Dalam agama Islam, sakit itu adalah penghapus dosa. Ia boleh jadi salah satu tanda bahawa Allah S.W.T. masih menyayangi kita.
Apabila kita ditimpa musibah dan ujian kesakitan, kita digalakkan untuk menyebut lafaz istirja’ iaitu:
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.
Ini berdasarkan pada ayat 155-156 dalam Surah Al-Baqarah:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.
Ia melambangkan kesabaran dan kesyukuran kita atas menghadapi ujian dan takdir Allah S.W.T. Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, dalam hadis juga ada dinyatakan. Ummu Salamah R.A. pernah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
“مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ، فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللهُ: {إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ} [البقرة: 156]، اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا، إِلَّا أَخْلَفَ اللهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا”.
Maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah lalu ia membaca apa yang telah diperintahkan oleh Allah, “Innaa lillahi wainnaa ilaihi raaji’uun allahumma`jurnii fii mushiibati wa akhlif lii khairan minhaa (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah. Ya Allah, berilah kami pahala karena mushibah ini dan tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya).’ melainkan Allah menukar baginya dengan yang lebih baik”. – Riwayat Muslim (918)
Doa Ialah Otak Bagi Ibadat
Doa itu adalah salah satu usaha dan pergantungan serta pengharapan kita kepada Allah S.W.T. Dalam sebuah hadis, telah diriwayatkan:
الدُّعَاءُ مُخُّ الْعِبَادَةِ
Maksudnya: “Doa ialah otak bagi ibadat.” – Riwayat al-Tirmizi (3371) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (3324)
Jelaslah bahawa kita sememangnya dianjurkan untuk berdoa dalam pelbagai keadaan sekalipun. Sesungguhnya, doa untuk orang sakit apabila anda menziarahi mereka, akan diaminkan oleh malaikat. Ummu Salamah R.A. pernah berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
إِذَا حَضَرْتُمُ الْمَرِيضَ، أَوِ الْمَيِّتَ، فَقُولُوا خَيْرًا، فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ
Maksudnya: “Apabila kamu menghadiri (menziarahi) orang sakit, maka katakanlah perkara-perkara yang baik. Ini kerana, malaikat akan mengaminkan setiap yang kamu ucapkan.” – Riwayat Muslim (919)
Oleh itu, berdoalah yang baik-baik untuk orang yang sakit.
Doa Untuk Orang Sakit Dan Memohon Kesembuhan Kepada Allah S.W.T.
Mereka yang diuji dengan nikmat kesihatan memang sangat memerlukan doa dan sokongan daripada orang di sekeliling mereka. Kadang-kadang, dalam menghadapi ujian itu, semangatnya luntur dan emosi mereka kerap kali tidak stabil.
Dengan doa-doa dan ingatan dari yang tersayang, insyaAllah, moga-moga dikabulkan oleh Allah S.W.T. dan dipinjamkan kembali kekuatan semangat untuk sentiasa bersabar dan bersyukur kepadaNya.
Antara sunnah Rasulullah S.A.W. ketika menziarahi pesakit atau datangnya pesakit kepadanya ialah dengan menyapu dengan tangan kanannya dan berdoa. Asiyah R.A. pernah berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَوِّذُ بَعْضَهُمْ يَمْسَحُهُ بِيَمِينِهِ أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا
Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW apabila menziarahi pesakit lantas dia memohon perlindungan kepada sebahagian mereka dengan menyapu dengan tangan kanannya seraya berdoa: “Hilangkanlah kesakitan wahai Tuhan manusia, sembuhkanlah kerana Engkau Maha Penyembuh, tiada kesembuhan kecuali kesembuhan engkau, sembuh yang tidak membawa kepada sebarang sakit.” – Riwayat al-Bukhari (5750) dan Muslim (2191)
Selain itu, Mufti Wilayah Persekutuan juga menganjurkan untuk mengamalkan doa ini:
اللَّهُمَّ اشْفِ مَرْضَانَا وَعَافِ مُبْتَلَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا
Maksudnya: “Ya Allah! Sembuhlah orang sakit di kalangan kami. Afiatkanlah orang yang diuji di kalangan kami dan rahmatilah orang yang telah mati dari kalangan kami.”
