Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Panjang Umur Sebagai Amalan Harian Untuk Diri Sendiri dan Orang Lain

doa panjang umur

Kredit gambar: istockphoto

Antara doa yang elok untuk didoakan untuk diri sendiri dan orang lain adalah doa supaya dipanjangkan umur dalam ketaatan kepada Allah. Dalam meminta umur yang panjang, haruslah sertakan sekali doa supaya hayat yang dikurniakan adalah untuk kebaikan dan bukanlah dalam melakukan kemungkaran terhadap Allah.

Seperti hadis Rasulullah S.A.W.:

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِى بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَجُلاً قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ النَّاسِ خَيْرٌ قَالَ  مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ  قَالَ فَأَىُّ النَّاسِ شَرٌّ قَالَ  مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ 

Daripada Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya, bahawa seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang terbaik?” Beliau menjawab, “Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya”. Dia bertanya lagi, “Lalu siapakah orang yang terburuk?” Beliau menjawab, “Orang yang berumur panjang dan buruk amalnya”. – Riwayat Ahmad, Tirmidzi dan al-Hakim

Senarai Doa Panjang Umur Yang Disyorkan

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Kerana itulah, dalam usaha untuk melakukan ketaatan kepada Allah, hendaklah sentiasa berdoa supaya dipanjangkan umur yang diberkatiNya.

Berikut adalah beberapa doa yang elok untuk dipanjatkan kepada Allah, supaya dipanjangkan umur:

1. Doa panjang umur dalam hadis Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W. pernah mendoakan Anas bin Malik R.A dengan doa berikut:

اللَّهُمَّ، أَكْثِرْ مَالَهُ وَوَلَدَهُ، وَأَطِلْ حَيَاتَهُ، وَاغْفِرْ لَهُ

Maksudnya: Ya Allah! Perbanyakkanlah hartanya, anaknya, panjangkanlah hayatnya, dan ampunilah dosanya. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad (653)

2. Doa panjang umur dalam hadis Rasulullah S.A.W.

Dalam hadis yang lain, doa berikut dianjurkan untuk dibaca agar umur panjang dan dikurniakan rezeki yang murah dan diberkati:

اللهُمَّ أكْثِرْ مَالِي وَوَلَدِي، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَنِي، وَأَطِلْ حَيَاتِي عَلَى طَاعَتِكَ، وَأَحْسِنْ عَمَلِي، وَاغْفِرْلِي

Maksudnya: Ya Allah, banyakkanlah hartaku dan anakku, serta berilah keberkatan atas setiap apa yang Engkau kurniakan. Panjangkanlah kehidupanku dalam ketaatan terhadapMu serta perbaikilah amalanku dan kurniakanlah keampunan kepadaku. – Riwayat al-Bukhari dalam adab al-mufrad no 653 dan al-Tirmizi no 2329

Kredit gambar: istockphoto

3. Doa panjang umur, sihat dan dikurniakan kebaikan dunia dan akhirat

اَللّٰهُمَّ طَوِّلْ عُمُوْرَنَا وَصَحِّحْ أَجْسَادَنَا وَنَوِّرْ قُلُوْبَنَا وَثَبِّتْ إِيْمَانَنَا وَأَحْسِنْ أَعْمَالَنَا وَوَسِّعْ أَرْزَقَنَا وَإِلَى الخَيْرِ قَرِّبْنَا وَعَنِ الشَّرِّ اَبْعِدْنَا وَاقْضِ حَوَائِجَنَا فِى الدِّيْنِ وَالدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيْرٌ

Maksudnya: Ya Allah, panjangkanlah umur kami, sihatkanlah jasad kami, terangilah hati kami, tetapkanlah iman kami, baikkanlah amalan kami, luaskanlah rezeki kami, dekatkanlah kami pada kebaikan dan jauhkanlah kami dari kejahatan, kabulkanlah segala keperluan kami dalam pada agama, dunia, dan akhirat. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Amalan Supaya Dipanjangkan Umur

Bukan sahaja dengan berdoa, terdapat banyak usaha dan amalan yang boleh lakukan supaya umur dipanjangkan Allah dalam ketaatan dan kebaikan.

1. Berbuat kebajikan

Seperti hadis Rasulullah S.A.W.:

Salman R.A. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

لاَ يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلاَّ الدُّعَاءُ، وَلاَ يُزِيْدُ فِى الْعُمْرِ إِلاَّ الْبِرُّ

Maksudnya: Tidak ditolak satu-satu ketentuan melainkan dengan doa. Tidak ditambah pada umur kecuali dengan kebajikan. – Riwayat al-Tirmizi, no. 2139

2. Menyambung silaturrahim

Selain itu, dianjurkan juga untuk menyambung silaturrahim supaya umur dipanjangkan dan rezeki diperluaskan.

Sabda Rasulullah S.A.W.:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang suka untuk diluaskan baginya rezeki, dan dipanjangkan umurnya, maka sambungkanlah silaturrahim. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam al-Sahih (2067)

3. Lakukan dan perelokkan amal

Kredit gambar: istockphoto

Dalam hadis yang lain, Abu Hurairah R.A. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

وعَنِ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  :« أَلاَ أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِكُمْ ». قَالُوا نَعَمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ : خِيَارُكُمْ أَطْوَلُكُمْ أَعْمَاراً وَأَحْسَنُكُمْ أَعْمَالاً

Maksudnya: Tidakkah aku beritahukan kepada kamu tentang orang yang paling baik di antara kamu? Mereka (para sahabat) menjawab, “Ya wahai Rasulullah”. Baginda bersabda, “Orang yang terbaik di antara kamu adalah orang yang paling panjang umurnya di antara kamu dan paling baik amalnya”. -Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan al-Baihaqi

Berdoa Dan Berusahalah Agar Umur Dipanjangkan Dalam Ketaatan KepadaNya

Kehidupan di dunia ini adalah untuk melakukan ketaatan kepada Allah dan beribadah kepadaNya. Semoga dikurniakan umur yang diberkati dan dipanjangkan usia dalam keredhaanNya.


Betulkan bacaan doa dan panduan ibadah lain seperti di SINI.