Setiap orang tentu mempunyai pilihan-pilihan bacaan doa selepas solat fardhu mereka tersendiri. Terdapat banyak kelebihan membaca doa selepas solat fardhu, iaitu sembahyang yang diwajibkan, seperti hadis berikut.
Dari Abu Umamah, beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ pernah ditanya tentang apakah doa yang paling didengari? Baginda menjawab, yang bermaksud: “Doa yang paling didengari ialah kekita satu pertiga malam yang terakhir dan ketika selesai solat fardhu”
(Riwayat At-Tirmizi)
Sama ada anda solat bersendirian atau berjemaah, anda digalakkan untuk membaca doa-doa yang sesuai selepas selesai menunaikan solat.
Terdapat beberapa tujuan berdoa, dan salah satunya ialah untuk mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.
Selain itu, doa sering dipanjatkan untuk memohon sesuatu daripadaNya, dan juga sebagai senjata, seperti yang disebutkan dalam hadis berikut.
Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
Doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama, dan nur bagi langit dan bumi
(Hadis Riwayat Hakim)
Kali ini Motherhood berkongsi beberapa doa yang anda boleh amalkan selepas solat fardhu.
Himpunan Bacaan Doa Selepas Solat Fardhu Yang Boleh Diamalkan
1. Pembukaan Doa Selepas Solat Fardhu
Bacaan dalam RUMI:
A’uuzibillaahi min shaitoonirrajiim. Bismillaahirrahmaanirrahiim. Alhamdulillaahirrabbil ‘aalamiin. Hamdan yuwaafii ni’amahuu wayukaafii maziidah
Maksud:
Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang direjam. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam, dengan pujian yang sesuai dengan nikmat-nikmatNya dan memadai dengan penambahanNya.
Bacaan dalam RUMI:
Yaa rabbanaa lakal hamdu kamaa yambaghii lijalaali wajhikalkariimi wa’aziimi sultoonik
Maksud:
Wahai Tuhan kami, hanya bagiMu segala puji, sebagaimana pujian itu patut terhadap keagungan dan kemuliaanMu serta keluhuran kerajaanMu.
2. Selawat Ke Atas Nabi Muhammad ﷺ
Bacaan dalam RUMI:
Allahumma solli ‘alaa sayyidinaa muhammadiw wa’alaa aali sayyidinaa muhammad
Maksud:
Ya Allah, limpahkanlah rahmatMu dan kesejahteraan kepada junjungan Nabi Muhammad berserta keluarganya.
3. Doa Kesejahteraan dan Keampunan
Bacaan dalam RUMI:
Allaahumma inna nasaluka salaamatan fiddiin, wa’aafiitam fil jasad, waziyaadatam fil ‘ilmi wabarakatam fir rizqi, wataubatan qablalmauti warahmatan ‘indal maut, wamaghfirotam ba’dalmauti, Allahumma hawwin ‘alainaa fii sakarootilmaut, wannajaata minnaar, wal ‘afwa indal hisaab
Maksud:
Ya Allah, kami memohon kepadaMu semoga kami mendapat keselamatan agama, kesihatan jasmani, bertambahnya ilmu, keberkatan dalam rezeki, bertaubat sebelum mati, mendapat rahmat ketika mati, dan memperoleh keampunan selepas mati. Ya Allah, permudahkanlah sakaratul maut kami, bebaskanlah kami dari azab neraka, dan berilah kami keampunan ketika dihisab.
4. Doa Mensyukuri Rahmat Dan Nikmat Tuhan
Bacaan dalam RUMI:
Allahumma a’inna ‘alaa zikrika wasyukrika wahusni ‘ibaadatik
Maksud:
Ya Allah, tolonglah kami untuk selalu memperingatiMu dan mensyukuri rahmatMu dan nikmatMu, dan perbaikilah amal ibadah kami kepadaMu.
5. Doa Meminta Keampunan
Bacaan dalam RUMI:
Rabbanaa zolamnaa anfusanaa waillam taghfirlanaa watarhamnaa lanakuunanna minal khoosiriin
Maksud:
Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.
6. Ayat Kursi (Surah Al-Baqarah: Ayat 255)
Maksud:
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).
7. Penutup Doa Selepas Solat Fardhu
Bacaan dalam RUMI:
Rabbanaa aatinaa fiddunyaa hasanah, wafil aakhiratil hasanah, waqinaa ‘azaabannar. Allahummaghfirlanaa zunuubanaa wakafir ‘annaa sayyi aatinaa watawaffanaa ma’al abraar
Maksud:
Ya Allah, berikanlah kebahagiaan kepada kami di dunia dan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab neraka. Ya Allah, ampunilah dosa kami dan tutupilah segala kesalahan kami, dan semoga apabila kami mati kelak bersama-sama dengan orang yang baik.
Selain itu, anda juga digalakkan untuk memanjangkan apa-apa doa lain yang dibacakan dalam bahasa pilihan anda untuk apa jua hajat, asalkan ia adalah sesuatu yang baik, Halal, dan tidak memudaratkan diri sendiri ataupun orang lain.
Berdoalah kepada Allah s.w.t. untuk mendapatkan kesejahteraan dan keampunannNya, kerana Allah amat suka hambaNya yang berdoa kepadaNya.
Solat fardhu adalah sesuatu yang diwajibkan ke atas umat Islam. Jadi ambillah kesempatan ini untuk merendahkan diri dan memperbanyakkan ibadah dan berdoa.
Doa sebagai ibadah itu ditekankan oleh Nabi Muhammad ﷺ dalam hadisnya seperti berikut:
Daripada Al-Nu’man bin Basyir r.a. berkata: “Saya mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:
“Doa itu adalah ibadah, kemudian Baginda ﷺ membaca ayat 60 Surah Ghafir yang bermaksud: “Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembahKu, akan Aku masukkan mereka ke neraka jahanam dalam keadaan hina”
(Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah, Abu Daud, al-Nasa’i & Hakim)
Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada membaca dalam membantu mempertingkatkan amalan ibadah harian. Ayuh baca doa untuk ibu bapa kesayangan kita!