Sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas dari melakukan kesilapan, khilaf, dan dosa, sama ada besar atau kecil. Untuk menebus dosa tersebut, kita diberikan peluang untuk membuat solat taubat, sekali dengan membaca doa taubat.
Solat sunat taubat adalah solat yang boleh dilakukan apabila seseorang hamba Allah merasakan dirinya telah melakukan sesuatu perkara yang salah dan ingin bertaubat.
Bertaubat bukan sahaja sekadar untuk meminta keampunan Allah, tetapi juga ikhlas menyesali perbuatan dosa atau kesalahan yang telah dilakukan dan nekad tidak akan mengulanginya.
Sama ada kesalahan tersebut hanya dilakukan sekali sahaja atau pun berulang kali, syarat untuk solat taubat diterima ialah seseorang itu telah benar-benar menyesal atas perbuatannya, telah meninggalkan dosa tersebut, dan nekad tidak akan mengulanginya.
Selain itu, jika kesalahan itu membabitkan kecurian atau kesalahan terhadap orang lain, anda juga perlu memulangkan barang tersebut dan/atau meminta maaf kepada orang yang telah dianiaya.
Solat sunat taubat boleh dilakukan pada bila-bila masa, kecuali selepas solat Subuh dan solat Asar. Ia boleh dilakukan sebanyak dua, empat, atau enam rakaat, dengan selang dua rakaat.
Niat Solat Sunat Taubat
Bacaan dalam RUMI:
Usolli sunnatat-taubati rak’ataini lillaahi ta’aala
Maksud:
Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala.
Cara Solat Sunat Taubat
Cara atau rukun solat sunat taubat adalah sama seperti kebanyakan solat sunat lain.
Bacaan surah dalam solat sunat ini juga boleh mengikut pilihan sendiri.
1. Niat
2. Mengangkat takbir
3. Membaca surah Al-Fatihah
4. Membaca surah pilihan dari Al-Quran
5. Rukuk, iktidal, sujud
6. Teruskan dengan rakaat kedua sebelum memberi salam
Doa Taubat Dan Bacaan Lain Selepas Solat Taubat
1. Beristighfar Selepas Salam
Sesudah salam, perbanyakkan istigfar dan memohon keampunan kepada Allah (sambil menyesali dosa-dosa yang dilakukan)
Maka ucapkanlah istigfar berulang kali sebanyak mana yang anda mampu seperti berikut:
Bacaan dalam RUMI:
Astagfirullah hal ‘azim allazi laa ilaaha illa huwalhayyul qoyyum wa atuubu ilaih
Maksud:
Aku memohon keampunan daripada Allah, Tuhan Yang Maha Agung, tiada Tuhan melainkan Allah. Dia hidup, berdiri dengan sendirinya, dan aku memohon keampunan daripadaNya.
2. Doa Taubat
Untuk doa taubat, anda boleh berdoa dengan meluahkan perasaan kesal anda dan meminta keampunan dari Allah.
Sebagai tambahan, atau jika anda tidak mampu untuk meluahkan kata-kata dan perasaan hati, anda boleh membacakan doa ringkas seperti berikut:
Bacaan dalam RUMI:
Allahumma inni zolamtu nafsi zulman kathiiran walaa yaghfiruz-zunuuba illa anta, faghfirli min ‘indika maghfirotan innaka antal ghofuu rur-rahiim
Maksud:
Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang besar. Dan tiada siapa yang akan mengampuni dosa-dosaku melainkan Engkau. Maka ampunilah aku dengan keampunan yang besar daripada sisiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.
3. Sujud Dan Membaca Sayyidul Istighfar
Selepas selesai berdoa, anda juga boleh melakukan sujud dengan membaca ‘sayyidul istighfar’ seperti berikut:
Bacaan dalam RUMI:
Allahumma anta rabbi laa ilaaha illa anta, kholaqtanii wa anaa ‘abduka, wa anaa ‘alaa ‘ahdika wawa’dika mastho’tu, a’uuzubika min syarri maa sona’tu, abuu ulaka bini’matika ‘alayya, wa abuu-u bizambi, faghfirlii fainnahuu laa yaghfiruz-zuniiba illa anta
Maksud:
Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan kecuali Engkau, Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, dan hamba pasti menuruti ketentuan-ketentuanMu, janji-janjiMu sesuai kemampuanku. Aku meminta penjagaanMu dari buruknya segala perbuatanku, aku mengakui segala nikmat yang Engkau berikan dan mengakui adanya dosa-dosa yang aku lakukan. Tidak ada yang mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau.
Selain itu, anda juga boleh mengucapkan lafaz istighfar yang pendek iaitu ‘Astaghfirullah‘ pada bila-bila masa sahaja, terutamanya setelah melakukan kesalahan.
Amalan ini sesuai dengan firman Allah s.w.t.
Dan mereka itu apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka, maka mereka mengingati Allah lalu beristighfar ke atas dosa-dosa mereka. Dan siapakah yang mengampunkan dosa selain Allah. Serta mereka tidak berterusan terhadap apa yang telah mereka lakukan dalam keadaan mereka mengetahui.
(Surah Al-Imran: Ayat 135)
Dengan perasaan rendah diri dan penuh keikhlasan, sebagai umat Islam kita perlu yakin bahawa Allah akan mengampuni dosa kita kerana Dia Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.
InsyaAllah, dosa-dosa yang telah kita lakukan akan diampuni Allah dan membersihkan jiwa kita dari kegelapan dosa dan maksiat.
Semoga amalan ini juga dapat menghindari kita dari melakukan maksiat selanjutnya di masa hadapan.
Semoga bermanfaat.
Dapatkan e-baucar istimewa apabila Mommy mengundi jenama barangan bayi dan keperluan ibu hamil kegemaran Mommy di Motherhood Choice Awards 2022 hari ini!