Doa Nabi Yunus, atau juga disebut zikir Nabi Yunus merupakan suatu doa yang dibaca oleh Nabi Yunus a.s. ketika baginda berada dalam perut ikan nun. Doa ini sesuai diamalkan terutamanya ketika Mommy atau ada ahli keluarga sedang berada dalam kesusahan atau kesempitan.
Highlighted
Sejarah Nabi Yunus a.s.
Untuk pengetahuan Mommy, berikut merupakan sedikit sebanyak tentang sejarah Nabi Yunus a.s. atau nama penuhnya Yunus bin Mata atau Zun Nun. Baginda merupakan seorang Nabi yang mulia dan diutuskan oleh Allah s.w.t. untuk menyeru kaumnya untuk menyembah Allah.
Meskupun Nabi Yunus a.s. senantiasa membimbing kaumnya dengan penuh kebaikan, namun mereka tidak mengendahkan langsung nasihatnya.
Lalu dengan keadaan marah, Nabi Yunus a.s. menetapkan untuk meninggalkan mereka.
Allah s.w.t. menceritakan kejadian itu dalam firman-Nya:
Maksud:
“Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: ‘Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri'”
(Surah Al-Anbiyaa’: Ayat 87)
Baginda kemudian menaiki kapal untuk berlayar ke tempat lain walaupun Allah s.w.t. belum memutuskannya untuk meninggalkan kaumnya.
Dengan ketetapan Allah s.w.t., kapal yang dinaiki baginda itu berisiko tinggi untuk tenggelam disebabkan laut bergelora.
Setelah undian dibuat sebanyak tiga kali, Nabi Yunus a.s. termasuk dalam penumpang kapal yang akan di campakkan kelaut untuk mengurangkan beban kapal tersebut.
Setelah dicampak ke lautan, Nabi Yunus a.s telah ditelan oleh seekor ikan paus yang besar.
Ikan tersebut kemudian menyelam ke dasar lautan dan Nabi Yunus a.s. menjangkakan bahawa dirinya sudahpun mati.
Baginda cuba menggerak-gerakkan anggota badannya dan mendapati bahawa baginda masih hidup. Walaubagaimanapun, bagina terperangkap dalam kegelapan ikan tersebut, selain kegelapan malam dan kegelapan dasar lautan.
Doa Nabi Yunus
Nabi Yunus a.s. mulai menangis dan bertasbih kepada Allah s.w.t. dalam hatinya diikuti dengan lisannya, menyebut:
Bacaan dalam RUMI:
Laa ilaaha illa anta subhaanaka inni kuntu minaz zoolimiin
Maksud:
“Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”
Baginda tidak berhenti-henti bertasbih dan menangis dan tidak juga makan, minum, atau bergerak.
Haiwan laut, tumbuh-tumbuhan, dan semua makhluk lain yang hidup di dasar lautan mendengar zikir Nabi Yunus dan berkumpul di sekitar ikan paus itu, lalu mereka pun ikut bertasbih kepada Allah s.w.t.
Ikan paus itu terbangun dan mendengar suara-suara tasbih dari setiap makhluk di sekitarnya dan menyedari bahawa ia sedang menampung seorang Nabi di dalam perutnya.
Disebabkan ketulusan taubat Nabi Yunus a.s., Allah s.w.t menurunkan perintah kepada ikan paus itu supaya mengeluarkan Nabi Yunus ke permukaan laut di suatu pulau yang ditentukan olehNya.
Setibanya di pulau tersebut, Nabi Yunus a.s. sedang sakit tenat, lalu matahari bersinar dan menyentuh badannya, dan Allah s.w.t. menumbuhkan pohon Yaqthin (jenis labu), dengan daun-daunnya yang lebar untuk melindungi bagina dari sinar matahari tersebut.
Lalu Allah s.w.t. menyembuhkan dan mengampuni Nabi Yunus a.s.
Allah s.w.t. memberitahunya bahawa kalau bukan disebabkan tasbih yang diucapkannya, tentu baginda akan tetap tinggal di perut ikan paus tersebut sehingga hari kiamat.
Allah s.w.t. berfirman maksudnya:
“Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat. (Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut). Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak. Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur. Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan sakit. Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar. Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih. (Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing).”
(Surah As-Saaffaat: Ayat 139-148)
Begitulah kisah Nabi Yunus a.s. yang diberikan ujian yang amat besar sekali. Namun dengan zikir atau doa Nabi Yunus itu, Allah s.w.t. mengampuninya dan memberi jalan keluar kepadanya.
Jadi, Mommy dan seisi keluarga juga boleh mengamalkan zikir atau doa Nabi Yunus ini ketika dibelenggu masalah atau kesempitan dengan ujian yang diberikan oleh Allah s.w.t.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat Mommy dan dapat diamalkan supaya mendapat pengampunan dan rahmat dari Allah s.w.t.