Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Duit Raya – Berapa Nak Bagi Setiap Orang?

Panduan Duit Raya

Kredit gambar: istockphoto

Tradisi menerima dan memberi duit raya ni memang seronok. Masa kecil dahulu, sanggup pusing satu kampung untuk ziarah jiran tetangga. Nak kumpul duit raya lah katakan.

Hidangan dan kuih raya yang disediakan untuk tetamu pun merupakan antara target kita berkunjung dari rumah ke rumah. Kadang tu, bungkus dalam tisu lagi bawa balik.

Bila dan menganjak dewasa dan berumah tangga, kitalah pula yang meneruskan tradisi. Daripada menerima menjadi pemberi duit raya.

Apa Itu Duit Raya Dan Asal Usulnya?

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Duit raya adalah hadiah yang berupa wang yang diberikan ketika hari raya. Mereka yang sudah berkerja dan berumah tangga seperti kakak dan abang serta ibu bapalah yang akan menjadi pemberinya.

Biasanya jumlah duit raya ini berbeza-beza mengikut umur si penerima. Kalau mereka masih lagi berada di sekolah rendah, jumlahnya biasa tak lebih dari RM10. Manakala kalau dah masuk ke sekolah menengah, jumlah duit raya agak banyak iaitu dalam puluhan ringgit.

Ada juga yang sampai ratus-ratusan. Bila dah masuk universiti pula, ada yang dah tak dapat duit raya tapi ada juga yang masih dapat. Ada yang banyak dalam beratus pula tu. Biasalah, belanja makin banyak kan?

Bila mereka semua sudah dewasa, mereka pulalah yang menyambung tradisi ini. Dari sebahagian rezeki mereka, akan diperuntukkan khas setahun sekali sebahagiannya untuk ditukarkan kepada duit raya.

Amalan ini berterusan dalam masyarakat Melayu sehinggalah ia menjadi satu tradisi yang kini cukup sinonim dengan hari raya kan?

Tapi sebenarnya, bagaimana boleh bermulanya amalan ini?

Menurut Tasneem Nazari, ada sesetengah sumber mengatakan bahawa amalan pemberian duit raya ini berasal daripada amalan kaum Cina yang memberikan ang pau kepada generasi yang lebih muda sebagai tanda penghargaan, meraikan permulaan yang baru dan sebagainya.

Amalan Pemberian Duit Raya Dalam Islam

Kredit gambar: istockphoto

Dalam Islam pula, ini sejajar dengan saranan agama yang menggalakkan umat Islam untuk bersedekah. Daripadanya, kita akan mendapat dua pahala iaitu pahala bersedekah dan pahala menghubungkan silaturrahim.

Telah diriwayatkan oleh Sa’d bin Abi Waqqas R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

‎إِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا أُجِرْتَ عَلَيْهَا حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِي فَمِ امْرَأَتِكَ

Maksudnya: Sesungguhnya kamu tidaklah membelanjakan nafkah yang kamu harapkan redha Allah dengannya (nafkah tersebut) melainkan kamu akan diberikan ganjaran ke atasnya, sekalipun jua nafkah yang kamu jadikannya di dalam mulut isteri kamu. – Riwayat Al-Bukhari (56)

Jika anda risau amalan pemberian duit raya ini menyerupai dengan amalan pemberian ang pau ketika perayaan masyarakat Cina, Mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan bahawa tidak terdapat sebarang unsur tasyabbuh dan amalan ini termasuk sebagai perbuatan sedekah yang dalam agama Islam, hukumnya sunat.

Islam menggalakkan kita untuk menzahirkan kegembiraan pada hari raya dan dengan pemberian duit raya, ini dapat dicapai dan akan mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita.

Pada Siapa Nak Bagi Duit Raya?

Kredit gambar: istockphoto

Sudah jelas bahawa amalan pemberian duit raya ini merupakan satu amalan sedekah yang diraikan dalam agama dan masyarakat kita. Oleh itu, pemberian duit raya ini sebenarnya tidaklah spesifik.

