Apabila bersatunya dua jiwa dalam sebuah ikatan perkahwinan, tiada yang diharapkan melainkan redha Allah pada majlis dan ikatan baru yang telah tercipta.
Untuk pengantin baru, memasuki alam perkahwinan ini terasa seolah-olah memulakan kehidupan yang baru. Bersama orang baru yang bukan ahli keluarga kita, di tempat yang asing dan budaya yang berbeza.
Doa Untuk Pengantin Baru
Kekuatan kita supaya bahtera perkahwinan berlayar dengan selamat dan lancar adalah doa. Pada hari majlis perkahwinan lagi, sebaiknya berdoalah dengan doa-doa yang baik, mengharapkan redha Allah pada permulaan kehidupan yang baru ini.
Doa Untuk Pengantin Baru (1)
Segala puji hanya untukMu Ya Allah atas segala nikmat pemberian yang Engkau kurniakan kepada kami.
Ya Allah, pada hari yang berkat ini, kami berhimpun di majlis ini sebagai tanda kesyukuran kami atas nikmatMu bersempena dengan majlis perkahwinan yang diadakan oleh keluarga kedua-dua mempelai dengan selamat dan sempurna bagi pernikahan anakanda mereka (nama pengantin baru).
Bersempena dengan majlis ini juga kami memohon rahmatMu Ya Allah, kurniakanlah kepada kedua mempelai yang diraikan ini kehidupan yang sihat dan selamat sejahtera serta dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Perkukuhkanlah ikatan kasih sayang dan hormat menghormati antara mereka, berakhlak mulia dan berbudi bahasa, serta beriman dan bertakwa kepadaMu Ya Allah.
Kami memohon rahmatMu agar dikurniakan keampunan, keberkatan dan sihat wal-afiat kepada seisi keluarga, tuan rumah dan sekalian yang hadir bagi meraikan majlis yang diberkati ini.
Ya Allah, jadikanlah perhimpunan ini satu pertemuan yang dirahmati dan perpisahan kami pula selepas ini, satu perpisahan yang diberkati dan dilindungi.
Doa Untuk Pengantin Baru (2)
Ya Allah, kami pohon perlindungan dariMu dari segala hasutan syaitan mahu pun kejahatan insan, kami pohon keselamatan dan kesejahteraan agar hidup dalam aman dan tenteram, selamatkanlah kami dari segala keburukan, jauhkanlah kami dari segala bala, wabak mahu pun penyakit yang menyusahkan.
Ya Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Mengetahui apa yang tersirat dalam hati dan sanubari kami, Engkaulah yang lebih mengetahui hajat dan tujuan kami pada saat ini, kami mengakui dengan penuh kesedaran dan keinsafan tentang kebesaran dan kekuasaanMu Ya Allah. Lantaran itu kami menadah tangan di samping memohon keselamatan dan kesejahteraan yang berterusan, kami juga ingin melahirkan kesyukuran yang tidak terhingga atas nikmat keselamatan dan kesejahteraan yang telah Engkau kurniakan.
Ya Allah, Engkaulah yang lebih mengetahui tentang hati dan perasaan kami, kami yakin bahawa hanya kudrat dan iradatMu sahaja yang dapat menyelamatkan kami dari segala rupa bentuk keburukan mahu pun bala bencana, hanya kekuasaanMu jua yang telah menyelamatkan kami dari segala maksiat mahu pun wabak yang sedang melanda kami. Ya Allah, kemurahanMu kami pohonkan, ihsanMu kami harapkan, Rahman dan RahimMu kami pinta, semoga kami sentiasa dilindungi dan dinaungi dengan sepenuh riayah dan pemeliharaanMu, kami akui bahawa kami sentiasa terdedah kepada bahaya dan keburukan, lebih-lebih lagi manusia yang mempunyai hasad dengki di atas sedikit kelebihan yang dikurniakan kepada kami, justeru itu, kami pohonkan Ya Allah, Engkau peliharakanlah serta hindarkanlah kami daripada segala bahaya dan keburukan itu.
Sekiranya keburukan telah Engkau qadha ke atas kami, sekiranya kecelakaan telah Engkau tetapkan akan menimpa kami, maka dengan Rahman dan RahimMu Ya Allah kami pohonkan, hindarkanlah kami dari segala keburukan dan kecelakaan itu, agar dapat kami hidup lebih bererti dan lebih bermakna.
Doa Untuk Pengantin Baru
Dalam menadah tangan memohon kepadaNya, sertakanlah hati bersama dengan penuh pengharapan dan keyakinan. Semoga pasangan pengantin baru diberkati dan dilindungi daripada segala yang tidak baik, zahir mahupun batin.
InsyaAllah, Allah S.W.T. pasti akan memakbulkan doa kita.
Ikuti panduan doa dan ibadah yang lain di SINI.