Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Fahami Faktor Risiko Kanser Payudara Di Kalangan Wanita Menopaus

Umur, genetik dan kesihatan menyeluruh boleh menyumbang kepada risiko kanser payudara di kalangan wanita, dengan ketidakseimbangan hormon turut memainkan peranan penting.
Kanser payudara kekal sebagai penyakit yang membimbangkan golongan wanita bagi wanita di seluruh dunia, dan terdapat pelbagai perbincangan tentang bagaimana kesannya boleh berubah-ubah apabila seseorang wanita itu memasuki fasa menopaus dalam hidupnya. Di Malaysia, kanser payudara menduduki kedudukan tertinggi sebagai kanser utama di kalangan wanita. Statistik juga mendedahkan bahawa 1 daripada 19 wanita Malaysia menghadapi risiko untuk mendapat kanser payudara pada satu ketika dalam hidup mereka dan mengakibatkan kira-kira 3,500 nyawa terkorban setiap tahun. Daripada statistik yang membimbangkan ini, terdapat keperluan kritikal untuk mewujudkan lebih banyak kesedaran dan pemahaman menyeluruh tentang faktor risiko yang boleh menyumbang kepada kanser payudara.
Dalam usaha untuk menjelaskan topik penting ini, Pakar Perunding dan Pakar Bedah Payudara, Endokrin Pembedahan Am daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Suziah Mokhtar, dan Pakar Perunding Onkologi, Dr Hafizah Zaharah Ahmad berganding bahu dalam memberikan pandangan mereka tentang apa sebenarnya kaitan di antara kanser payudara dan menopaus serta bagaimana para wanita boleh menangani kebimbangan masalah kesihatan yang boleh disebabkan oleh pelbagai aspek ini.

Perubahan hormon ketika menopaus

Pertama sekali, adalah penting untuk faham bahawa menopaus itu sendiri secara semula jadi tidak meningkatkan risiko untuk mendapat kanser payudara. Sebaliknya, risiko kanser payudara meningkat seiring dengan peningkatan usia, dan fasa yang berbeza dalam kehidupan seseorang wanita membawa kepada perubahan hormon yang berbeza.

Highlighted

Dr Hafizah Zaharah Ahmad, Pakar Perunding Onkologi

Dr Hafizah berkongsi bahawa perubahan ini memainkan peranan penting dalam risiko kanser payudara, terutamanya disebabkan oleh pengaruh hormon seperti estrogen dan progesteron pada tisu payudara.

Tahap estrogen yang tinggi, terutamanya dalam tempoh yang berpanjangan, boleh merangsang pertumbuhan sel payudara dan meningkatkan risiko mutasi yang boleh menyebabkan kanser. Inilah sebabnya mengapa faktor seperti awal mendapat haid, lewat mendapat menopaus dan terapi penggantian hormon dikaitkan dengan risiko kanser payudara yang lebih tinggi, kerana ia mendedahkan tisu payudara kepada estrogen untuk tempoh yang lebih lama.

“Kehamilan dan penyusuan susu ibu dapat mengurangkan pendedahan wanita kepada estrogen secara sementara dan mungkin memberi perlindungan terhadap kanser payudara. Namun begitu, risiko ini mungkin meningkat selepas bersalin jika kehamilan pertama berlaku ketika wanita itu lebih berusia,” kata Dr Hafizah.

Dr Suziah Mokhtar, Pakar Perunding dan Pakar Bedah Payudara, Endokrin Pembedahan Am

Dr Suziah menghuraikan lebih lanjut bahawa risiko kanser payudara boleh dikategorikan kepada dua jenis utama – pramenopaus, yang dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara hormon-reseptor-positif (HR+), dan selepas menopaus di mana terdapat peningkatan risiko untuk kanser payudara hormon-reseptor-negatif (HR-).

“Kanser payudara cenderung untuk menjadi lebih agresif di kalangan wanita yang lebih muda dan di fasa pramenopaus berbanding wanita yang lebih tua dan telah menopaus. Menopaus penting dari segi rawatan khusus yang mungkin berkesan untuk pesakit. Wanita pramenopaus dengan HR+ mungkin lebih sesuai untuk dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan yang menyekat tindakan estrogen. Untuk wanita selepas menopaus dengan kanser payudara jenis HR+, ubat alternatif untuk menurunkan paras estrogen juga boleh digunakan. Apabila wanita HR+ pramenopaus mendapat rawatan menggunakan ubat untuk menurunkan tahap estrogen, mereka mungkin akan mengalami menopaus kimia disebabkan penggunaan ubat yang merangsang otak untuk menyekat ovulasi dan pengeluaran hormon ovari,” kongsi Dr Suziah.

