Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Dan Amalan Yang Elok Untuk Orang Meninggal

doa untuk ibu bapa meninggal

Kredit gambar: istockphoto

Apabila ada insan tersayang yang pergi meninggalkan kita, memang terasa sedih yang teramat dan kelu lidah untuk berkata-kata.

Ketika inilah, sokongan dan dorongan dari orang sekeliling memainkan peranan penting untuk memulihkan semangat kita.

Doa Dan Amalan Yang Elok Untuk Orang Meninggal

Tetapi, pentingnya kita memberi sokongan kepada yang hidup, adalah lagi penting untuk kita mengingati dan mendoakan mereka yang telah meninggal supaya mereka berada di bawah rahmat Allah S.W.T. dan dipermudahkan urusan mereka di sana.

Ada banyak usaha baik yang kita boleh lakukan untuk mereka yang telah meninggal dunia seperti doa dan amalan-amalan tertentu.

1. Doa anak soleh untuk ibu bapa yang telah meninggal

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W., daripada Abu Hurairah R.A.:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada kedua ibubapanya. – Riwayat Muslim (1631)

Doa dari anak yang soleh kepada orang tuanya yang telah meninggal, insyaAllah akan sampai kepada mereka dengan izin Allah S.W.T..

Itulah pentingnya buat ibu dan bapa ketika masih hidup untuk mendidik anak-anak sebaiknya supaya setelah mereka meninggal kelak, anak-anak mereka yang soleh dan solehah ini akan menitipkan doa buat mereka.

2. Doa saudara Islam buat saudara Islam lain yang telah meninggal

Dalam perkongsian Tazkirah Kematian oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis, telah dinyatakan sebuah hadis daripada Uthman bin Affan R.A. yang berkata, selesainya Rasulullah S.A.W. menanam mayat, baginda telah bersabda yang bermaksud:

Highlighted

Kredit gambar: https://muftiperlis.gov.my/

Maksudnya: Pohonlah keampunan untuk saudaramu dan berdoalah supaya dia tetap (dengan Islam). Sesungguhnya dia sekarang ini akan disoal. – Riwayat Abu Daud

Sesiapa pun yang telah meninggal, mereka tetap saudara seislam kita. Jadi sebaiknya kita berdoalah dengan ikhlas kepada Allah mengharapkan keampunan dan rahmat Allah buatnya.

Kredit gambar: istockphoto

3. Doa pilihan pertama untuk orang yang telah meninggal dunia

Kredit gambar: https://muftiperlis.gov.my/

 

Maksudnya:

“Segala pujian milik Allah Tuhan Sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia para Nabi dan rasul, ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda seluruhnya.”

“Ya Allah, sesungguhnya dia ini adalah hambaMu, anak lelaki kepada hamba lelakiMu, dia telah keluar dari dunia dan keluasannya kepada kegelapan kubur dan apa-apa yang akan dia temui. Dia dahulunya telah bersaksikan bahawa tiada Tuhan sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah dan Muhammad itu adalah seorang hamba dan utusanMu, dan Engkau lebih mengetahui tentang keadaannya.”

“Ya Allah, sesungguhnya dia (jenazah ini) datang kepadaMu, Dikau pula sebaik-baik zat yang didatangi, dia juga dalam keadaan amat mengharapkan rahmatMu, Dikau pula Tuhan Yang Maha Kaya dari mengenakan azab kepadanya, sesungguhnya kami memohon kepadaMu dalam keadaan mengharap kebaikan untuknya dari sisiMu.”

“Ya Allah, Jika dia ini seorang yang berbuat baik, maka tambahkanlah pahala dan ganjaran kepadanya. Jika dia seorang yang berbuat keji, maka ampunkanlah kesalahannya. Dengan rahmatMu, kurniakan keredhaanMu kepadanya, peliharalah dia dari fitnah dan azab kubur. Luaskan kuburnya, jauhkan bumi dari menghimpitnya, dengan rahmatMu, kurniakan kepadanya keamanan dari siksaMu sehingga Dikau membangkitkan dia menuju ke syurgaMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Doa mereka (penghuni syurga) di dalam syurga ialah: Subhanakallahumma (Maha Suci Engkau wahai tuhan), dan salam penghormatan mereka ialah; “Salam (salam sejahtera)” dan penutup doa mereka ialah: “al-Hamdu lillahi rabbil ‘alamin (segala puji bagi Allah tuhan seluruh alam).”

Rujukan: al-Umm, Ma’rifah as-Sunan wa al-Atsar dan Surah Yunus, ayat 10.

4. Doa pilihan kedua untuk orang yang telah meninggal dunia

Kredit gambar: https://muftiperlis.gov.my/

Maksudnya:

“Segala pujian bagi Allah Tuhan Sekalian Alam, selawat dan salam ke atas rasulul amin. Ya Allah berilah keampunan kepada mereka yang hidup dan yang telah mati di antara kami. Yang hadir bersama kami dan yang tiada bersama kami, yang kecil dan yang besar dalam kalangan kami, yang lelaki dan yang perempuan di antara kami. Ya Allah sesiapa yang Dikau berikan kehidupan kepada mereka, hidupkanlah mereka di atas agama Islam. Sesiapa yang Dikau matinya daripada kalangan kami, maka matikanlah ia di atas iman.”

