Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Sebelum Belajar Yang Diamalkan Ramai Untuk Memudahkan Pembelajaran

Kredit gambar: Getty Images

Salah satu amalan yang amat mulia yang dituntut dalam Islam ialah menuntut ilmu. Jadi tidak hairanlah kalau terdapat beberapa doa sebelum belajar yang boleh diamalkan.

Seperti kebanyakan amalan harian yang lain, eloklah kalau dimulakan pembelajaran dengan membaca doa sebelum belajar dahulu.

Amalan membaca doa ini bukan sahaja diberkati Allah, malah dengan izinNya, dapat memudahkan pembelajaran anda dan mengekalkan ilmu yang dipelajari itu.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”

(Surah Al-Mujaadalah: Ayat 11)

Doa sebelum belajar juga sering digandingkan dengan doa penerang hati untuk memudahkan apa-apa urusan, termasuklah dalam menimba ilmu.

Highlighted

Kredit gambar: Getty Images

Terdapat beberapa doa sebelum belajar yang boleh diamalkan sendiri atau pun diajarkan kepada anak-anak sebagai amalan doa pertama mereka kerana kebanyakannya amat ringkas dan mudah dihafal.

Himpunan Doa Sebelum Belajar dan Penerang Hati

1. Doa Sebelum Belajar

Bacaan dalam RUMI:

Allahummaftah ‘alaina hikmata wansyur ‘alaina min khozaa inirahmatika yaa arhamarraahimiin. Robbish rahlii sodri wayassirlii amrii wahlul ‘ukdatammilithaani yafqauhuu qauli

Maksud: 

Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmat-hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku, dan mudahkanlah bagiku tugasku, dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku.

2. Doa Supaya Dipermudahkan Pembelajaran

Bacaan dalam RUMI:

Rabbanaa aatina milladunka rahmah wahayyik lanaa min amrinaa roshadaa

Maksud: 

Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu, dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini).

3. Doa Mudah Belajar

Bacaan dalam RUMI:

Allahummaftah ‘alaina hikmata wansyur ‘alainaa min khozaa ini rahmatika yaa arhamarraahimiin

Maksud:

Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmat-hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

4. Doa Kuatkan Ingatan Untuk Menghafal

Bacaan dalam RUMI:

Subhaana man laa yanaamu wa laa yashuu. Allahumma dzakkirnii maa nasiit

Maksud:

Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lalai, Wahai Tuhanku, ingatkanlah aku apa-apa yang aku lupa.

5. Surah Taha: Ayat 25-28

Bacaan dalam RUMI:

Robbish rohlii sodrii wayassirlii amri wahlul uqdatam millisaani yafqauhuu qaulii

Maksud:

Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, Supaya mereka faham perkataanku.

6. Doa Penerang Hati

Bacaan dalam RUMI:

Allahhummaftah ‘alainaa hikmataka wansyur ‘alainaa min khazaa inirahmatika yaa arhamarroohimiin. Robbi zidnii ‘ilman warzuqnii fahmaa. Robbish rohlii sodrii wayassirlii amrii

Maksud:

Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu, dan limpahkanlah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; Dan mudahkanlah bagiku, tugasku.

Kebaikan Membaca Doa Sebelum Belajar Ketika Menuntut Ilmu

Proses menuntut ilmu yang Halal tentu manis sekali apabila dimulakan dengan doa sebelum belajar.

Ini kerana dengan membaca doa ini, anda boleh mendapat ketenangan hati, justeru mempunyai kemudahan dalam menuntut ilmu.

Kredit gambar: Getty Images

Tambahan pula, orang yang menuntut ilmu itu dijanjikan darjat yang tinggi di sisi Allah s.w.t.

Bila menuntut ilmu itu mendapati berkat, ilmu yang ada pada seseorang itu pasti akan menjadi bantuan kepadanya untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Adab-adab Menuntut Ilmu

Untuk ilmu yang dituntut dan proses untuk memperolehinya diberkati dan diredhai Allah s.w.t., ada beberapa adab yang wajar diikuti disamping membaca doa belajar.

1. Bersihkan diri daripada dosa yang diketahui serta akhlak yang tercela. Ini adalah kerana maksiat itu umpama racun dalam diri orang yang beriman, manakala ilmu itu cahaya dan menghidupkan.

Dengan bertaubat dan beristighfar sebelum menuntut ilmu, insyaAllah mudah ilmu yang bersifat cahaya itu untuk masuk ke dalam diri penuntut ilmu itu.

2. Pasang niat untuk belajar kerana Allah s.w.t. dan ilmu yang dituntut tidak akan disalahgunakan. Tidak kira asal-usul sesuatu ilmu itu, ia selalunya boleh digunakan untuk sesuatu yang berfaedah atau yang memudaratkan.

Niatkan kerana Allah s.w.t. dan tuntut ilmu ini untuk Allah s.w.t. Nescaya ia akan diredhai, dipermudahkan prosesnya, dan dapat memberikan manfaat kepada orang lain.

3. Ambil wudhu’ sebelum menuntut ilmu. Selepas hati sudah dibersihkan, badan juga digalakkan untuk dibsersihkan terlebih dahulu sebelum memulakan proses pembelajaran.

Ia bukan sahaja dapat menyegarkan badan dan minda anda, tetapi kebersihan itu juga penting kerana ia merupakan sebahagian daripada iman.

Kredit gambar: Getty Images

4. Belajar dengan bersungguh-sungguh dan dalam pada masa yang sama merendahkan diri juga. Jangan bermalas-malasan ketika belajar, dan jangan pula riak dan menunjuk-nunjuk.

Apabila menuntut ilmu juga, lakukannya dengan kadar sederhana dan jangan tergesa-gesa. Bersabar dengan ilmu yang dipelajari dan juga cabaran-cabaran yang datang dengannya.

5. Jika menuntut ilmu dengan seseorang guru, hormat guru tersebut. Walaupun pada zaman sekarang ini banyak perkara senang untuk dipelajari melalui banyak sumber seperti buku dan video online, menuntut ilmu secara berguru masih menjadi sumber utama kebanyakan orang.

Menghormati guru bukan sahaja dari segi hormat percakapan, tetapi hormat juga masa guru tersebut, dan mudahkan pengajarannya dengan membuat ‘research‘ tentang apa yang akan dipelajari, supaya tidak membazir masa guru untuk menerangkan setiap perkara satu per satu.

Menuntut ilmu itu amat penting dan dituntut bagi setiap individu, terutamanya bagi yang mempunyai kemudahan dan sumber untuk memperolehinya.

Dengan melafazkan niat dan membaca doa sebelum belajar, insyaAllah proses menuntut ilmu itu dapat dipermudahkan dan akan mendatangkan faedah kepada penuntut ilmu dan orang di sekelilingnya.

Semoga perkongsian Motherhood kali ini dapat mempertingkatkan amalan ibadah anda dan dirahmati Allah s.w.t. selalu.