Lebih-lebih lagi, umum mengetahui bahawa semakin lama seseorang wanita itu terdedah kepada hormon wanita (sama ada dibuat oleh badan atau diperoleh daripada ubat-ubatan atau tampalan), semakin besar kemungkinan untuk mereka mendapat kanser payudara. Sesetengah wanita juga mungkin mengalami simptom perimenopaus seperti kilat panas ataupun hot flashes, masalah tidur dan kekeringan faraj. Mereka mungkin memilih untuk menggunakan gabungan terapi penggantian hormon untuk mengurangkan gejala mereka tetapi ia boleh meningkatkan risiko kanser payudara sedikit. Oleh itu, risiko kanser payudara menjadi lebih tinggi jika terapi penggantian hormon digunakan secara lebih lama.

Penambahan berat badan dan obesiti

 

Gaya hidup sihat adalah kunci untuk menghindari pelbagai isu kesihatan dan ini amat penting dalam penjagaan kanser. Dr Hafizah menjelaskan bahawa lemak dalam badan wanita menukarkan sesetengah bahan dalam darah kepada hormon wanita yang seterusnya dapat mendorong kepada pertumbuhan kanser payudara. Oleh itu, golongan wanita disarankan untuk mengamalkan pemakanan sihat, kekal aktif dan mengekalkan berat badan yang sihat untuk mengurangkan risiko perkembangan kanser.

“Obesiti mengganggu keseimbangan hormon dalam badan. Apabila berat badan kita bertambah, lebih banyak insulin, hormon yang dihasilkan oleh organ yang dikenali sebagai pankreas perlu dirembeskan untuk mengelakkan kenaikan paras gula yang berlebihan. Selain daripada mengawal paras gula, insulin meningkatkan pengeluaran sel dan mengurangkan kematian sel. Ini bermakna, terdapat lebih banyak peluang untuk sesuatu yang tidak kena berlaku dalam badan dan seterusnya menyebabkan kanser berlaku,” kata Dr Hafizah.

Merungkai Persepsi Yang Tidak Benar

Apabila bercakap mengenai menopaus dan kanser payudara, ramai yang tidak dapat membezakan fakta daripada fiksyen kerana terdapat banyak maklumat yang dikongsi mengenai perkara ini. Sebagai contoh, sesetengah orang mungkin mempunyai tanggapan bahawa menopaus bertindak sebagai perisai terhadap kanser payudara, atau mamogram tidak lagi perlu dilakukan oleh wanita yang sudah menopaus.

“Risiko kanser payudara memang meningkat seiring usia, dan risikonya lebih tinggi bagi wanita yang belum mengalami menopaus, tetapi ini tidak bermakna wanita menopaus benar-benar kebal – sebenarnya kanser payudara boleh dan memang berlaku semasa dan selepas menopaus. Satu lagi tanggapan salah yang berbahaya ialah tentang bagaimana ujian mammogram tidak diperlukan oleh wanita yang sudah menopauss. Mamogram kekal sebagai ujian saringan penting untuk mengesan kanser payudara bagi wanita menopaus, dan pengesanan awal melalui mamogram boleh menyelamatkan nyawa,” kongsi Dr Hafizah.

Satu lagi persespi salah ialah ramai wanita panik apabila mereka menemui ketulan di payudara dan mereka akan menganggap ia pasti kanser. Walau bagaimanapun, tidak semua ketulan payudara adalah jenis malignant (kanser). Malah, majoriti ketulan payudara yang ditemui semasa menopaus adalah jenis benign (bukan kanser). Walau bagaimanapun, sebarang ketulan baru yang ada di payudara anda harus dinilai oleh doktor pakar untuk melihat jika ianya kanser atau bukan.

Dr Suziah turut menceritakan pengalaman beliau merawat seorang pesakit berusia awal 70-an yang disahkan menghidap kanser payudara tahap awal selepas pesakit dibawa anak-anaknya untuk menjalani pemeriksaan mamogram dan ultrasound.

