Membaca doa selepas azan adalah satu sunnah yang diajarkan Nabi Muhammad ﷺ. Jika anda ada terdengar laungan azan dikumandangkan oleh mu’azzin, anda bolehlah melafazkan doa ini dengan penuh kehormatan.
Kaum Muslim di Malaysia amat bertuah kerana terdapat banyak masjid dan surau yang boleh dijumpai di mana-mana sahaja. Jadi, seruan azan bukanlah sesuatu yang jarang didengar.
Ini adalah kerana melaungkan azan adalah satu Fardu Kifayah bagi sesuatu kumpulan. Hukum melaungkan azan adalah sunat muakkad ketika hendak mendirikan sembahyang fardhu.
Kalau rumah anda berdekatan dengan sebuah masjid atau surau, tentulah lagi kerap anda dapat mendengar azan, betul tak? Secara khususnya lima kali sehari untuk menandakan masuknya waktu solat.
Kalau selama ini anda tertanya-tanya bagaimana untuk membaca doa selepas azan, kali ini Motherhood ingin berkongsi mengenai doa ini.
Hadis dari Abdullah bin Amr, Rasulullah ﷺ bersabda, maksudnya:
Apabila kamu mendengar azan, maka ucapkanlah seperti apa yang diucapkannya, kemudian selawat bagiku. Sesiapa mengucapkan selawat bagiku satu kali, Allah memberinya selamat sepuluh kali. Dan setelah itu mohon juga kepada Allah wasilah bagiku, kerana ia adalah sebuah tempat di syurga yang hanya layak bagi salah seorang di antara hamba-hamba Allah, sedangkan aku berharap, akulah orang yang beruntung memperolehinya. Maka sesiapa memohonkan wasilah kepada Allah bagiku, pastilah ia berhak mendapat syafaatku.
(Riwayat Muslim)
Waktu selepas azan juga adalah salah satu waktu yang mustajab untuk berdoa.
Jadi, selain melafazkan doa selepas azan, lebih afdhal jika anda juga memanjangkan doa seperti doa untuk ibu bapa dan juga selawat ke atas Nabi ﷺ.
Bacaan Doa Selepas Azan
Bacaan dalam RUMI:
Allahumma rabbahaa zihid da’ watittaam matiwassolaatil qooimah. Aati sayyidanaa muhammadanil wasiilata walfadhiilah. Wassyarafa waddarojatal ‘aaliyatar rafii’ah. Wab’athhum maqaamam mahmuuda nillazii wa’adtah. Innakalaa tukhlifuul mii’aad
Maksud:
Ya Allah, Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang Engkau telah janjikan kepada junjungan Nabi Muhammad ﷺ dan kehormatan. Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.
Hukum Membaca Doa Selepas Azan
Hukum menjawab azan atau membaca doa selepas azan ialah sunat muakkad, iaitu sunat yang dituntut.
Ketika azan dilaungkan, sebagai umat Islam kita dituntut untuk meninggalkan perkara yang sedang dilakukan jika tidak begitu penting atau kritikal.
Dalam masa yang sama, anda bolehlah menjawab azan sebagai tanda penghormatan.
Bercakap ketika azan adalah dibolehkan, dan ia tidak menjadi satu kesalahan. Tetapi jika percakapan itu adalah terlalu kuat sehingga mengganggu orang lain yang ingin fokus terhadap menjawab azan, maka eloklah diberhentikan percakapan itu seketika.
Bagaimana Pula Bacaan Selepas Iqamat?
Iqamat pula adalah sebutan tertentu untuk memberitahu para jemaah untuk mula mengerjakan solat. Kalau anda biasa solat di masjid, anda tentu pernah mendengar iqamat.
Secara umumnya ia hampir sama dengan laungan azan, cuma setiap ayat hanya dibacakan sekali sahaja, tak seperti seruan azan.
Iqamat juga mempunyai satu lagi ayat yang ditambah di dalam bacaannya, iaitu “قد قامت الصلاة”.
Iqamat disyaratkan tidak diselangi dengan waktu diam atau lengang yang lama di antaranya dengan takbiratul ihram.
Ia juga dilakukan dengan cepat kerana ia disyariatkan bagi memberitahu mereka yang berada di masjid untuk mengerjakan sembahyang.
Bacaan selepas iqamat sebenarnya adalah sama juga seperti doa selepas azan.
Perkara Sunat Yang Boleh Diamalkan Ketika Azan
Beberapa amalan berkaitan azan telah disebutkan oleh Ibn Qayyim seperti berikut:
1. Mengucapkan setiap ayat azan seperti yang diucapkan oleh mu’azzin, dari segi lisan atau dalam hati.
Dari Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah ﷺ bersabda:
Yang bermaksud, “Apabila kalian mendengar azan, maka ucapkanlah seperti yang sedang diucapkan mu’azzin”.
2. Berselawat kepada Nabi Muhammad ﷺ atau membaca selawat Ibrahimiyyah seperti yang dibaca sewaktu tahiyyat akhir solat, selepas azan dilaungkan.
3. Berzikir selepas selesai azan dilaungkan oleh mu’azzin.
4. Memanjatkan doa sesuai yang diinginkan. Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah ﷺ bersabda:
Yang bermaksud, “Doa yang tidak ditolak ialah doa antara azan dan iqamat” (Hadis Riwayat At-Tirmizi).
Indah sungguh amalan dan sunnah membaca doa selepas azan ini, kan? Tambahan pula, memandangkan azan dilaungkan lima kali sehari, lima kali jugalah kita berpeluang untuk mengamalkan sunnah ini.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat anda, terutamanya yang sedang tercari-cari doa ini. Mudah-mudahan amalan kita ini diterima Allah s.w.t.