Di bulan puasa ni, memang menjadi satu rutin umat Islam untuk solat terawih di malam hari. Jika tidak di masjid, di rumah bersama keluarga.
Keistimewaan Solat Sunat Terawih
Daripada hadis Rasulullah S.A.W., fadilat bersolat terawih amatlah banyak dan besar ganjarannya.
Dalam perkongsian oleh Jakim, daripada ‘Abdul Rahman bin ‘Awf, Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang berpuasa Ramadhan dan berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, ia akan keluar daripada dosa-dosanya sepertimana hari ibunya melahirkannya. – Hadith Riwayat al-Nasa’i, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Majah & al-Bayhaqi
Daripada Abu Hurairah R.A. pula, Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih)pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah ampunkan segala dosanya yang lalu… – Riwayat Muslim
Dalam sabda Rasulullah S.A.W. yang lain:
Maksudnya: Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan ( dengan kelebihan yang lain): Bulan penuh keberkatan, Allah memfardhukan puasa atas kamu, dibuka pintu-pintu Syurga, dikunci pintu-pintu Neraka, dibelenggu Syaitan (supaya tidak mengganggu umat Muhammad S.A.W. daripada melakukan pelbagai ibadat), di dalam ada Malam Qadar iaitu satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang tiada diberikan kebajikan malam itu maka sesungguhnya dia tidak diberikan kebajikan kepadanya.
Banyak hadis, ulamak dan para alim yang membicarakan tentang fadilat solat sunat terawih ni. Selepas mengerjakannya pula, Mommy dan Daddy dianjurkan untuk berdoa memohon hajat dan doa selepas solat terawih atau doa kamilin.
Doa Selepas Solat Terawih
Doa selepas solat terawih atau doa kamilin ini boleh dibacakan oleh imam selepas rakaat ke-8 solat sunat terawih:
Segala puji untuk Allah Tuhan sekalian alam, sebagai pujian yang menyempurnakan nikmatNya dan mencukupkan pertambahannya.
Wahai Tuhan kami, bagiMu pujian seperti yang selayakNya dan kemudian ZatMu dan kebesaran pemerintahanMu. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad dan keluarga serta sahabat-sahabatNya.
Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah iman kami iman yang sempurna. Segala kewajipan zakat kami laksanakan dan segala apa yang ada di sisiMu kami pohonkan dan keampunanMu kami harapkan.
Kami berpegang dengan petunjukMu dan menjauhi perkara yang sia-sia, zuhud dengan dunia dan cinta akhirat, redha dengan ketentuanMu, bersyukur dengan nikmat-nikmatMu, dan bersabar dengan bala bencana.
Kami berlindung di bawah panji-panji Nabi Muhammad pada hari kemudian, kami berkehendak kepada perlindunganMu dan dapat memasuki syurgaMu dan duduk di atas katil yang mulia (di syurga), berkahwin dengan bidadari-bidadari dan memakai perhiasan-perhiasan di syurga, memakan makanan di Syurga, minum susu dan madu yang suci dari gelas-gelas yang indah bersama mereka yang telah Engkau beri nikmat daripada golongan nabi-nabi, rasul-rasul, para syuhada dan orang soleh.
Ya Allah, jadikan kami pada malam yang mulia dan penuh keberkatan ini daripada orang yang berbahagia kerana diterima amalannya, dan janganlah jadikan kami orang yang berdukacita kerana ditolak amalan kami.
Ya Tuhan kami, afiatkan kami dan berikan kami keafiatan, Ya Tuhan kami, ampuni kami, ibu bapa kami, saudara-saudara kami, suami/isteri kami dan guru-guru kami dan mereka yang kami ajarkan, dan mereka yang mempunyai hak ke atas kami, dan mereka yang mencintai kami dan berbuat baik kepada kami, dan mereka yang membimbing kami dan yang kami bimbing kepada kebaikan, dan mereka yang berwasiat kepada kami dan yang kami wasiatkan dengan doa, dan seluruh muslimin dan muslimat.
Dan Ya Allah, tulislah keselamatan dan keampunan untuk kami dan ke atas hamba-hambaMu yang terdiri daripada para jemaah haji dan umrah, peniaga-peniaga, orang yang berziarah, musafir-musafir dan orang yang bermukim, di darat atau di laut daripada orang Islam.
Dan jauhkan kami daripada orang yang zalim, dan bantulah kami ke atas orang kafir, wahai Tuhan yang memperkenankan orang yang bermohon.
Dan sempurnakanlah untuk kami wahai Tuhan kami daripadaMu dengan kebaikan wahai Tuhan Yang Maha Pengasih daripada segala segala yang mengasihani.
Selawat dan salam ke atas sebaik-baik kejadian, Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya dan Sahabat-sahabatnya, dan segala puji untuk Allah Tuhan sekalian alam.
Sama ada mengerjakannya di masjid ataupun di rumah, marilah sama-sama manfaatkan waktu selepas solat terawih untuk berdoa dengan doa-doa yang elok, memohon kepada redha dan keampunan Allah S.W.T. untuk di dunia dan di akhirat.
Dapatkan panduan keagamaan dan kerohanian yang berguna untuk anda di SINI.