesuburan negeri itu.
Doa minta hujan (4)
Dalam perkongsian yang lain iaitu daripada Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, telah dikongsikan untuk orang ramai supaya beramal dengan zikir dan doa meminta hujan ini:
- Yang pertama sekali, bacalah Surah Al-Fatihah dan hadiahkan kepada Rasulullah S.A.W.
- Kemudian, niatkan di dalam hati untuk meminta hujan yang bermanfaat daripada Allah S.W.T.
- Lantas, amalkanlah zikir dan doa di dalam gambar di bawah ini mengikut bilangan yang tertentu untuk setiapnya.
Amalkanlah pada setiap kali selepas solat fardhu dan solat sunat. InsyaAllah, berkat daripada amalan ini dan niat kita yang baik, Allah akan memakbulkannya.
Doa minta hujan (5)
Kemudian, bolehlah terus berdoa dengan doa minta hujan daripada Mufti Kerajaan Negeri Sembilan ini:
Maksudnya: “Ya Allah! Turunkan kepada kami hujan yang menyelamatkan, menyuburkan, lebat, menyenangkan, merata manfaatnya, menyeluruh, memuaskan dan terus langsung. Ya Allah! Turunkanlah hujan kepada kami daan jangan Engkau jadikan kami ini golongan orang-orang yang berputus asa. Ya Allah! Sekelian hamba, negeri, temakan, seluruh makhluk, sedang menghadapi keletihan, kesukaran serta kepayahan. Tiada tempat mengadu semua ini semua melainkan kepada Mu. Ya Allah! Tumbuhkanlah tanaman kami, keluarkan susu perahan kami, hujanilah kami dari berkah langit dan tumbuhkanlah untuk kami dari berkah bumi. Ya Allah, lenyapkanlah kesukaran kami, kelaparan dan kemiskinan, halaukanlah semua bencana dari diri kami, şebab tiada yang dapat menghalaukan itu selain Engkau. Ya Allah! Kami mohon keampunanMu, şebab Engkau adalah Maha Pengampun. Kerana itu turunkanlah hujan dari langit dengan selebat-lebatnya.”
Doa Minta Hujan
Amalkanlah zikir dan doa minta hujan ini dengan penuh pengharapan kepada Allah. Jangan lupa untuk beristighfar supaya dosa-dosa kita diampunkan dan tidak menjadi penghalang kepada makbulnya doa. InsyaAllah.
Dapatkan juga pelbagai pilihan doa dan tips serta panduan keagamaan yang lain di SINI!