Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Doa Solat Tasbih Dan Cara Mengerjakan Solat Tersebut Beserta Dalil Yang Tepat

doa solat tasbih

Kredit gambar: www.freepik.com

Doa solat tasbih dibacakan setelah selesai mengerjakan solat sunat tasbih. Ia digelar sebagai solat tasbih kerana di dalam solat ini dibacakan tasbih dan jumlahnya adalah sebanyak 300 kali. Hukumnya adalah sunat namun begitu amat rugi bagi sesiapa yang meninggalkannya kerana di dalam solat sunat tasbih ini terdapat banyak kebaikan dan merupakan amalan yang paling baik merangkumi solat dan tasbihnya.

Daripada Ibnu ‘Abbas r.a: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepada bapa saudaranya Abbas bin Abdul Muthallib;

“Wahai al-‘Abbas, bapa saudaraku! Sukakah aku berikan, aku kurniakan dan aku ajarkan kepadamu ‘sepuluh kelebihan’ jika kamu lakukannya, nescaya Allah akan mengampunkan dosa kamu dari awal hingga akhirnya, yang lama dan yang baru, yang tersalah dan yang disengajakan, yang kecil dan yang besar, yang tersembunyi dan yang terang-terangan; iaitulah kamu menunaikan solat empat rakaat di mana kamu membaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah dan satu surah (yang lain), kemudian apabila selesai membaca (al-Fatihah dan surah itu) engkau bacalah ketika sedang berdiri itu; “سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر” (Subhanallah Walhamdulillah Walaa Ilaaha Ilallah Wallahu Akbar) sebanyak 15 kali. Kemudian kamu rukuk dan semasa rukuk itu kamu membaca sebagaimana bacaan tersebut sebanyak 10 kali. Kemudian kamu angkat kepalamu dari rukuk dan membaca 10 kali juga (ketika sedang berdiri Iktidal itu). Kemudian kamu sujud dan membaca semasa sujud sebanyak 10 kali. Kemudian kamu bangun dari sujud dan membaca 10 kali lagi. Kemudian kamu sujud semula dan membaca 10 kali juga. Kemudian engkau angkat kepalamu dari sujud dan membacanya 10 kali lagi sebelum bangun ke rakaat berikutnya. Demikianlah 75 kali pada setiap rakaat. Hendaklah kamu lakukannya dalam empat rakaat. Jika kamu dapat kerjakan solat itu pada setiap hari sekali, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, lakukanlah sekali pada setiap jumaat. Jika tidak mampu, lakukanlah pada setiap bulan. Jika tidak mampu, lakukanlah pada setiap tahun. Jika tidak mampu juga, lakukanlah sekali seumur hidup.”

(Hadis Riwayat Imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

Sangat rugi jika kita meninggalkan amalan sunat yang terlalu banyak kelebihannya ini. Oleh itu, bagi membantu anda mengetahui dengan lebih mendalam lagi mengenai cara bacaan doa solat tasbih dan cara untuk melakukan solat sunat tasbih ini, ikuti perkongsian di bawah ini.

Jom lihat, baca dan cuba untuk amalkan!

Doa Solat Tasbih dan Cara Solat Sunat Tasbih

Highlighted

Kredit gambar: www.freepik.com

Solat sunat tasbih ini boleh dilakukan sama ada pada waktu siang atau pada waktu malam. Jika anda mengerjakannya pada waktu siang, lebih afdal dilakukan dengan 4 rakaat dengan satu kali salam. Sekiranya dilakukan pada waktu malam pula, adalah afdal dilakukan dengan 4 rakaat dengan dua kali salam.

Walaupun hanya 4 rakaat, tetapi solat ini mengambil masa yang agak lama kerana ia diselangi dengan bacaan tasbih di mana secara purata adalah sebanyak 75x tasbih setiap satu rakaat bersamaan dengan 300x tasbih.

Cara Melakukan Solat Sunat Tasbih

#1. Lafaz Niat

Kredit gambar: cermin-dunia.github.io

#2. Antara pilihan surah-surah yang dianjurkan oleh para ulama ialah:

  • Rakaat 1: Bacaan Surah At-Takathur atau Surah Ad-Dhuha
  • Rakaat 2: Bacaan Surah Al-Ashr atau Surah Al-Insyiraah
  • Rakaat 3: Bacaan Surah al-Kafirun atau Surah Al-Kauthar
  • Rakaat 4: Bacaan Surah Al-Ikhlas atau Surah An-Nashr.

