Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Selepas Makan Yang Diamalkan Umat Islam Serta Adab-adab Ketika Makan

doa selepas makan

Sumber: Adobe Stock

Sebagai umat Islam, kita perlu sentiasa mensyukuri nikmat yang diberikan Allah s.w.t. Membaca doa selepas makan menunjukkan tanda bersyukur selepas menikmati rezeki yang telah dikurniakanNya.

Mungkin anda sudah biasa membaca doa sebelum makan, tapi bagaimana pula dengan doa selepas makan? Amalan membaca doa amat digalakkan bagi setiap individu beragama Islam.

Jika anda sedang tercari-cari bacaan doa selepas makan berserta ejaan Rumi dan maksudnya, kali ini Motherhood ingin berkongsi berkenaan doa ini.

Bacaan Doa Selepas Makan Dan Minum

1. Doa Selepas Makan

Highlighted


Bacaan dalam RUMI:

Alhamdulilahillazii at’amanaa wasaqoonaa waja’alanaa muslimiin

Maksud:

Segala puji bagi Allah yang telah memberi makan kami dan minuman kami, serta menjadikan kami sebagai orang-orang Islam.

2. Doa Selepas Minum

Bacaan dalam RUMI:

Alhamdulillaahil ladzi ja’alahuu ‘adzbam furootam birohmatihii wa lamyaj’alhu milhan ujaajam bidzunuubinaa 

Maksud:

Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan air (minuman) ini segar dan menggiatkan dengan rahmat-Nya dan tidak menjadikan air (minuman) ini masin lagi pahit kerana dosa-dosa kami.

Sumber: Getty Images

Selain itu, ada pula beberapa hadis tentang doa makan yang serupa seperti doa di atas yang bertaraf sahih atau hasan.

Hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas r.a. diatas yang bermaksud: Telah bersabda Rasulullah ﷺ: “Siapa yang direzekikan oleh Allah akan suatu hidangan maka ucaplah:

Maksud:

“Ya Allah berkatilah kami pada makanan ini dan berilah kami makan yang lebih baik darinya.” (Hadis Tirmidzi)

Adab-adab Ketika Makan

Makan dan minum adalah perkara yang penting dalam kehidupan harian untuk memberikan khasiat dan tenaga kepada badan.

Islam mengajar umatnya bahawa setiap perkara atau perlakuan mempunyai adabnya, termasuklah adab ketika makan.

Beberapa adab yang boleh dipraktikkan dalam amalan harian di samping membaca doa selepas makan adalah seperti:

1. Membasuh tangan sebelum dan selepas makan. Secara simboliknya, ia membersihkan tangan yang akan menyuap makanan daripada segala jenis kotoran atau apa-apa yang haram.

Sumber: Getty Images

Secara harfiahnya pula, membasuh tangan sebelum dan selepas makan memastikan tangan yang digunakan untuk menyuap makanan bersih daripada segala kuman dan bakteria.

Terdapat hadis tentang ini yang menyatakan;

Yang bermaksud,”Daripada Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Rasulullah ﷺ memakan paha seekor kambing, kemudian berkumur-kumur, membasuh kedua tangannya, kemudian solat.” (Sunan Ibnu Majah)

2. Duduk ketika makan dan minum. Walaupun tidak haram untuk makan atau minum secara berdiri, sebagai umat Islam, kita disarankan untuk duduk ketika makan dan minum.

Diriwayatkan bahawa Anas bin Malik R.A menyatakan:

Yang bermaksud, “Sesungguhnya Nabi ﷺ melarang daripada meminum sambil berdiri. Qatadah bertanya bagaimana pula dengan makan (sambil berdiri)? Anas menjawab: “Yang demikian itu adalah lebih buruk dan tercela.”” (Hadis Riwayat Muslim)

Sumber: Getty Images

3. Makan dengan menggunakan tangan kanan. Sebagai umat Islam, kita disarankan untuk makan dengan menggunakan tangan kanan, kerana secara simboliknya ia meniru perbuatan syaitan.

Secara harfiahnya pula, tangan kanan selalunya lebih bersih berbanding dengan tangan kiri yang sering digunakan untuk perkara-perkara yang berkaitan dengan najis.

Maksudnya : “Jabir bin ‘Abdillah R.A, bahwa Rasulullah ﷺ bersabda:Janganlah kalian makan dengan tangan kiri kerana syaitan makan dengan tangan kiri.”(Hadis Riwayat Muslim)

4. Mengambil makanan yang paling dekat dengan anda. Ini adalah salah satu adab yang diamalkan oleh Rasulullah ﷺ.

Kelebihan adab ini ialah mengelakkan diri daripada mengambil makanan secara gelojoh, dan menyenangkang orang lain untuk mengambil makanan juga jika berada di tempat awam.

Maksudnya: Daripada Umar bin Abi Salamah katanya, “Sewaktu aku kecil di bawah jagaan Rasulullah ﷺ tanganku sentiasa berlegar sekeliling talam (untuk mendapatkan makanan dan lauk). Rasulullah ﷺ berkata kepadaku: “Wahai anak, sebut nama Allah (baca bismillah), makan dengan tangan kananmu dan makanlah (ambillah makanan) yang hampir denganmu”” (Hadis Riwayat Muslim)

5. Tidak mencela makanan. Adalah menjadi lumrah kehidupan bagi seseorang itu untuk menyukai sesuatu perkara, dan juga sebaliknya.

Ini termasuklah makanan, tentu ada yang anda suka, dan ada juga yang anda kurang gemar. Walaubagaimanapun, makanan tersebut adalah sebuah rezeki yang diberikan dan tentu ada keberkatannya tersendiri.

Jadi kita dilarang sama sekali untuk mencelanya jika tidak menyukainya. Tambahan pula, jika orang yang menyediakan makanan tersebut berada berdekatan, tentu ia akan melukakan hatinya.

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah ﷺ tidak sesekali mencela makanan. Jika menyenanginya, Baginda akan memakannya.  Namun jika tidak, Baginda akan meninggalkannya.”  (Hadis Riwayat Bukhari)

Sumber: Getty Images

Begitulah indahnya Islam, sehingga bab-bab makan dan minum pun mempunyai garis panduannya tersendiri.

Dengan mengamalkan bacaan doa selepas makan dan juga sebelum, tentu setiap pengalaman menjamu selera itu akan berasa manis sekali, tambahan pula diberkati Allah s.w.t.

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada anda dalam menjalani kehidupan harian.