Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Penerang Hati Untuk Amalan Doa Harian

Kredit gambar: Adobe Stock

Dalam menjalani kehidupan harian, tentu setiap individu perlu melalui cabarannya tersendiri. Ada cabaran yang datang dalam bentuk fizikal, ada yang datang dari segi mental, dan ada juga yang datang dalam bentuk rohani.

Sebagai umat Islam, kita diajar untuk berdoa kepada Allah s.w.t. untuk meminta apa saja daripadaNya, sama ada perlindungan, pentujuk, kekuatan, dan sebagainya.

Doa penerang hati adalah salah satu amalan yang boleh dilakukan secara konsisten, terutamanya untuk memudahkan apa-apa urusan yang sedang dilakukan.

Doa ini juga sering dilafazkan dengan doa belajar untuk melapangkan dada dan memudahkan pembelajaran.

Highlighted

Kredit gambar: Adobe Stock

Terdapat beberapa ayat dan doa yang boleh diamalkan dan dijadikan doa penerang hati untuk diri sendiri.

Doa-doa ini juga boleh diajarkan kepada anak-anak sebagai amalan-amalan berdoa pertama mereka kerana kebanyakannya agak ringkat.

Himpunan Doa Penerang Hati Untuk Amalan Harian

1. Doa Penerang Hati (Surah Taha: Ayat 25-28)

Bacaan dalam RUMI:

Robbish rohlii sodrii wayassirlii amri wahlul uqdatam millisaani yafqauhuu qaulii

Maksud:

“Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, Supaya mereka faham perkataanku”

2. Doa Penerang Hati

Bacaan dalam RUMI:

Allahhummaftah ‘alainaa hikmataka wansyur ‘alainaa min khazaa inirahmatika yaa arhamarroohimiin. Robbi zidnii ‘ilman warzuqnii fahmaa. Robbish rohlii sodrii wayassirlii amrii

Maksud:

“Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu, dan limpahkanlah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; Dan mudahkanlah bagiku, tugasku.”

3. Surah An-Nur, Ayat 35

Maksud:

“Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

4. Surah Al-Anbiya’ (Ayat 79)

Maksud:

“Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.”

5. Surah As-Syarh (Ayat 1 – 8)

Maksud:

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk)? Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam) – Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)? Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).”

6. Surah Hud (Ayat 1-4)

Maksud:

“Alif, Laam, Raa’. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya. (Al-Quran yang demikian sifatnya diturunkan oleh Allah) supaya janganlah kamu menyembah sesuatupun melainkan Allah. (Katakanlah wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran (kepada orang-orang yang (ingkar), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang (beriman). Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya). Kepada Allah jualah kembalinya kamu, dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”

7. Ayat Kursi (Surah Al-Baqarah: Ayat 255)

Maksud:

“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)”

Selain daripada ayat-ayat yang disebutkan di atas, anda juga boleh menjadikan Surah Al-Ikhlas dan juga selawat ke atas Nabi sebagai doa penerang hati untuk amalan harian.

Semoga perkongsian Motherhood kali ini dapat mempertingkatkan amalan ibadah anda dan dirahmati Allah s.w.t. selalu.