Dalam agama Islam, kita diajarkan untuk berlaku adil kepada Allah S.W.T. dan kesemua makhluk di dunia ini termasuklah diri sendiri. Allah telah memerintahkan kita untuk melakukan ihsan dalam apa-apa sahaja yang dilakukan.
Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah S.A.W.:
Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ihsan (melakukan kebaikan) dalam semua perkara. Oleh itu apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan cara terbaik dan apabila kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan cara terbaik. Dan hendaklah seorang kamu menajamkan mata pisaunya dan memberi keselesaan kepada haiwan sembelihannya. – Riwayat Muslim
Makbulnya Doa Orang Yang Teraniaya
Jika kita tidak mengikuti perintahnya dan berbuat zalim sesama sendiri, maka kita hendaklah takut dengan azab Allah dan doa mereka yang kita aniaya.
Sesungguhnya, doa orang yang teraniaya itu tiada hijabnya dan tidak tertolak. Terdapat beberapa hadis Rasulullah S.A.W. yang membicarakan tentang mustajabnya doa orang yang teraniaya ini:
“Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak. Orang yang berpuasa hinggalah dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.” – Riwayat Tirmizi
Selain itu, Rasulullah S.A.W. juga pernah menasihati Mu’adz R.A.:
“Takutlah kepada doa orang yang dizalimi kerana sesungguhnya tiada hijab atau penghalang di antara doa mereka dengan Allah S.W.T..” – Riwayat Bukhari dan Muslim
Dalam hadis lain daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah telah bersabda:
“Ada tiga doa mustajab yang tidak diragukan lagi, iaitu doa orang yang teraniaya, doa musafir dan doa ibu bapa untuk anaknya.” – Riwayat Tirmidzi
Cepat atau lambat, Allah S.W.T. telah berjanji bahawa Dia tetap akan menolong hambaNya. Sabda Rasulullah S.A.W.:
“Takutlah kamu kepada doa orang yang teraniaya, kerana ia diangkut di atas awan. Allah berfirman: Demi keperkasaan dan keagunganKu, Aku pasti menolongmu, walaupun setelah beberapa waktu (waktu yang cukup lama).”
Betapa kerasnya amaran Allah terhadap larangan menganiaya orang, walaupun orang itu fasiq dan dia dizalimi, doanya juga tetap mustajab sebagai doa orang yang teraniaya. Ini adalah berdasarkan hadis riwayat Anas Ibn Malik R.A.:
“Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang yang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang di antaranya untuk diterima oleh Allah.” – Riwayat Ahmad
Daripada Abu Hurairah R.A. pula, Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
“Doa orang yang dizalimi adalah diterima sekalipun doa dari orang jahat. Kejahatannya itu memudaratkan dirinya dan tidak memberi kesan pada doa tadi.” – Hadis Hasan riwayat at-Tayalasi
Mustajabnya doa orang yang teraniaya ini, Rasulullah S.A.W. telah memberi gambaran dalam sabda hadisnya:
“Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara.” – Hadis Riwayat al-Hakim
Begitu banyak dan kerasnya amaran Allah terhadap hambaNya tentang perbuatan menganiaya orang. Malah pada zaman Nabi S.A.W. dahulu, terdapat sebuah kisah yang dikongsikan oleh Harian Metro berkenaan doa orang teraniaya yang dimakbulkan oleh Allah.
Menurut kisah tersebut, Saad bin Abi Waqqas iaitu salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W. telah difitnah oleh Usamah bin Qatadah. Disebabkan itu, beliau telah berdoa kepada Allah dengan doa sebegini:
“Demi Allah, saya ingin berdoa meminta tiga perkara: “Ya Allah, jika hambaMu ini berbohong, bangun memfitnah kerana riyak dan inginkan nama, maka panjangkan umurnya, panjangkan kefakirannya dan dedahkan dia dengan bala bencana.” – Hadis Riwayat Bukhari
Selepas kejadian itu, berpuluh tahun lamanya, terlihat ada seorang lelaki yang cukup tua di Kufah. Keadaan dirinya yang amat tua itu telah diperincikan dengan kelopak matanya yang jatuh dan bulu mata dan keningnya yang semuanya telah gugur.
Orang tua ini duduk di tepi jalan sambil meminta sedekah dan menggangu anak perempuan yang dikatakan seusia dengan cicitnya.
Ketika ditanya tentang mengapa keadaannya hina sebegitu, dia telah menjawab:
“Aku jadi begini kerana aku terkena doa orang yang difitnah. Dulu aku memfitnah sahabat Nabi bernama Saad bin Abi Waqqas. Dia berdoa kepada Allah, maka hari ini kamu melihat aku dihina sebegini kerana doa Saad bin Abi Waqqas.”
