Solat hajat dilakukan kerana seorang hamba Allah itu mempunyai hajat kepadaNya atau hambaNya yang lain, seperti dalam hadis Rasulullah S.A.W. ini:
Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah S.W.T. atau kepada seorang manusia, maka hendaklah ia berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian dia bersolat dua raka’at. (Riwayat At-Tarmizi)
Sesiapa berwudhuk dan menyempurnakannya, kemudian solat dua raka’at dengan sempurna, nescaya Allah memberikan apa saja yang dimintanya, sama ada cepat ataupun lambat.
Seperti yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W., setiap kali kita mempunyai hajat atau keinginan, sama ada meminta sesuatu kebaikan ataupun untuk menolak sesuatu keburukan, hendaklah dilakukan solat dua rakaat dan berdoa dengan penuh pengharapan dan keyakinan kepada Allah S.W.T..
Doa-Doa Solat Hajat Yang Baik Untuk Dipohon
Seperti solat sunat yang lain, bilangan rakaat yang paling sedikit untuk melaksanakan solat sunat hajat ialah 2 rakaat. Pada permulaan, anda hendaklah niat solat sunat hajat seperti berikut:
Niat Solat Hajat
Usolli sunnatal hajati rak’ataini lillahi ta ‘ala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat hajat dua rakaat kerana Allah Taala
Bertasbih Pada Sujud Terakhir
Sebaiknya pada sujud terakhir sebelum anda bangun untuk tahiyat, bacalah tasbih ini sebanyak 40 kali.
Laa ilaaha illa anta subhaanaka inni kuntu minazzoo limiin
Maksudnya: Tiada Tuhan melainkan Engkau Ya Allah! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku daripada golongan orang-orang yang zalim
Sebelum dipinta hasrat anda, pujilah Allah dengan kebesaranNya dan akuilah kelemahan anda sebagai hamba yang tiada daya dan sering melakukan dosa.
Memohon Hajat Pada Sujud Terakhir
Kemudian, dengan penuh kerendahan diri dan keyakinan kepada Allah S.W.T., pintalah hasrat anda kepada Yang Maha Esa.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, hukum berdoa dalam semua sujud adalah disunatkan. Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W. telah pun bersabda:
أقرب ما يكون العبد من ربه وهو ساجد ، فأكثروا الدعاء
Maksudnya: “Keadaan yang paling dekat seseorang hamba dengan Tuhan-nya ialah ketika dia bersujud. Maka perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud).” – Riwayat Muslim dan al-Nasaie.
Oleh itu, adukanlah dan berdoalah sesungguh hati ketika anda masih dalam keadaan sujud ya.
Mulakan Doa Dengan Istighfar
Selesai solat, tetaplah di tempat duduk anda di atas sejadah dan mulakan dengan beristighfar, memohon keampunan dari Allah S.W.T.
أَسْـتَـغْـفِـرُ اللهَ وَ أَ تُـوبُ إِ لَـْيهِ
Dalam perkongsian daripada Fajar Shofari Nugraha, telah dinyatakaan sebuah hadis.
Abu Hurairah R.A. pernah berkata, “Aku tidak pernah melihat seseorang yang mengucapkan Astaghfirullah wa atubu ilaih (Aku memohon ampun kepada Allah dan aku bertaubat kepadanya) lebih banyak dari Rasulullah S.A.W.”
Dalam menjalani kehidupan, kita mungkin tidak sedar tentang dosa yang pernah dilakukan dan masih tidak mendapat keampunan dari Allah. Disebabkan itulah, pada permulaan sebelum kita berdoa, haruslah meminta keampunan dari Allah dan bertaubat di atas segala salah dan silap kita dengan beristighfar secara lisan dan dari dalam hati.
Selawat Kepada Junjungan Mulia Nabi Muhammad S.A.W.
Kalau orang berselawat kepadaku maka malaikat juga akan mendoakan keselamatan yang sama baginya untuk itu hendaknya dilakukan, meski sedikit atau banyak. – HR Ibnu Majah dan Thabrani.
Ubay bin Ka’ab juga pernah berkata:
Wahai Rasulullah, bagaimana pandangan kamu sekiranya aku jadikan seluruh doaku untuk berselawat kepadamu? Rasulullah bersabda, “Jika begitu, Allah akan mencukupkan apa yang kamu inginkan dari urusan dunia dan akhiratmu dan diampunkan dosamu.” – HR Ahmad dan Tirmidzi
Malah Imam Nawawi pernah mengajarkan tentang adab berdoa iaitu dimulai dengan berselawat kepada junjungan mulia kita, Rasulullah S.A.W. supaya doa kita akan dimakbulkan kerana rahmat yang diberikan oleh Allah S.W.T. di atas selawat kita kepada RasulNya.
Membaca Surah Al-Fatihah Sebagai Ummul Kitab
Merupakan surah yang memulakan kalamullah, Surah Al-Fatihah adalah ummul kitab Al-Quran yang mempunyai fadhilatnya yang tersendiri.
Bacalah surah ini terlebih dahulu sebelum meminta doa solat hajat ya.
Baca Doa Solat Hajat
Setelah beristighfar, berselawat dan membaca ummul kitab Al-Fatihah, berdoalah dengan sesungguhnya dari hati, doa solat hajat ini:
Dalam rumi:
Allahumma inna nas aluka maujibati rahmatika wa ‘azaa ‘ima magfiratika wal ghonimata min kulli birrin wassalamat min kulli ismin wal fauza bil jannati wannajati minannar.
Allahumma innaka tasma’u kalami, watara makani wataq lamu sirri wa’ala niyati walaa yahfa alaika syai-unn min amri wa analba’isulfakir wal mustaghi sul mustajir wal wajilul mushfiqul muqirrul ma’tarifu ilaika bizanbihi as aluka mas alatal miskin wa abtahilu ilaika ibtihal
Ilmuznibil zalili wa ad auka dua alkhoifil dhorir dua ‘aman khodhoatt laka raqabatuhu wazalla laka jismuhu wara ghima laka anfuhu
Maksudnya:
Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu hal-hal yang dapat menentukan rahmatMu dan menguatkan pengampunanMu, memperoleh segala kebaikan, menyelamatkan daripada kejahatan, memperolehi syurga dan selamat daripada api neraka.
Ya Allah, sesungguhnya Engkau mendengar ucapanku, melihat tempat tinggalku, mengetahui lahir batinku, dan tidak ada satu urusan pun daripada urusanku yang tersembunyi daripada pengetahuanMu.
Aku adalah hamba yang sengsara dan amat memerlukan, hamba yang memohon bantuan, hamba yang penakut, yang meminta dikasihani, yang mengakui dan menyatakan semua dosa-dosanya kepadaMu.
Ya Allah, aku mohon kepadaMu sebagaimana memintanya si miskin dan aku berdoa kepadaMu seperti doanya doa orang berdosa yang amat hina.
Aku mohon kepadaMu seperti orang penakut lagi buta, juga seperti berdoanya orang yang merendahkan jiwanya, merendahkan raga, wajah, serta hidungnya kepadaMu.
Yakinlah Dan Bertawakallah Kepada Allah S.W.T.
Selesai berdoa, letakkanlah sepenuh keyakinan kepada Allah S.W.T. bahawa doa anda akan dimakbulkan dan bertawakallaah kepadaNya tentang hajat dan permasalahan anda. InsyaAllah, sesungguhnya Allah S.W.T. itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Jom baca doa rabitah dan maknanya sekali!