Cuma kebiasaanya, golongan penerima duit raya yang wajib adalah generasi muda seperti kanak-kanak dan remaja.

Selain dari itu, ramai je yang bagi pada isteri dan ibu bapa yang tersayang. Bukan sahaja pada anak-anak ya.

Malah, ada juga yang memperuntukkan sejumlah wang untuk diberikan duit raya kepada kanak-kanak yang tinggal sekampung dan setaman yang datang beraya ke rumah.

Jadi, untuk setiap satunya, adakah sama jumlah duit raya yang diberikan? Tentulah tak kan? Sebagai contoh, jumlah duit raya yang diberikan kepada anak tak sama dengan jumlah duit raya yang diberikan kepada ibu bapa.

Jom kita tengok anggaran jumlah duit raya yang biasanya diberi kepada beberapa golongan:

Penerima duit raya

Anggaran jumlah duit raya

Kanak-kanak bersekolah rendah RM2, RM5, RM10
Remaja bersekolah menengah RM10, RM15 hingga RM100
Pelajar kolej dan universiti RM20, RM50 hingga RM100+
Isteri *bergantung kepada kemampuan
Ibu dan bapa *bergantung kepada kemampuan
Sanak saudara yang memerlukan *bergantung kepada kemampuan
Fakir miskin, asnaf *bergantung kepada kemampuan

 

Walaupun terdapat anggaran tertentu untuk setiap golongan yang menerima duit raya, ini bukanlah satu kemestian dan kewajipan.

Sebenarnya, jumlah dan pemberian duit raya ni, bergantung kepada keikhlasan dan kemampuan anda. Ada antara kita yang tidak mampu untuk bagi duit raya dan bersedekah kepada tetamu di hari raya dengan menjamu mereka makan sahaja dan ada juga yang mampu untuk bagi duit raya kepada anak-anak hingga ratusan ringgit.

Asalkan mampu dan ikhlas, amalan pemberian duit raya tidaklah membebankan tetapi menggalakkan kita untuk berbuat baik dan mencipta rasa syukur di dalam diri.

Tips Dan Idea Nak Bagi Duit Raya

Kredit gambar: istockphoto

Sekarang ni, dah ramai yang mula menukar cara dalam pemberian duit raya kan? Terutamanya dengan situasi kita sekarang, agak terbatas dan merisaukan untuk berbagi duit raya dari tangan ke tangan.

Tak kurang juga, rasa mcam leceh je nak isi duit ke dalam sampul bagai. Jom, boleh cuba beberapa tips dan idea ini untuk bagi duit raya kepada yang tersayang:

1. Transfer online

Tudia…makin canggih dah kaedah pemberian duit raya. Tak perlu sampul ke apa, terus transfer online je duit raya. Ni kalau sanak-saudara jauh ke dekat, tak kisah dah. Semuanya di hujung jari je.

2. Tukarkan kepada barang

Tak semestinya sedekah melalui duit raya ni mesti dalam bentuk wang ringgit kan? Anda boleh juga bagi kepada yang tersayang barangan yang diidam-idamkan mereka sebagai duit raya. Tak kiralah dalam bentuk apa, sedekah juga kan?

3. Guna sampul yang menarik dan unik

Tak dilupakan juga, kalau nak bagi duit raya, jangan lupa asingkan jumlahnya mengikut sampul ya? Ini lebih menyenangkan dan mengelakkan anda daripada terkeliru. Kalau sampul sama je, nanti tertukar pula.

Tradisi Turun Menurun Yang Mulia

Dalam meneruskan tradisi pemberian duit raya ni, ibu dan bapa hendaklah menjelaskan adab-adab dalam menerima pemberian ini. Ajarlah anak-anak supaya jangan buka sampul duit raya di depan si pemberi dan apa sahaja jumlahnya, tanamkan rasa syukur dalam diri.

Dalam keterujaan kanak-kanak untuk mengumpul duit raya, dapatlah mereka mengenali generasi yang lebih tua dan menjalinkan hubungan persaudaraan.