Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Senarai Doa Nabi Musa Dalam Al-Quran Yang Boleh Diamalkan Umat Islam

doa nabi musa

Kredit gambar: istockphoto

Di dalam Al-Quran, telah diceritakan pelbagai kisah mengenai nabi-nabi Allah seperti kisah Nabi Musa A.S.. Nabi Musa A.S. adalah nabi Allah yang dikurniakan banyak kelebihan dan keistimewaan dariNya.

Meskipun begitu, Nabi Musa A.S. banyak berdoa kepada Allah memohon bantuan dariNya.

Senarai Doa Nabi Musa Dalam Al-Quran

Menurut Merdeka, terdapat sekurang-kurangnya 5 doa Nabi Musa A.S. yang termaktub dalam Al-Quran. Sebagai hamba Allah, adalah elok jika Mommy dan Daddy jadikan doa-doa ini antara amalan kita juga.

Berikut adalah antara doa-doa tersebut:

1. Doa Nabi Musa untuk memohon kebaikan

رَبِّ إِنِّى لِمَآ أَنزَلْتَ إِلَىَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Robbi innii limaaa anzalta ilayya min khoirin faqiir.

Maksudnya: “Ya Tuhanku sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.” – Surah Al-Qasas, ayat 24

Pada ketika ini, Nabi Musa A.S. sedang menghadapi kesukaran dan memerlukan pertolongan. Walaupun Nabi Musa A.S. mempunyai darjat yang tinggi di sisi Allah dan Dia mungkin akan memakbulkan terus permintaan nabiNya, Nabi Musa A.S. tetap berlapik dan beradab ketika memohon kebaikan dari Allah.

Dalam perkongsian Kashoorga, dikatakan bahawa Nabi Musa A.S. masih mengekalkan rasa malu dan beradab apabila meminta kepadaNya Yang Maha Hebat.

Sentiasalah ingat kedudukan kita sebagai hamba yang tidak mempunyai apa-apa dan hanya berharap kepadaNya atas segala sesuatu.

Halusnya, berlapiknya doa Nabi Musa A.S., ia tidak seperti mengarah atau memaksa Allah untuk berikannya apa yang diperlukannya meskipun keadaannya memang sulit.

Tetapi Nabi Musa A.S. berdoa meminta kepada sesuatu kebaikan yang baik dan elok di sisi Allah serta tidak dengan berlebih-lebihan.

Sikap sebegini amatlah elok jika kita praktikkan dalam gaya kita berdoa. Sebenarnya, hanya Allah yang tahu mana yang terbaik untuk kita dan dengan memohon apa yang baik dari sisiNya, pasti kita tidak akan mendapat sebarang keburukan dariNya.

Dalam perkongsian lain, doa ini juga bagus untuk diamalkan dalam memohon rezeki dan jodoh.

2. Doa Nabi Musa untuk dipermudahkan urusan

Highlighted

Kredit gambar: kasihsalina.blogspot.com/

Robbisy rohlii sodrii, wa yassirlii amrii, wahlul ‘uqdatam mil lisaani yafqohuu qoulii.

Maksudnya: “Ya Rabbku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku.” – Surah Taha, ayat 25-28

Isi pengertian ayat ini cukup jelas dan menyeluruh. Nabi Musa A.S. telah berdoa dengan doa ini untuk diberikan kemudahan dalam menyampaikan agama Allah dan menghadapi rintangan hidup.

Adalah elok sekiranya Mommy dan Daddy mengamalkannya dalam setiap urusan yang hendak dilakukan. Contohnya ketika hendak berucap, ketika ingin menuntut ilmu, untuk melakukan perjanjian dan sebagainya.

Yakinlah dengan makna ayat ini dan insyaAllah, Allah akan memudahkan segalanya.

