Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Lengkap Doa Solat Taubat & Cara Melakukannya

Kredit gambar: www.detik.com

Doa solat taubat merupakan wadah untuk memohon ampun, mengakui kesalahan, memperbaiki diri, dan menguatkan hubungan dengan Allah.

Ia memainkan peranan penting dalam proses taubat dan memungkinkan seseorang untuk merasakan kedamaian dan kelegaan setelah bertaubat.

Dalam Islam, solat taubat adalah satu cara untuk mengembalikan diri kepada Allah dan memperoleh keampunan-Nya.

Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“Sesiapa yang pernah melakukan perbuatan dosa, bersegeralah berwuduk kemudian dirikan solat dan mohonlah keampunan kepada Allah S.W.T., Allah pasti akan menerima permohonannya itu. Kemudian bacalah ayat ini:

“Mereka yang pernah mengerjakan perbuatan dosa atau telah berbuat dosa terhadap dirinya sendiri lalu mereka bersegera mengingati Allah dengan memohon keampunan Ilahi terhadap dosa yang dilakukan itu. Siapakah yang akan mengampuni segala dosa, selain Allah? Kemudian itu mereka berasa insaf dan sedar serta tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi, maka mereka akan diberi pahala dan ganjaran syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai dan disitulah tempat mereka selamanya.”

(HR Abu Daud, Nasa’I, Ibnu Majah dan Baihaqi.)

Solat taubat adalah solat sunat yang dilakukan untuk memohon ampun dan taubat kepada Allah S.W.T. Ia adalah salah satu cara untuk membersihkan diri dari dosa-dosa yang telah dilakukan dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah.

Bagi umat Islam, doa solat taubat memainkan peranan penting dalam memohon keampunan dan memperoleh keredhaan-Nya. Berikut merupakan kepentingan atau keperluan doa solat taubat dalam kehidupan seorang mukmin.

Kepentingan Doa Solat Taubat

Highlighted

Kredit gambar: www.bharian.com.my

#1. Mengakui Kesilapan dan Dosa

Doa solat taubat membolehkan seseorang mengakui kesilapan dan dosa-dosa yang dilakukan. Ia merupakan langkah pertama yang penting dalam proses taubat.

Dengan menghadapkan diri kepada Allah dalam solat taubat, seseorang mengakui dosa-dosanya dan menyatakan niat untuk bertaubat dengan tulus.

#2. Memohon Ampun dengan Membaca Doa Solat Taubat

Doa solat taubat memberi peluang untuk memohon ampun kepada Allah. Allah SWT adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Melalui doa ini, kita memohon keampunan-Nya dan berharap agar dosa-dosa kita diampuni.

#3. Membetulkan Diri dan Berjanji untuk Berubah

Solat taubat juga memberi peluang kepada seseorang untuk merefleksikan perbuatan dan membetulkan diri.

Melalui doa solat taubat, kita berjanji untuk berubah dan meninggalkan perbuatan dosa tersebut. Ia merupakan komitmen untuk memperbaiki diri dan menghindari perbuatan yang tidak diingini.

#4. Mencari Perlindungan daripada Dosa Masa Depan

Selain memohon ampun untuk dosa-dosa lalu, doa solat taubat juga mencakup permohonan perlindungan daripada melakukan dosa di masa depan.

Dalam doa ini, kita meminta Allah SWT agar memberi kekuatan kepada kita untuk menghindari godaan dan menjaga diri dari perbuatan dosa yang mungkin kita lakukan di masa hadapan.

#5. Menguatkan Hubungan dengan Allah

Melalui solat taubat dan doanya, seseorang dapat memperkuat hubungannya dengan Allah. Ia adalah satu bentuk komunikasi dengan Allah yang membantu meningkatkan kesedaran diri dan kepekaan spiritual.

Dalam proses taubat, seseorang mendekatkan diri kepada Allah dan mencari keredhaan serta kasih sayang-Nya.

Panduan Lengkap Doa Solat Taubat dan Cara Melaksanakan Solat Taubat

Kredit gambar: www.indahnyaislam.my

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakr Al-Siddiq r.a beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلاَّ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ‏ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الآيَةَ ‏‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ ‏ إِلَى آخِرِ الآيَةِ

Maksudnya:

“Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian dia membaca ayat ini:

‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ

Maksudnya:

“Dan mereka yang apabila melakukan satu dosa atau menzalimi diri mereka kemudian mereka mengingati Allah.”

(Surah Aali Imran: 135)

Riwayat Abu Dawud (1521)

Berdasarkan hadis di atas, baginda Nabi S.A.W. memberikan suatu cara untuk seseorang yang telah melakukan dosa itu membersihkan diri mereka dari perbuatan tersebut.

Iaitu dengan cara mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian menunaikan solat dua rakaat dan dituruti dengan istighfar kepada Allah S.W.T.

Di bawah ini merupakan panduan lengkap doa dan cara menunaikan solat sunat taubat iaitu dimulakan dengan:

  1. Niat: Usolli Sunnata Taubati Rak’ataini Lillahi Ta’ala “Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala”.
  2. Baca doa iftitah.
  3. Baca pula Surah Al Fatihah dan Al Kafirun.
  4. Selesai baca semua surah, kemudian rukuk dan sujud sehingga selesai rakaat yang pertama.
  5. Pada rakaat kedua pula, baca surah Al Fatihah dan surah Al Ikhlas.
  6. Apabila sampai waktu sujud terakhir sebelum salam, selepas membaca bacaan biasa waktu sujud, terus sambung baca doa Nabi Yunus a.s. Bacalah sebanyak 10 kali atau 20 kali atau 30 kali. Sebanyak mana yang kita suka.

إِلَٰهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Lailaha illa Anta subhanaka inni kuntu minadhdhalimin

Maksudnya:

“Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim”

  1. Setelah selesai baru duduk tahiyat akhir, dan baca tahiyat akhir serta terus bagi salam.
  2. Selepas bagi salam, Istighfar lagi. Boleh teruskan dengan membaca Istighfar pendek atau yang panjang sikit, ikut suka.

Subhanallahi wabihamdih subhanallahil Adzim 7X

  1. Baca seberapa banyak yang kita nak sehingga hati mulai rasa lemah. Setelah membaca istighfar, teruskan dengan membaca doa solat taubat pula iaitu:

اللّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لآاِلهَ اِلَّااَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَناَ عَبْدُكَ وَأَناَ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوْذُ بِكَ من شَرِّمَاصَنَعْتَ. اَبُوْءُلَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَي وَأَبُوْءُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْلِي فَإِنَّهُ لاَيَغْفِرُ الذُّنُوْبَ اِلاَّ اَنْتَ

Allaahumma anta rabbii laa ilaaha illaa anta khalaqtanii wa ana’abduka wa ana’alaa ‘ahdika wa wa’dika mastatha’tu a’uudzubika min syarri maa shana’tu. abuu ulaka bini’matika ‘alayya wa abuu u bidzanbi fahghfirlii fa innahu laa yaghfirudz dzunuuba illaa anta.

Maksudnya:

“Wahai Tuhan, Engkau adalah Tuhanku, tiada yang patut disembah melainkan hanya Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku dan aku adalah hamba-Mu, dan aku dalam ketentuan dan janji-Mu yang Engkau limpahkan kepadaku dan aku mengakui dosaku, karena itulah ampunilah aku, sebab tidak ada yang dapat memberi ampunan melainkan Engkau wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan apa yang telah aku perbuat.”

Semoga dengan perkongsian ini, kita semua dapat beramal dan beroleh manfaat darinya, InsyaAllah!


Dapatkan info dan panduan ibadah yang lain di SINI!