#3. Setelah selesai membaca semua surah, teruskan pula dengan membaca lafaz tasbihnya iaitu:

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ

Maksudnya:

“Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar. Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.”

Nota: Lakukanlah sama seperti anda mengerjakan solat-solat biasa yang lain beserta dengan bacaannya, tetapi dengan menambah bacaan tasbih pada akhir setiap bacaan sebelum berpindah ke pergerakan yang seterusnya.

#4. Cara bacaan tasbih dalam satu rakaat pula adalah seperti berikut iaitu

  • Selepas selesai membaca doa Iftitah, al-Fatihah dan surah sunat yang lain, terus baca 15 kali tasbih
  • Ketika rukuk – 10 kali tasbih
  • Ketika iktidal – 10 kali tasbih
  • Ketika sujud pertama – 10 kali tasbih
  • Ketika duduk antara dua sujud – 10 kali tasbih
  • Ketika sujud kedua – 10 kali tasbih
  • Ketika duduk sebentar (sebelum berdiri) seperti duduk di antara 2 sujud – 10 kali tasbih

#5. Lakukan perkara yang sama di atas pada rakaat-rakaat yang seterusnya iaitu sebanyak 4 rakaat di mana jumlah semuanya adalah cukup 300 kali bacaan tasbih. Sekiranya lupa membaca tasbih, boleh diganti bacaannya pada rakaat yang berikut.

#6. Pada rakaat kedua iaitu ketika malam hari atau ke-empat pada siang hari setelah membaca Tasyahud, perlu dibacakan juga Tasbih 10 kali sebelum memberi salam.

#7. Membaca doa solat tasbih

اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ تَوْفِيْقَ أَهْلِ الْهُدَى وَأَمَالَ أَهْل الْيَقِيْن وَمُنَاصَحَةَ أَهْلِ التَّوْبَةِ وَعَزْمَ أَهْلِ الصَّبْرِ وَوَجَلَ أَهْلِ الْخَشْيَةِ وَطَلَبَ أَهْلِ الرَّغْبَةِ وَتَعَبُدَ أَهْلِ الْوَرَعِ وَعِرْفَانَ أَهْلِ الْعِلْم حَتَّى نَخَافَكَ. اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مَخَافَةً تُحْجزُنَا عَنْ مَعَاصِيْكَ حَتَّى نَعْمَلُ بِطَاعَتِكَ نَسْتَحِقُ بِهِ رِضَاكَ وَحَتَّى تُنَاصِحَكَ فِي التَّوْبَةِ وَخَوْفًا مِنْكَ حَتَّى نُخْلِصَ لَكَ النَّصِيْحَةَ وَحَتَّى نَتَوَكَّلَ عَلَيْكَ فِي الْأُمُوْرِ كُلِّهَا وَحَتَّى نَكُونَ يُحْسِنُ الظَّنَّ بكَ، سُبْحَانَ خَالِقَ النُّورِ.

Maksudnya:

“Ya Allah, Ya Tuhan kami, kami memohon taufik daripada-Mu seperti mana mereka yang telah Engkau berikan petunjuk dan jadikan amalan kami seperti mana amalan ahli-ahli yakin, dan jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang menerima nasihat, golongan orang-orang yang bertaubat dan mempunyai keamanan sepertimana orang-orang sabar, gementar kami sepertimana orang takut. Kami juga memohon seperti mana orang-orang yang suka kepada kebaikan dan beribadat seperti mana beribadat orang-orang yang warak. Dan jadikanlah pengetahuan kami ini seperti mana orang-orang yang berilmu dan masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang takut kepada Engkau.Ya Allah, kami memohon kepada Engkau, jadikanlah kami terdiri daripada orang-orang yang takut kepada perbuatan maksiat sehingga kami sentiasa mentaati dan beramal dengan perintah-Mu sebagaimana amalan orang-orang yang mendapat keredhaanMu dalam setiap perkara dan kami memohon supaya menjadi orang yang sentiasa berbaik sangka kepada Engkau, Maha Suci Allah Yang Maha Pencipta.”

Semoga dengan perkongsian ini, kita semua dapat beramal dengannya, InsyaAllah!


Dapatkan juga pelbagai tips, pilihan doa serta panduan ibadah yang lain di SINI!