3. Doa Nabi Musa untuk memohon dijauhi fitnah

عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

‘Alallohi tawakkalnaa, robbanaa laa taj’alnaa fitnatal lil-qoumiz-zhoolimiin wa najjinaa birohmatika minal-qoumil-kaafiriin.

Maksudnya: “Kepada Allah lah kami bertawakal. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah bagi kaum zalim dan selamatkanlah kami dengan rahmat Engkau dari (tipu daya) orang-orang yang kafir.” – Surah Yunus, ayat 85 dan 86

Dakwah dan usaha Nabi Musa A.S. membawa dan menyebarkan agama Islam ketika itu menghadapi dugaan dan tentangan dari Firaun dan lain-lain.

Lantas Nabi Musa A.S. berdoa kepada Allah untuk memohon dijauhi fitnah dan kejahatan dari mereka yang zalim dan kafir.

Dalam kehidupan kita yang bermasyarakat, pastinya akan diuji dengan fitnah dunia dan kezaliman pihak-pihak tertentu. Oleh itu, sentiasalah amalkan doa ini terutamanya jika Mommy dan Daddy berada dalam ketakutan dan kerisauan tentang bahaya fitnah dan kezaliman orang.

4. Doa Nabi Musa untuk memohon keampunan

Kredit gambar: www.surah.my/28

Robbi innii zholamtu nafsii faghfir lii faghofaro lah, innahuu huwal ghofuurur rohiim.

Maksudnya: “Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri kerana itu ampunilah aku. Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.” – Surah Al-Qasas, ayat 16

Telah terjadi suatu peristiwa yang membuatkan Nabi Musa A.S. menyesal yang amat dan meminta keampunan terhadap kesilapannya. Jika dilihat pada doa Nabi Musa A.S. ini, Nabi Musa A.S. mengakui salah dan kelemahannya terlebih dahulu barulah diikuti dengan permohonan ampun kepada Allah. Pada akhir doa, ia disusuli dengan pujian kepada Allah.

Doa ini eloklah untuk diamalkan dalam memohon ampun dan ketika bertaubat kepada Allah. Berdoalah dari hati yang ikhlas dan mengharapkan keampunanNya di atas sifatNya Yang Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.

5. Doa Nabi Musa untuk memohon petunjuk

Kredit gambar: www.surah.my/28

Robbi najjinii minal qoumiz-zhoolimiin. ‘Asaa robbiii ayyahdiyanii sawaaa assabiil.

Maksudnya: “Ya Tuhanku, selamatkanlah aku dari orang-orang yang zalim itu. Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan yang benar.” – Surah Al-Qasas, ayat 21 dan 22

Doa yang terkandung dalam ayat 21 dan 22 surah Al-Qasas ini bukan sahaja bagus untuk diamalkan untuk memohon petunjuk tetapi juga untuk menghidari perbuatan jahat orang lain.

Nabi Musa A.S. telah membaca doa ini ketika dalam ketakutan dikejar oleh pembesar Mesir. Doa ini telah diilhamkan untuk membantunya menghadapi waktu yang getir ini.

Sering kali kita berhadapan dengan sesuatu situasi yang mirip seperti ini kan? Amatlah bagus jika Mommy dan Daddy berdoa dengan doa Nabi Musa A.S. ini dalam mengharapkan bantuan dan petunjuk dari Allah.

Doa Nabi Musa Dalam Al-Quran

Kredit gambar: istockphoto

Telah diabadikan di dalam Al-Quran doa-doa Nabi Musa A.S. yang memohon pelbagai pertolongan dari Allah. Jika nabiNya sentiasa berdoa terlebih dahulu apabila menghadapi ujian hidup, lebih-lebih lagi lah untuk kita kan?

Sentiasalah berdoa sebagai langkah pertama Mommy dan Daddy dan yakin sebenar-benarnya dari hati bahawa Allah akan memakbulkan doa kita.


Betulkan bacaan dan tingkatkan amal ibadah dengan pelbagai jenis doa dan panduan di SINI.