Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Menjelang dan Ketika Menghadapi Peperiksaan – Khas Untuk Tetap Pengetahuan dan Tidak Mudah Lupa!

doa menghadapi peperiksaan

Kredit gambar: istockphoto

Ketika menjelang peperiksaan, ibu dan bapa mesti bekalkan anak-anak dengan makanan yang berkhasiat dan baik untuk minda mereka. Teringat pula Mommy masa sedang bersekolah dahulu – daripada kismis ke makanan tambahan yang lain, ada sahaja yang diberikan oleh mak ayah Mommy.

Namun begitu, tidak lupa juga doa oleh ibu bapa dan titipan pesanan yang dikirimkan ibu bapa dan ahli keluarga. Mommy di luar sana bolehlah didik anak-anak untuk amalkan doa ketika hadapi peperiksaan ini supaya ia dapat membantu mereka.

Doa Menjelang dan Ketika Menghadapi Peperiksaan

Buat anak-anak yang bakal ataupun sedang menghadapi peperiksaan, jangan lupa ya. Letakkanlah pengharapan sepenuhnya kepada Allah S.W.T. dan hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah agar ilmu pengetahuan dan pengalaman yang dibawa sebagai bekal itu kekal dan tidak luput dari ingatan.

#1. Doa selepas belajar/mengulang kaji

Dalam perkongsian himpunan doa oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, doa berikut dianjurkan untuk dibaca apabila selesainya belajar dan mengulang kaji beramai-ramai.

Maksudnya: Ya Allah manfaatkanlah segala ilmu yang telah Engkau ajarkan kepada kami dan ajarilah kami ilmu yang memberi manfaat (berfaedah) kepada kami dan kurniakanlah kepada kami segala ilmu yang memberi manfaat kepada kami. (Annasai dan Al Hakim ) Subulussalam jilid 4/411

Jika secara berseorangan, tukarkanlah kata ganti diri ‘kami’’ kepada ‘aku’ ya.

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

#2. Doa ketika menjelang peperiksaan

Ya Allah Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari kegelapan kejahilan. Muliakanlah kami dengan cahaya kefahaman dan bukakanlah hati kami dengan makrifah ilmu dan sinarilah hati-hati kami dengan cahaya petunjukMu seperti mana Engkau sinari bumiMu dengan cahaya matahari sepanjang zaman.

#3. Doa sebelum belajar/mengulang kaji

Ya Allah Ya Tuhan kami, bukakanlah hati dan minda kami supaya kami dapat belajar dengan mudah dan kami mohon agar Engkau berikanlah kepada kami ilmu yang bermanfaat serta sinarilah hati-hati kami dengan nur hidayahMu.

Ya Allah, perbanyakkan kami dengan ilmu pengetahuan, hiasilah kami dengan sopan santun, muliakanlah kami dengan ketakwaan dan perelokkan kami dengan sihat wal’afiat.

#4. Doa memudahkan peperiksaan

Ya Allah, Engkau simpankanlah segala ilmu yang telah kami pelajari pada hari ini dalam minda kami dan kembalikan kepada kami apabila kami memerlukannya.

Ya Allah, panjangkanlah usia kami supaya kami dapat belajar pada esok hari dengan semangat dan terus mencipta kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Ya Allah, jadikanlah hari ini kebaikan bagi kami dan hari esok lebih baik dari hari ini.

#5. Doa menghadapi peperiksaan

Kredit gambar: istockphoto

Ya Allah, Ya Fattah, Ya Alim,

Pada pagi ini kami berhimpun dengan satu tekad dan matlamat bagi menunaikan amanah yang terpikul di bahu kami. Sesungguhnya kami sedar Ya Allah, kami memikul amanahMu meninggikan syiar Islam di muka bumi maka bantulah kami, kurniakan kami kelapangan dada, ketenangan fikiran agar kami mudah menerima ilmu pengetahuan, menerokai alamMu yang penuh rahsia dan keajaiban.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim,

Kami sedar betapa besarnya pengorbanan kedua ibubapa kami mendidik dan mengasuh kami lantas kami merayu Ya Allah, ampunilah dosa mereka, berilah keberkatan umur kepada mereka agar dapat kami balas jasa keduanya dengan meraih kejayaan berkat keizinanMu Ya Allah .

Ya Allah, Ya Aziz, Ya Jabbar,

Sebagaimana Engkau utuskan rasulMu penuh kesabaran, semangat dan keutuhan, jadikanlah kami jua insan yang sentiasa bersemangat waja, berdaya saing dan berdaya juang. Hiasilah diri kami Ya Allah dengan akhlak yang terpuji kerana kami yakin bahawa kemuliaan itulah menjadikan kami sentiasa bermotivasi, berinovasi, kreatif dan berminda positif.

#6. Doa ketika menjawab peperiksaan

Ketika menghadapi peperiksaan dan anak-anak mungkin terlupa, boleh bacakan doa ini:

Kredit gambar: pokokkeladi.com/

Subhaana man laa yanaamu walaa yashuu. Allahumma zakkirnii maa nasiit

Maksudnya: “Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lalai. Wahai Tuhanku, ingatkanlah aku apa-apa yang aku lupa.”

#7. Doa menjelang peperiksaan

اَللّٰهُمَّ ارْزُقْنَا يَارَبِّ فَهْمَ النَّبِيِّيْنَ وَحِفْظَ الْمُرْ سَلِيْنَ وَإِلْهَامَ ألْمَلاَ ىِٕكَةَ ألْمُقَرَّبِيْنَ فِى عَافِيَةٍ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kefahaman para nabi dan hafalan para rasul serta mendapat ilham para malaikat yang hampir denganMu, juga kurniakanlah kami kesihatan wahai Yang Maha Penyayang.”

#8. Doa menjelang peperiksaan

اَللّٰهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا وَاَثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Ya Allah, tambahkanlah buat kami jangan Engkau kurangkan, muliakanlah kami jangan dihina, berilah buat kami jangan ditahan, pilihlah kami jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Kredit gambar: istockphoto

Semoga Dikurniakan Kemudahan Dalam Menghadapi Peperiksaan

Semoga berkat dengan doa-doa yang diaminkan ini, Allah S.W.T. akan memudahkan peperiksaan dan memberikan kejayaan kepada semua.