Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Selepas Wuduk Bersama Terjemahan Dan Fadhilatnya

doa selepas wuduk

Sumber: akuislam.com

Sebelum mengerjakan solat, umat Islam diwajibkan untuk menyucikan diri dari sebarang kotoran dan berwuduk. Merupakan satu perbuatan yang mulia dan salah satu sunnah Rasulullah S.A.W., berwuduk elok untuk dilaksanakan pada bila-bila masa sama ada waktu siang ataupun malam.

Kepentingan Dan Fadhilat Berwuduk

Di dalam Al-Quran, Surah Al-Maidah ayat 6, kita telah diperintahkan:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah dua belah kaki kamu meliputi buku lali.” 

Selain itu, Rasulullah S.A.W. juga menekankan kepentingan untuk berwuduk dan memperelokkannya dalam hadisnya yang lain. ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhaniy R.A. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

مَا مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُحْسِنُ الْوُضُوءَ، وَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، يُقْبِلُ بِقَلْبِهِ وَوَجْهِهِ عَلَيْهِمَا، إِلَّا وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berwudhuk serta memperelokkan wudhuknya, lalu dia mendirikan solat sebanyak dua rakaat dalam menghadapkan keduanya iaitu hati dan wajahnya (khusyuk), melainkan akan dijamin baginya syurga.” – Riwayat Abu Daud (906)

أَنَّ عُثْمَانَ دَعَا بِوَضُوْءٍ فَتَوَضَّأَ: فَغَسَلَ كَفَّيْهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ مَضْمَضَ وَاسْتَنْثَرَ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ غَسَلَ يَدَهُ الْيُمْنَى إِلَى الْمِرْفَقِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ غَسَلَ يَدَهُ الْيُسْرَى مِثْلَ ذلِكَ، ثُمَّ مَسَحَ رَأْسَهُ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَهُ الْيُمْنَى إِلَى الْكَعْبَيْنِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ غَسَلَ الْيُسْرَى مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ قَالَ: رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوْئِ هذَا ثُمَّ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوْئِ هَذَا ثُمَّ قَامَ فَرَكَعَ رَكْعَتَيْنِ لاَ يُحَدِّثُ فِيْهِمَا نَفْسَهُ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.

Maksudnya: “Usman bin ‘Affan R.A. minta diambilkan air wuduk lalu berwuduk. Dia basuh dua tapak tangannya tiga kali. Kemudian berkumur-kumur dan menghirup air ke hidung lalu mengeluarkannya. Lalu membasuh mukanya tiga kali, kemudian membasuh tangan kanannya hingga siku tiga kali, begitu pula dengan tangan kirinya. Setelah itu, dia usap kepalanya lantas membasuh kaki kanannya hingga buku lali tiga kali, begitu juga dengan kaki kirinya. Dia kemudian berkata, ‘Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w berwuduk sebagaimana wudukku ini, kemudian Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sesiapa berwuduk seperti wudukku ini, kemudian solat dua rakaat dan tidak berkata-kata dalam hati dalam kedua-dua rakaat tadi, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu.” – Sumber: muftins.gov.my

Terdapat juga sebuah hadis sahih yang sering diperdengarkan tentang bagaimana tapak kaki Bilal ibn Rabah boleh didengari dari dalam syurga. Ketinggian darjat yang diberikan kepadanya dikatakan oleh kerana amalannya yang sering menjaga wuduknya.

Highlighted

Sumber: istockphoto

Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W. telah berkata kepada Bilal:

يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الإِسْلاَمِ، فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَيَّ فِي الجَنَّةِ. قَالَ: مَا عَمِلْتُ عَمَلًا أَرْجَى عِنْدِي: أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طَهُورًا، فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ، إِلَّا صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ

Maksudnya: “Wahai Bilal! Khabarkan kepadaku amalan yang paling utama telah kamu lakukan sejak memeluk Islam. Ini kerana, aku mendengar gerakan kaki di sisiku di dalam Syurga. Bilal menjawab: Tidak ada amalan utama yang aku amalkan kecuali aku akan berwudhuk pada waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wudhuk tersebut di samping solat-solat yang diwajibkan ke atasku.” – Riwayat al-Bukhari (1149)

Melalui hadis ini, dapatlah dilihat bahawa, berkat daripada usaha Bilal yang bersungguh-sugguh mengamalkan dan menjaga sunnah Rasulullah S.A.W., beliau telah mendapatkan penghormatan dan kemuliaan di sisi Allah S.W.T.

Oleh itu, kita mestilah berusaha untuk berwuduk dan memperelokkan wuduk kita. Selain daripada niat dan pergerakan anggota yang betul ketika berwuduk, mengamalkan pembacaan doa selepas wuduk juga boleh meraih rahmat dan redha Allah S.W.T.

Keutamaan Doa Selepas Berwuduk

Sumber: facebook.com/mingguanwanita/

Daripada Umar R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُبْلِغُ أَوْ فَيُسْبِغُ الْوَضُوءَ ثُمَّ يَقُولُ : أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا شَاءَ .

Maksudnya: Tiadalah seorang kamu berwuduk dan memenuhi kesempurnaan wuduk, kemudian berdoa: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ kecuali akan dibuka baginya pintu-pintu syurga yang lapan. Dia berhak masuk dari pintu mana yang dia mahu. – Riwayat Muslim (234), Abu Daud (169), al-Nasa’ie (148), Ibn Majah (470) dan al-Tirmizi (55)

Selain daripada doa dalam hadis di atas ini, ada juga yang memanjangkan sedikit doa selepas wuduk seperti dalam gambar di atas. Jika anda rasa lebih mudah untuk menghafal melalui tulisan rumi, di sini disediakan bacaan doa selepas wuduk dalam rumi ya:

Asy hadu allaa ilaha illallah

Wahdahulaa syariikalah

Waasy hadu anna Muhammadan ‘abduhu warosuuluh

Allahummaj ‘alnii minattawwaabiina

Waj ‘alnii minal mutathohhiriin.

Fadhilat berwuduk dan menjaganya begitu besar. Jika disertakan pula dengan doa selepas berwuduk, Allah S.W.T. telah menjanjikan kebaikan dan nikmat buat hambaNya:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا

Maksudnya: Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) – Surah al-Ankabut: 69

Jadikanlah Doa Selepas Wuduk Satu Amalan

Sumber: istockphoto

Marilah kita berusaha untuk menjaga dan menyempurnakan wuduk kita. Jadikanlah doa selepas wuduk satu amalan dalam kehidupan seharian. Pendek je doanya, tetapi fadhilatnya begitu besar. Jom baca himpunan doa selepas solat fardhu yang boleh diamalkan.

Ayuh!