Antara doa yang elok untuk untuk diamalkan dalam kehidupan seharian adalah doa rabitah. Mungkin untuk sesetengah orang, doa ini tidak pernah didengarinya.
Sebenarnya, doa rabitah ini sering dibaca dalam usaha untuk menguatkan hati dan ikatan dalam kumpulan atau jemaah seperti yang diamalkan oleh Perdana Menteri Palestin.
Harapannya adalah supaya Allah menyatukan hati-hati pejuang Islam dalam menghadapi ujian berhadapan dengan musuh.
Apa Itu Doa Rabitah?
Doa rabitah adalah sebahagian daripada Al-Mathurat oleh Imam Hasan al-Banna. Doa ini boleh dibacakan pada bila-bila masa sahaja; pagi, petang atau selepas solat fardhu ke.
Perkataan ‘rabitah’ membawa maksud ‘perikatan’. Seperti yang dijelaskan di atas, doa ini dibaca dengan tujuan untuk mengikat, menyatukan dan menguatkan hati-hati jemaah itu.
Sebagai contoh, jika untuk peperangan; sesama pejuang. Jika untuk pelajaran; sesama anak murid. Jika untuk dakwah; sesama jemaah.
Pokok pangkalnya, makna doa ini adalah untuk menyatu padukan ahli kumpulan dalam sesuatu tujuan. Bukankah indah jika semua hati bersama-sama tabah dan kuat dalam menghadapi ujian dan cabaran?
Dalam Al-Quran Surah Ash-Shaff, ayat ke-4; Allah S.W.T. telah berfirman:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela AgamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”
Perjuangan umat Islam bukan sahaja dalam peperangan, tetapi banyak jihad yang perlu ditempuhi seperti menuntut ilmu, menjinakkan nafsu dan berkorban di atas nama dan redha Allah.
Doa Rabitah Bersama Pengertiannya
Dalam perkongsian oleh UNIC di laman web Youtube, ada dua versi doa rabitah yang elok untuk diamalkan.
1. Doa rabitah yang pertama
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين. اَللّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذِهِ الْقُلُوْبَ، قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَى مَحَبَّتِكَ، وَالْتَقَتْ عَلَى طَاعَتِكَ، وَتَوَحَّدَتْ عَلَى دَعْوَتِكَ، وَتَعَاهَدَت عَلَى نُصْرَةِ شَرِيْعَتِكَ. فَوَثِّقِ اللَّهُمَّ رَابِطَتَهَا، وَأَدِمْ وُدَّهَا، وَاهْدِهَا سُبُلَهَا، وَامْلَأَهَا بِنُوْرِكَ الَّذِيْ لاَ يَخْبُوْا، وَاشْرَحْ صُدُوْرَهَا بِفَيْضِ الْإِيْمَانِ بِكَ، وَجَمِيْلِ التَّوَكُّلِ عَلَيْكَ وَاَحْيِهَا بِمَعْرِفَتِكَ، وَأَمِتْهَا عَلَى الشَّهَادَةِ فِيْ سَبِيْلِكَ. إِنَّكَ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْر،ِ اَللَّهُمَّ أَمِيْنَ وَصَلِّ اللَّهُمَّ عَلَى سَيِّدَنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ.
Maksudnya:
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berhimpun kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi (perintah) Mu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syari’atMu. Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya, kekalkan kemesraan antara hati-hati ini, tunjuklah kepada hati-hati ini akan jalannya (yang sebenar), penuhkanlah (piala) hati-hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap, lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan keimanan dan keindahan tawakkal kepadaMu, hidup suburkanlah hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentangMu. (Jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agamaMu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah permintaan ini. Ya Allah restuilah dan sejahterakanlah junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda semuanya.”
2. Doa rabitah yang kedua
اَللّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذِهِ الْقُلُوْبَ, قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَي مَحَبَّتِكَ وَالْتَقَتْ عَلَى طَاعَتِكَ, وَتَوَحَّدَتْ عَلَى دَعْوَتِكَ وَتَعَاهَدَتْ عَلَى نُصْرَةِ شَرِيْعَتِكَ فَوَثِّقِ اللَّهُمَّ رَابِطَتَهَا, وَأَدِمْ وُدَّهَا، وَاهْدِهَا سُبُلَهَا وَامْلَأَهَا بِنُوْرِكَ الَّذِيْ لاَ يَخْبُوْا وَاشْرَحْ صُدُوْرَهَا بِفَيْضِ الْإِيْمَانِ بِكَ,
Maksudnya:
“Ya Allah Engkau mengetahui hati-hati ini
Telah berkumpul kerana kasihkanMu
Bertemu dan patuh padaMu
Bersatu memikul dakwahMu
Hati-hati ini telah berjanji setia
Mendaulat dan menyokong syariatMu
Maka eratkanlah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan hati ini
Tunjukkan ia jalan yang sebenar
Limpahkan dengan cahaya bagiMu
Yang tak pernah padam
Dan lapangkan dengan iman.”
Cara Membaca Doa Rabitah
Ketika anda hendak membaca doa rabitah ini, bayangkanlah wajah-wajah saudara seperjuangan dan timbulkanlah ikatan kasih sayang dan kepercayaan dalam hati terhadap mereka untuk meraih redha Allah.
Kemudian, bacalah doa rabitah dengan menghayati ertinya dan berharap serta bertawakallah kepada Allah. InsyaAllah, moga-moga dengan berkat dan maknanya yang elok, Allah akan mengabulkan doa anda dan mengikat dan menguatkan hati sesama anda.
Semoga dijauhkan perpecahan dan diakrabkan lagi silaturrahim dalam jemaah. InsyaAllah. Jom amalkan kumpulan zikir dan doa di pagi hari!