Dalam Islam bekerja adalah satu ibadah, tuntutan dan juga tanggungjawab manusia di muka bumi dan memulakannya dengan doa mula kerja adalah suatu tindakan serta adab bekerja yang sangat dituntut.
Semua manusia di muka bumi ini perlu berusaha dan bekerja untuk mendapatkan rezeki masing-masing.
Amalkan sunnah Nabi S.A.W dengan baca doa mula kerja
Pekerjaan adalah satu bidang dalam kehidupan manusia untuk memperolehi dan mendapatkan harta benda bagi memenuhi keperluan hidup di muka bumi ini.
Pekerjaan juga boleh menjadi sebahagian daripada ibadah jika ianya dilakukan semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah S.W.T dan mengikut syarat-syarat yang tertentu.
Oleh itu, sebelum memulakan kegiatan, sebaiknya dimulakan dengan doa mula kerja terlebih dahulu supaya setiap yang kita lakukan akan berjalan dengan lancar, dikurniakan rezeki yang halal, dipermudahkan segala kesulitan dan juga diberi ketenangan dan kesabaran hati.
#1. Doa pendek sebelum pergi kerja
اَللّهُمَّ اِنِّيْ اَعُوْذُ بِكَ اَنْ اَضِلّ اَوْ أُضَلَّ اَوْ اَزِلَّ اَوْ أَظْلَمَ اَوْ أَجْهَلَ اَوْ يُجْهَلَ عَلَيَّ.
“Allaahummainnii a’uudzubika an adhilla, au udholla, au azilla, au adzlama, au ajhala, au yujhala ‘alayya.”
Maksudnya:
“Ya Allah, sungguh aku berlindung kepada-Mu agar tidak tersesat atau disesatkan atau aku tergelincir atau digelincirkan atau aku berbuat zalim atau dizalimi atau aku berbuat bodoh atau dibodoh.”
#2. Doa supaya kerja berjalan lancar
بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلىَ اللهِ وَاعْتَصَمْتُ بِااللهِ وَفَوَّضْتُ أَمْرِى إِلَى اللهِ حَسْبِىَ اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَةَإِلَّابِاللهِ اْلعَلِىِّ اْلعَظِيْمِ
“Bismillahi tawakkaltu ‘alallaahi wa tashamtu billaahi wa faw-wazhtu amri alallaahi hasbiyallaahu wani’mal wakiilu walaa haula wallaa quwwata illaa billaahil ‘aliyyil ‘adzhiim.”
Maksudnya:
“Dengan nama Allah, aku mulai dan aku bertawakal kepada Allah, aku berpegang teguh kepada Allah, dan aku menyerahkan kepada Allah, cukup Allah tempatku berpegang dan bertawakal, tidak ada yang lebih kuat dan kuasa, hanya Allah yang Maha Tinggi dan Maha Esa.”
“Ya Allah! Ya tuhan kami,
Pada hari ini, kami menadah tangan memohon restu perkenan daripada-Mu, jadikanlah hari ini hari kebaikan bagi kami, hari kesinambungan untuk kami mengejar dan memperjuangkan cita-cita murni kami.”
“Sesungguhnya Ya Allah! Jadikanlah hari ini hari bagi kami mengorak langkah, berhijrah dari sudut yang baik kepada yang lebih baik, dari insan yang lemah kepada insan yang kamil dan dari tingkah laku yang kurang baik kepada yang baik dan daripada tingkah laku yang baik kepada yang lebih baik.”
“Ya Allah! Engkau jadikanlah segala tugas yang telah dan yang akan kami laksanakan sebagai suatu ibadah kepada-Mu jua. Kami bersyukur ke hadrat-Mu Ya Allah! Kerana diberi masa untuk terus hidup, menerokai alam yang penuh dengan khazanah yang engkau ciptakan untuk kami memikir dan mengambil ikhtibar di atas keagungan-Mu. Jadikanlah penghidupan kami ini sebagai suatu penghidupan yang penuh keimanan dan ketakwaan kepada-Mu Ya Allah.”
“Ya Allah! Ya Rahman! Ya Rahim!
Engkau satukanlah hati-hati kami, agar kami dapat bekerja dengan jiwa yang bersatu-padu, hormat-menghormati serta percaya-mempercayai, berikanlah kami kekuatan tenaga dan akal fikiran juga kesabaran dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan, pimpinkanlah kami agar kami tahu mensyukuri nikmat yang telah Engkau kurniakan kepada kami, juga pimpinkanlah kami ke atas melakukan perbuatan-perbuatan baik dan usaha-usaha yang murni yang Engkau redhai serta masukkanlah kami ke dalam lingkungan hamba-hamba-Mu yang solihin iaitu dengan rahmat-Mu jua Ya Allah!”
“Ya Allah Ya Robbul Alamin!
Perkenankanlah kami untuk menuju ke arah petunjuk Engkau dan peliharalah kami daripada perkara-perkara yang menyebabkan kebodohan dan kerosakan diri kami sendiri, selamatkanlah kami daripada sifat-sifat keburukan hawa nafsu kerana ia adalah sejahat-jahat musuh. Lindungilah kami daripada kesesatan hati, kelalaian, kepapaan, kehinaan, kemalasan, beban hutang, kemiskinan dan segala sifat-sifat yang tidak Engkau redhai seperti sifat lara yang sia-sia dan membuang masa.”