Pada bila-bila masa sahaja, berdoa dan pintalah kepada Allah dengan penuh kerendahan diri. Bahkan, NabiNya iaitu Nabi Ayub A.S., pernah diuji dengan penyakit dan kehilangan harta benda dan anak, ujian yang bertimpa-timpa. Dalam Surah Al-Anbiya, ayat 83:
Maksudnya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”.
Selain itu, kita juga disarankan untuk berdoa munajat ini sebanyak 3 kali apabila menziarahi orang sakit:
بِسْمِ اللهِ الَّذِىْ لاَيَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْئٌ فِى اْلاَرِضِ وَلاَ فِى السَّمَآءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ
Bismillahilladzi laa yadhurru ma’asmihi syai’un fil ardhi wa la fis samaa’i wahuwas sami’ul alim.
Maksudnya: “Dengan menyebut nama Allah yang bersama nama-Nya sesuatu itu tidak berbahaya di bumi dan di langit. Dan Dia Maha Mendengar lagi Mengetahui.”
Dalam perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, telah diajarkan juga doa-doa untuk menghidari penyakit dan ketika menziarahi pesakit. Antaranya adalah:
أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيْمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ أَنْ يَشْفِيَكَ
As alullaahal ‘azhiim, robbal ‘arsyil ‘azhiim, an yasyfiyak
Maksudnya: “Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Pemilik Arasy Yang Agung, agar Dia menyembuhkanmu.”
Disarankan untuk dibaca sebanyak 7 kali kepada orang sakit, insyaAllah penyakitnya akan disembuhkan oleh Allah S.W.T.. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.A., Rasulullah S.A.W. pernah bersabda:
مَنْ عادَ مَرِيضاً لَمْ يَحْضُرْ أجَلُهُ، فَقالَ عِنْدَهُ: سَبْعَ مَرَّاتٍ: أسألُ اللَّهَ العَظِيمَ رَبّ العَرْشِ العَظِيمِ أنْ يَشْفِيكَ، إلاَّ عافاهُ اللَّهُ سُبْحَانَهُ وَتَعالى مِن ذلِك المَرَضِ
Maksudnya: “Siapa yang menjenguk orang sakit, yang belum datang ajalnya. Kemudian dia membaca doa ini di dekatnya sebanyak 7 kali; maka Allah akan menyembuhkannya dari penyakitnya itu.” – HR. Abu Daud, Turmudzi, Hakim. Turmudzi mengatakan: Hasan gharib. Hadis ini dinyatakan hasan oleh Al-Hafidz Ibn Hajar)
Dalam hadis yang lain, telah dinyatakan:
وروينا في صحيح مسلم رحمه الله، عن عثمان بن أبي العاص رضي الله عنه، أنه شكا إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم وجعا يجده في جسده، فقال له رسول الله صلى الله عليه وسلم ضَعْ يَدَك عَلَى الَّذِي تَأْلَمُ مِنْ جَسَدِك، وَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ ثَلَاثًا، وَقُلْ سَبْعَ مَرَّاتٍ أَعُوذُ بِاَللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ
Maksudnya: “Diriwayatkan kepada kami dalam Saahih Muslim rahimahullah, dari Utsman bin Abil ‘Ash R.A. bahwa ia mengadu kepada Rasulullah S.A.W. perihal penyakit yang ia rasakan pada tubuhnya. Rasulullah S.A.W. lalu mengatakan kepadanya, “Letakkan tanganmu pada bahagian tubuhmu yang dirasa sakit. Bacalah tiga kali, ‘Bismillah.’ Lalu bacalah tujuh kali, ‘A ‘uuzu billahi wa qudrotihi min syarri maajidu wa uhaadzir”
Berdoalah Untuk Orang Yang Sakit Dan Diri Sendiri
Sesungguhnya, Allah telah berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 186: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”
Selesai sudah doa-doa untuk orang sakit, jadi jom kita baca pula doa pembuka majlis!