Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Qunut Nazilah Yang Boleh Diamalkan Ketika Ditimpa Musibah

Kredit gambar: Adobe Stock

Doa Qunut Nazilah merupakan suatu doa yang boleh dibaca ketika solat semasa sesuatu bencana berlaku.

Ia boleh dibaca pada setiap solat fardhu dan dibaca pada rakaat terakhir selepas bangun dari ruku’ untuk ‘itidal. Selain daripada solat fardhu, ia juga boleh dibaca ketika solat Jumaat.

Doa Qunut Nazilah ini dibaca ketika berdiri untuk I’tidal.

Kebelakangan ini, kebanyakan masjid dan para imamnya sering mengajak para jemaah untuk melakukan doa Qunut Nazilah disebabkan penularan Covid-19 masih berterusan.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Doa qunut ini merupakan salah satu daripada tiga jenis doa qunut yang sunat dibaca mengikut Mazhab Syafii.

Selain daripada doa qunut yang sering dibaca ketika solat Subuh, satu lagi qunut yang dibaca ialah qunut pada separuh malam kedua terakhir bulan Ramadhan dalam solat sunat witir.

Bacaan Doa Qunut Nazilah ini pernah dibacakan oleh Rasulullah s.a.w. ketika peristiwa pembunuhan beramai-ramai 60 orang tahfiz al-Quran selama sebulan. Ini adalah berdasarkan hadis berikut yang bermaksud:

“Sesungguhnya Nabi sallallahu`alaihiwasallam telah membaca doa qunut pada waktu selain dari Subuh ketika turunnya sewaktu pembunuhan sahabat-sahabatnya penghafaz-penghafaz al-Quran.”

Riwayat Bukhari dan Muslim

Doa ini boleh dibaca secara individu atau pun berjemaah, sama ada di rumah atau di masjid. Ketika membaca doa ini, anda disunatkan untuk mengangkat kedua-dua belah tangan seperti bacaan doa lain.

Lafaz Doa Qunut Nazilah

Maksud:

Ya Allah! Berikanlah kami hidayah sebagaimana mereka yang telah Engkau beri hidayah. Berikanlah kesihatan kepada kami sebagaimana mereka yang telah Engkau berikan kesihatan. Peliharalah kami sebagaimana orang-orang yang telah Engkau peliharakan.

Kurniakanlah keberkatan kepada kami pada apa-apa yang telah Engkau kurniakan. Dan selamatkanlah kami dari bahaya yang telah Engkau tetapkan. Maka sesungguhnya, Engkaulah yang menetapkan (hukuman) dan bukannya yang ditetapkan ke atasMu. Dan sesungguhnya tidak hina orang yang Engkau pimpin. Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi. Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami dan (Tuhan Yang) Maha Tinggi. Maka bagi Engkaulah segala pujian di atas apa yang Engkau tetapkan. Kami memohon ampun dariMu dan kami bertaubat kepadaMu.

Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung denganMu daripada penyakit sopak, gila dan kusta serta daripada penyakit-penyakit yang buruk.

Ya Allah! Jauhkanlah kami, Raja kami dan negara kami serta seluruh orang- orang Islam di setiap pelusuk tempat daripada bala bencana, wabak penyakit, penyakit berjangkit, penyakit tha’un dan segala jenis penyakit. Lindungilah kami daripada kebinasaan yang dahsyat dengan belas kasihMu ya Allah, Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mengetahui, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Dan semoga Allah melimpahkan rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w dan ke atas keluarga dan para sahabat baginda.

Tatatertib Membaca Doa Qunut Nazilah

1. Doa ini disunatkan untuk dibaca secara nyaring pada setiap sembahyang fardhu sama ada secara berjemaah atau pun bersendirian. Jika solat berjemaah, imam boleh membacanya secara nyaring dan makmum mengaminkannya.

2. Doa ini dibaca semasa rakaat terakhir semasa i’tidal selepas membaca Tahmid (سمع الله لمن حمده، ربنا ولك الحمد).

3. Kalau tertinggal bacaan doa ini, anda tidak perlu melakukan sujud sahwi.

4. Anda disunatkan mengangkat kedua-dua belah tangan semasa membaca doa qunut ini.

5. Tidak perlu menyapu tangan ke muka setelah selesai membaca doa qunut ini.

6. Doa Qunut Nazilah ini juga boleh dibaca selepas selesai solat jika anda tidak mampu menghafalnya untuk dibaca ketika solat. Sebaliknya, anda boleh membaca doa qunut seperti dalam solat Subuh.

Rasulullah s.a.w. juga membaca Doa Qunut Nazilah dalam solat fardhu baginda disebabkan peristiwa seperti yang disebutkan tadi. Di dalam hadis yang bermaksud:

“Rasulullah s.a.w. membaca Qunut Nazilah selama sebulan terus-menerus pada sembahyang Zohor, Asar, Maghrib, Isya, dan Subuh di akhir setiap sembahyang. Apabila Baginda membaca ” ُمسَ مع اللهُ ل م ْن مح مده ” pada rakaat akhir, Baginda berdoa (supaya diberikan balasan) ke atas puak daripada Bani Sulaim yang terdiri daripada puak Ri‘il, Dzakwan dan ‘Ushaiyyah (atas perbuatan zalim mereka membunuh sahabat-sahabat Baginda) sementara makmum di belakang Baginda mengaminkannya.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Semoga perkongsian doa qunut ini dapat mempertingkatkan amalan ibadah harian anda dan membantu diri dan masyarakat untuk bebas dari wabak penyakit dan bencana yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.