“Ya Allah berilah keampunan kepadanya dan rahmatilah dia, berilah kesejahteraan kepadanya dan maafkanlah dia, terimalah dia dengan penuh kemuliaan, luaskanlah kuburnya, sucikanlah dia dengan air, salji dan air batu, bersihkan dia dari segala kotoran sepertimana dibersihkan baju putih dari segala kotoran. Gantikan untuknya rumah yang lebih baik dari rumahnya, ahli keluarga yang lebih baik dari ahli keluarganya sekarang, pasangan yang lebih baik dari pasangannya sekarang, masukkanlah dia ke dalam syurga, lindungilah dia dari azab kubur dan dari azab neraka.”

“Ya Allah, sesungguhnya ……………… bin/binti ……………… berada dalam perlindungan dariMu dan jaminan keamanan dariMu, peliharalah dia dari fitnah kubur dan azab neraka. Dikau Tuhan yang memenuhi janjiMu dan Yang Berhak dengan segala pujian. Ya Allah berilah keampunan kepadanya dan rahmatilah dia, sesungguhnya Dikau tuhan yang Maha Pemberi Keampunan lagi Maha Penyayang. Selawat Allah ke atas baginda Muhammad, dan segala pujian untuk Allah tuhan seluruh alam. Amin.”

Rujukan: al-Jami’, al-Musnad, Ibn Hibban dalam Sahihnya dan at-Tabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir.
Nota: kata nama ها dalam kurungan akan diganti pada doa ini jika ia adalah untuk saudara Islam perempuan yang telah meninggal.

5. Amalan yang elok untuk ibu bapa yang telah meninggal (1)

Bukan sahaja dengan berdoa, kita juga boleh usahakan beberapa amalan dalam berbakti kepada orang tua yang telah meninggal dunia. Seperti hadis Rasulullah daripada Jabatan Mufti Negeri Terengganu ini:

عن أبي أسيد الساعدي رضي الله عنه قال: بينا نحن عند رسول الله صلى الله عليه وسلم إذ جاء رجل من بني سلمة فقال: يا رسول الله هل بقي من بر أبوي أبرهما به بعد موتهما؟ قال: ” نعم الصلاة عليهما والاستغفار لهما وإنفاذ عهدهما من بعدهما وصلة الرحم التي لا توصل إلا بهما وإكرام صديقهما.”

Dari Abu Usaid Malik bin Rabi’ah as-Sa’idi R.A., katanya:

“Pada suatu ketika kami duduk di sisi Rasulullah S.A.W., tiba-tiba datanglah kepadanya seorang lelaki dari Bani Salamah. Orang itu bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah masih ada amalan yang dapat saya amalkan sebagai kebaktian saya kepada dua orang tua saya setelah keduanya meninggal dunia?”

Baginda menjawab: “Ya, masih ada iaitu mendoakan keselamatan untuk keduanya, memohonkan pengampunan kepadanya, melaksanakan janji kedua orang itu setelah kematiannya, mempereratkan hubungan kekeluargaan yang tidak dapat dihubungi kecuali dengan adanya kedua orang tua itu serta memuliakan kawan taulannya.” – Riwayat Abu Dawud

6. Amalan yang elok untuk ibu bapa yang telah meninggal (2)

عَنِ ابْنِ عَبَّاسِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ اِلَى النَّبِيِّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُوْلَ اللهِ اِنَّ اُمِّيْ مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ اَفَاَقْضِيْهِ عَنْهَا؟ فَقَالَ: لَوْ كَانَ عَلَى اُمِّكَ دَيْنٌ اَكُنْتَ قَاضِيْهِ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: فَدَيْنُ اللهِ اَحَقُّ اَنْ يُقْضَى

“Dari Ibn Abbas R.A. berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi S.A.W. dan bertanya:

“Wahai Rasulullah! Ibuku telah meninggal dunia sedangkan dia masih berhutang puasa sebulan, apakah boleh aku membayarnya untuk ibuku?”

Baginda menjawab: “Andaikata ibumu menanggung hutang (dengan manusia), apakah engkau yang membayarnya?” Beliau menjawab: “Ya” Maka baginda bersabda: “Hutang kepada Allah lebih patut dibayar.”

7. Amalan yang elok untuk ibu bapa yang telah meninggal (3)

Selain itu, boleh juga diniatkan pahala pada sedekah harta benda untuk ibu bapa kita.

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ اَنَّ رَجُلاً قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِنَّ اَبِيْ مَاتَ وَتَرَكَ مَالاً وَلَمْ يُوْصِ فَهَلْ يَكْفِى عَنْهُ اَنْ اَتَصَدَّقَ عَنْهُ؟ قَالَ نَعَمْ

Daripada Abu Hurairah R.A. berkata: “Ada seorang lelaki datang kepada Nabi S.A.W. dan berkata:

“Ayahku telah meninggal dan dia meninggalkan harta dan tidak berwasiat, maka apakah berguna baginya jika aku bersedekah untuk dia? Jawab baginda: Ya.”

Kredit gambar: istockphoto

Berdoa Dan Berbaktilah Kepada Mereka Yang Telah Meninggal Dunia

Tiadalah yang diharapkan oleh ibu bapa dan saudara kita yang telah meninggal dunia selain daripada doa dan amalan yang baik dari kita untuk mereka. InsyaAllah, moga-moga usaha kita diizinkan oleh Allah dan sampai pahalanya buat mereka di sana.

Jika anda mencari doa tahlil untuk arwah serta teks bacaan dan terjemahan yang lengkap, sila baca artikel ini.