Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Doa Mujarab Untuk Anak-Anak Yang Boleh Diamalkan Oleh Ibu Bapa

Antara faedah berkahwin adalah untuk mendapatkan zuriat dan membina keluarga. Oleh sebab itu, anak adalah satu bentuk amanah dan juga anugerah buat pasangan ibu bapa. Walaupun bukan mudah untuk melahirkan dan membesarkan anak, mereka memberi kegembiraan dan kebahagiaan yang tidak ternilai.

Sebagai ibu bapa, banyak tugasan yang perlu dilakukan untuk memastikan anak yang berada di dunia ini membesar dengan ilmu yang cukup dan akhlak yang baik supaya tidak terpesong ke jalan yang salah.

Sambil mendidik anak, ibu bapa harus selalu mendoakan kejayaan dan kebahagiaan anak di dunia dan akhirat.

Doa untuk anak oleh ibu bapa juga sama-sama diperlukan demi mendapat keberkatan dan berjaya di masa hadapan.

Highlighted


Banyak doa yang ada tetapi doa mana yang sesuai untuk anak-anak yang boleh diamalkan oleh ibu bapa?

Seperti yang anda tahu, surah dalam al-Quran boleh dijadikan doa untuk dibaca pada bila-bila masa sahaja, terutama sekali selepas menunaikan solat.

Kini, Mommy dan Daddy boleh lah rujuk doa-doa ini yang boleh dimanfaatkan sekarang atau di masa hadapan. Dengan izin-Nya semua akan makbul.

10 Doa Mustajab Buat Anak-Anak

#1 Doa Nabi Zakaria Untuk Zuriat Yang Baik (Surah al-Imran, ayat 38)

Doa ini bermula sebagai doa yang dibacakan oleh Nabi Zakaria untuk memohon keturunan yang baik. Tambahan pula, Nabi Zakaria diuji dengan ketiadaan anak sehingga lewat usianya.

Walau bagaimanapun baginda, tidak berputus asa dan sentiasa berdoa supaya dikurniakan anak yang soleh agar dapat menyambung dakwahnya.

Akhirnya, Allah SWT mengurniakan seorang putera yang mulia buat baginda, iaitu Nabi Yahya as. Doa ini juga amat sesuai diamalkan untuk memohon zuriat yang baik.


Maksudnya: Di sanalah Zakaria mendoa kepada Tuhannya seraya berkata: “Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa.“

#2 Doa Supaya Dikurniakan Anak yang Mentaati Perintah Allah SWT (Surah al-Baqarah, ayat 128)

Membesarkan anak yang mentaati perintah Allah SWT dan menghindari segala laranganNya sudah tentu menjadi prioriti ibu bapa yang beriman.

Walaupun kita semua tahu iman tidak dapat diwarisi, ibu bapa boleh mendidik anak dengan ajaran yang betul dan juga amalkan doa yang dibaca oleh Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah bersama anaknya, Nabi Ismail.

Maksudnya: Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) diantara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

#3 Doa Untuk Anak Supaya Rajin Solat (Surah Ibrahim, ayat 40)

Kerajinan untuk solat bagi sesetengah orang, terutamanya kanak-kanak, tidak datang dengan mudah atau sendirinya.

Malah, ibu bapa perlu mula mendisiplinkan anak-anak yang sudah baligh untuk menunaikan solat wajib lima waktu.

Jadi doa Nabi Ibrahim untuk anak-anaknya ini boleh diamalkan oleh ibu bapa untuk memupuk semangat istiqamah dalam anak-anak agar mendirikan dan menjaga solat.

Maksudnya: Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan shalat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.

#4 Doa Untuk Anak Supaya Menjadi Penyejuk Mata (Surah al-Furqan, ayat 74)

Pada zaman sekarang ini, memang amat senang bagi sesiapa sahaja untuk melakukan maksiat dan menjadi durhaka. Tentu tiada ibu bapa yang mahukan perkara sebegini berlaku pada anak sendiri kan?

Doa dari surah al-Furqan ini boleh diamalkan untuk memohon agar keluarga dan anak keturunan sentiasa menjadi penyejuk mata dan pemimpin bagi orang-orang bertaqwa.