Berdasarkan kisah ini, kita dapat lihat begitu dahsyatnya doa orang yang teraniaya ini. Sehinggakan Allah sendiri telah berfirman:
“Wahai hamba-hamba Aku, sesungguhnya Aku mengharamkan Aku melakukan kezaliman.”
Sedangkan Dia yang sempurna mengharamkan perlakuan zalim, apatah lagi pada kita hambaNya yang penuh cacat cela ini?
Peringatan Buat Mereka Yang Berbuat Zalim
Kita ditegah sekeras-kerasnya untuk berlaku zalim kepada sesiapa pun. Melalui perkongsian Dalamislam, telah dinyatakan firman Allah dalam surah Asy-Syura ayat ke-42:
إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Sesungguhnya dosa besar itu atas orang-orang yang telah berbuat zalim kepada manusia dan telah melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka akan mendapat azab yang pedih.”
Sentiasalah ingat bahawa sesungguhnya, setiap perbuatan kita walaupun sekecil mana, akan dikira oleh Allah:
“Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula”. – Surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8
Tidaklah sesekali walaupun sesaat Allah S.W.T. lalai terhadap setiap perbuatan kita yang baik mahupun buruk:
وَلاَ تَحْسَبَنَّ اللّهَ غَافِلاً عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الأَبْصَارُ مُهْطِعِينَ مُقْنِعِي رُءُوسِهِمْ لاَ يَرْتَدُّ إِلَيْهِمْ طَرْفُهُمْ وَأَفْئِدَتُهُمْ هَوَاءوَأَنذِرِ النَّاسَ يَوْمَ يَأْتِيهِمُ الْعَذَابُ فَيَقُولُ الَّذِينَ ظَلَمُواْ رَبَّنَا أَخِّرْنَا إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ نُّجِبْ دَعْوَتَكَ وَنَتَّبِعِ الرُّسُلَ أَوَلَمْ تَكُونُواْ أَقْسَمْتُم مِّن قَبْلُ مَا لَكُم مِّن زَوَالٍوَسَكَنتُمْ فِي مَسَـاكِنِ الَّذِينَ ظَلَمُواْ أَنفُسَهُمْ وَتَبَيَّنَ لَكُمْ كَيْفَ فَعَلْنَا بِهِمْ وَضَرَبْنَا لَكُمُ الأَمْثَالَ
“Dan janganlah sekali-kali kamu Wahai (Muhammad) mengira bahwa Allah lengah, lalai, terhadap apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepeda mereka sampai pada hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak.
Mereka datang bergegas memenuhi panggilan dengan mengangkat kepalanya, sedangkan mata mereka tidak berkedip-kedip, hati mereka kosong. Dan berikanlah peringatan kepada manusia terhadap hari (yang pada waktu itu) datang azhab kepada mereka, maka berkatalah orang yang zalim: “Ya Tuhan kami beri tangguhlah kepada kami (kembalikanlah kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang sedikit, niscaya kami akan memenuhi seruanMu dan akan mengikuti RasulMu.”
(Dikatakan kepada mereka): “Bukankah kamu telah bersumpah dulu (di dunia), bahwa sekalipun kamu tidak akan binasa? Dan kamu telah berdiam di tempat-tempat kediaman orang yang menganiaya diri mereka sendiri, dan telah nyata bagimu bagaimana Kami telah berbuat kepada mereka dan telah Kami berikan kepadamu beberapa perumpamaan.”” – Surah Ibrahim, ayat 42-45
Allah telah berfirman dalam Al-Quran, Surah An-Naml, ayat ke-62:
أَمَّنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَاءَ الأرْضِ أَإِلَهٌ مَعَ اللَّهِ قَلِيلا مَا تَذَكَّرُونَ
“Atau siapakah yang memperkenankan (do’a) orang yang dalam kesulitan, apabila ia berdo’a kepadaNya, dan yang menghilangkan kesusahan, dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi?. Apakah di samping Allah ada ilah (yang lain)?. Amat sedikitlah kamu mengingat-ingat(-Nya).”
Dalam hadis dan Al-Quran kedua-duanya, Allah telah memberi amaran keras kepada hamba-hambaNya. Oleh itu, janganlah sesekali berbuat zalim kepada diri sendiri dan hambaNya yang lain. Sama ada melalui lisan mahupun perbuatan, sentiasalah berkata baik dan berlaku adil.
Walaupun doa orang teraniaya ini makbul, kita dianjurkan untuk berdoa yang baik-baik kepada mereka yang menzalimi kita. InsyaAllah, doa yang sama akan berbalik kepada kita dan kita akan mendapat ganjaran yang tidak terjangkau dek akal oleh Allah Yang Maha Mengasihani.