“Melalui penyiasatan secara berperingkat, kami dapat mengesahkan bahawa kanser itu hanya terdapat pada payudaranya. Pesakit dihantar untuk penilaian kardiorespiratori dan seterusnya diberi kaunseling untuk menjalani pembedahan. Oleh kerana kansernya bersaiz kecil, pembedahan pesakit ini tidak rumit dan dia telah pulih dengan baik. Ujian makmal menunjukkan bahawa kansernya adalah daripada jenis reseptor hormon positif (HR+), lalu pesakit dimulakan dengan rawatan terapi hormon. Kini, selepas beberapa tahun, dia masih bebas daripada kanser dan menjalani kehidupan yang bahagia di kalangan orang tersayang,” tambah Dr Suziah.

Pengesanan awal untuk hasil rawatan yang lebih baik

Dr Suziah menekankan bahawa tanpa mengira status menopaus, kaedah pengesanan awal untuk kanser payudara tidak berbeza. Ujian mamogram dan ultrasound payudara adalah penting untuk pengesanan awal dan selalunya ujian saringan ini dapat mengenal pasti kanser payudara bertahun-tahun sebelum ia menjadi ketara, dan diagnosis tepat akan bergantung kepada keputusan biopsi tisu payudara. Rawatan untuk kanser payudara biasanya melibatkan gabungan pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi hormon/endokrin dan terapi sasaran yang akan disesuaikan dengan ciri-ciri khusus kanser payudara tersebut.

Dr Hafizah bersetuju dan berkongsi sentimen yang sama mengenai pengesanan awal kanser payudara. “Adalah penting untuk ingat bahawa walaupun faktor hormon adalah penting, risiko kanser payudara adalah disebabkan oleh pelbagai faktor lain. Genetik, sejarah keluarga dan faktor persekitaran lain juga memainkan peranan dalam menentukan risiko individu untuk mendapat kanser payudara. Pemeriksaan kanser payudara yang kerap dan konsultasi dengan pakar perubatan boleh membantu dalam penilaian dan pengurusan risiko kanser payudara dengan berkesan.”

Mengamalkan diet yang sihat dan tinggi serat serta rendah lemak secara tidak langsung boleh mengurangkan risiko wanita mendapat kanser payudara melalui insiden obesiti yang lebih rendah. Wanita yang dirawat untuk peringkat awal kanser payudara juga kurang berkemungkinan untuk menghidap kanser semula jika mereka mengamalkan gaya hidup sihat dengan diet tinggi serat dan rendah lemak. Bersama-sama dengan senaman yang mencukupi dan mengelakkan penambahan berat badan yang berlebihan, wanita itu boleh mengurangkan risikonya untuk mendapat kanser payudara.

Appendix – Cara melakukan pemeriksaan payudara secara sendiri

Langkah 1 (Pemeriksaan visual): Buka baju dan baju dalam anda lalu berdiri di hadapan cermin. Pertama sekali, letakkan kedua-dua tangan anda di sisi. Seterusnya, angkat kedua-dua tangkat di atas kepala dan akhir sekali, letakkan tangan anda di pinggang dan tekan pinggang anda dengan sedikit kekuatan untuk membuatkan otot dada anda tegang. Perhatikan sebarang perubahan pada bentuk payudara atau jika payudara anda membengkak, kulit termasuk ke dalam atau berlaku perubahan pada puting payudara semasa melakukan kesemua pergerakan ini.

Langkah 2 (Pemeriksaan manual semasa berdiri): Semasa berdiri, gunakan tangan kanan untuk memeriksa payudara kiri dan ketiak anda sebelum ulangi langkah yang sama dengan tangan kiri untuk payudara dan ketiak kanan. Gunakan tiga jari dan tekan payudara serta lakukan bulatan kecil untuk rasa sebarang ketulan atau sebarang perubahan di dalam payudara. Picit puting secara perlahan untuk memeriksa jika terdapat sebarang cecair yang keluar.

Langkah 3 (Pemeriksaan manual semasa baring): Ulangi langkah 2 ketika anda sedang baring.

Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, Mommy boleh layari Laman Rasmi Sunway Medical Centre Velocity & Facebook@Sunway Medical Velocity.


Dapatkan lebih banyak info yang terkini dan menarik di SINI.