“Ya Allah! Engkau perbaikilah kami di atas urusan agama kami yang menjadi sandaran segala urusan kami, Engkau perbaikilah dunia kami yang menjadi tempat penghidupan kami, perbaikilah akhirat kami di mana kami akan dikembalikan. Ya Allah! Jadikanlah kehidupan kami sebagai tambatan setiap kebaikan untuk kami.”
“Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu kebaikan hari ini iaitu tercapai objektif atau matlamat pekerjaan, mendapat kemenangan terhadap musuh, mendapat cahaya memberi petunjuk ilmu dan pekerjaan, mendapat berkat kemurahan rezeki yang halal lagi baik, mendapat hidayah agar tetap mengikut petunjuk dan menjauhi hawa nafsu dan aku berlindung kepada-Mu dari segala kejahatan yang ada pada hari ini dan segala kejahatan yang ada selepas hari ini.”
#3. Doa mula kerja
اَللّهُمَّ ارْزُقْنِيْ رِزْقًا حَلاَلاً طَيِّباً, وَاسْتَعْمِلْنِيْ طَيِّباً. اَللّهُمَّ اجْعَلْ اَوْسَعَ رِزْقِكَ عَلَيَّ عِنْدَ كِبَرِ سِنِّيْ وَانْقِطَاعِ عُمْرِيْ. اَللّهُمَّ اكْفِنِيْ بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ, وَاَغِْننِيْ بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ. اَللّهُمَّ اِنِّيْ اَسْأَلُكَ رِزْقًا وَاسِعًا نَافِعًا. اَللّهُمَّ اِنِّيْ اَسْأَلُكَ نَعِيْمًا مُقِيْمًا, اَلَّذِيْ لاَ يَحُوْلُ وَلاَ يَزُوْلُ.
Allaahummarzuqnii rizqon halaalan thoyyibaa, wasta’milnii thayyibaa. Allaahummaj’al ausa’a rizqika’alayya’indakibari sinnii wanqithaa’i’umrii. Allaahummakfinii bihalaalika’an haraamika. wa aghninii bifadhlika’amman siwaaka. Allaahumma in nii as-aluka rizqon waasi’an naafi’an. Allaahumma innii as-alukan na’iimaan muqiiman, alladzi laa yahuulu wa laa yazuulu.
Maksudnya:
“Ya Allah, berilah padaku rezeki yang halal dan baik, serta pakaikanlah padaku segala perbuatan yang baik. Ya tuhanku, jadikanlah oleh-Mu rezekiku itu paling luas ketika tuaku dan ketika lemahku. Ya Allah, cukupkanlah bagiku segala rezeki-Mu yang halal daripada yang haram dan kayakanlah aku dengan kurnia-Mu dari yang lainnya. Ya Allah, aku memohon pada-Mu rezeki yang luas dan berguna. Ya Allah, aku memohon pada-Mu nikmat yang kekal yang tidak putus-putus dan tidak akan hilang.
Adab Bekerja Menurut Islam
Sebelum memulakan kerja atau sesuatu tugasan, niatkan dahulu di dalam hati semua yang kita lakukan adalah kerana Allah S.W.T. Antara adab-adab bekerja yang lain adalah seperti berikut :
- Membaca bismillahirahmanirrahim dan doa mula kerja.
- Elakkan menangguh kerja dan siapkan tugasan pada masa dan waktu yang telah ditetapkan.
Daripada Ibn Umar r.a katanya, Rasulullah S.A.W memegang dua bahuku seraya berkata :
كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ ، وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ : إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ
Maksudnya:
“Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir.” Dan adalah Ibn Umar r.a berkata : Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu.
Riwayat al-Bukhari (6053)
- Membuat kerja dengan bersungguh-sungguh.
- Menjalankan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab, jujur, amanah dan juga penuh ikhlas.
Daripada Aisyah r.a, baginda Rasulullah S.A.W bersabda :
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (897) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929, 4930 dan 4931) tetapi dengan sanad yang berbeza.
- Pastikan diri sentiasa memakai pakaian yang menutup aurat, bersih, kemas, sopan dan sesuai dengan tuntutan kerja.
- Sentiasa mengamalkan sikap bertolenrasi dan bekerjasama dengan rakan sepasukan.
- Mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh ketua.
Kelebihan Apabila Mengamalkan Adab-adab Ketika Bekerja
Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
مَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلَالَا اسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ ، وَسَعْيَا عَلَى أَهْلِهِ ، وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ ، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ
Maksudnya:
“Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)
- Mendapat keberkatan dan juga keredhaan oleh Allah S.W.T
- Memperoleh ganjaran pahala kerana bekerja juga dianggap sebagai satu ibadah.
- Memperoleh rezeki yang halal dan mencukupi.
- Mendapat faedah yang berpanjangan terhadap hasil kerja yang dilakukan dengan hati yang penuh dengan keikhlasan.
- Hubungan silaturrahim juga terjaga di antara rakan sekerja dan juga menjadi rapat.
- Mengelakkan rasa letih dan menimbulkan rasa seronok ketika bekerja.
Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Qasas ayat ke-26:
إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
Maksudnya:
“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang diambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”
Oleh itu, setiap perkara yang kita lakukan selitkanlah doa supaya urusan kita sentiasa dipermudahkan dan mendapat keredhaan Allah.
Semoga perkongsian ini mendapat keredhaan Allah dan diberikan manfaat kepada semua orang. Ayuh amalkan doa pembuka rezeki pula!