Maksudnya: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa”

#5 Doa Supaya Anak Kuat Dan Sabar (Surah al-Imran, ayat 200)

Setiap hari sudah tentu kita akan melalui beberapa cabaran, tidak kira besar atau kecil. Bagi anak-anak yang masih lagi mentah dalam pengalaman kehidupan, cabaran-cabaran yang dilontarkan ini tentu akan meresahkan mereka.

Ibu bapa bolehlah amalkan doa ini, dibacakan setiap kali lepas solat bersama, atau sebelum anak ke sekolah. Kalau anak-anak dah besar pun, tidak menjadi masalah untuk sentiasa mendoakan mereka!

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.

#6 Doa Agar Diberi Rahmat (Surah al-Ahqaf, ayat 15)

Sifat merendah diri adalah salah satu sifat yang disukai Allah SWT.

Walaupun sudah berjaya dari segala aspek duniawi dan senang dengan kehidupan, kita harus sentiasa bersyukur dengan nikmat Tuhan—termasuklah nikmat dikurniai anak.

Doa dari surah al-Ahqaf ini elok diamalkan untuk ibu bapa memanjatkan kesyukuran dengan meminta yang baik-baik untuk diri dan anak-anak, disamping meningkatkan kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah SWT.

Maksudnya: “Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”

#7 Doa Supaya Dilembutkan Hatinya (Surah asy-Syura, ayat 19)

Jika Ibu dan Ayah menghadapi cabaran dengan anak yang degil, keras kepala, atau keras hati, Ibu dan Ayah boleh amalkan doa dari surah asy-Syura ini yang menyerlahkan sifat Allah swt yang Maha Lembut.

Semoga doa ini dapat membantu melembutkan hati anak yang degil.

Maksudnya: Allah Maha lembut terhadap hamba-hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada yang di kehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

#8 Doa Agar Anak Diberikan Kefahaman Agama (Diamalkan oleh Rasulullah S.A.W.) 

Sebagai ibu bapa, kita mesti mahu yang terbaik dalam pelajaran untuk anak-anak kan?

Boleh cuba amalkan membaca doa ini setiap hari. Semoga Allah S.W.T. memberi kefahaman dan pengetahuan kepada anak kita dalam ilmu Agama. Doa ini juga diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. pada Ibn Abbas sewaktu kecil.

اَللَّهُمَّ فَقِّهْنِي فِي الدِّينِ

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah kepadanya kefahaman dalam agama dan ajarlah kepadanya tentang kefahaman Al-Quran.

#9 Doa Agar Anak Menjadi Pandai Dan Rajin Belajar (Surah Al Anbiya, ayat 79)

Urusan belajar tentu ibu bapa risau tentang kefahaman mereka di dalam kelas dan sejauh mana mereka boleh fokus di dalam kelas. Membuat latihan adalah sebahagian daripada kemajuan mereka.

Tetapi doa daripada ibu bapa juga penting untuk melancarkan perjalanan kemajuan mereka. Untuk memudahkan urusan belajar anak-anak, ibu bapa boleh cuba mengamalkan surah ini. Istiqamah dan insyaAllah akan makbul.

Maksudnya: Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.

#10 Doa Agar Anak Menjadi Penyejuk Mata (Surah Al-Furqaan, ayat 74)

Jika pasangan ibu bapa idamkan anak menjadi penyejuk mata, baik dan mendengar kata-kata ibu bapa. Menjadi orang yang disegani oleh orang. Doa ini merupakan doa agar anak menjadi penyejuk mata.

Maksudnya: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.


Semua ini adalah koleksi doa-doa yang boleh diamalkan oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka.

Seperti yang kita tahu, ucapan doa untuk anak daripada ibu bapa sendiri tidak ternilai keberkatannya. Jadi, ibu dan ayah sentiasa amalkan doa-doa ini untuk mereka berjaya dunia akhirat.

Mungkin dengan berkat doa kita, anak-anak juga akan mula dan beristiqamah untuk mendoakan kita, terutamanya apabila kita sudah tiada nanti.

Disamping itu, ibu dan ayah juga boleh ajarkan doa-doa dan zikir selepas solat ini pada anak-anak, agar kita sekeluarga sentiasa dilimpahi rahmatNya di dunia dan di akhirat kelak.