Membekukan serta menyimpan telur dan sperma dengan selamat dapat membantupasangan dalam merancang keluarga dan memanjangkan tahap kesuburan mereka
Dr Farah Leong Rahman, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) menjelaskan bahawa pengawetan krio menggunakan cecair nitrogen untuk membekukan telur, sperma atau embrio pada suhu di bawah sifar (sekitar -320 darjah Fahrenheit atau bersamaan dengan -195 darjah Celsius untuk disimpan bagi kegunaan masa hadapan.
Pembekuan telur vs IVF
Apabila bercakap mengenai rawatan kesuburan, persenyawaan in-vitro (IVF) merupakan prosedur yang agak popular dan sesetengah orang mungkin tidak dapat membezakan antara IVF dan pembekuan telur.
Dr Farah berkongsi bahawa walaupun terdapat persamaan dan matlamat yang diinginkan adalah sama iaitu untuk hamil, kaedah dan proses yang dilakukan adalah berbeza.
“Dalam pembekuan telur, seorang wanita akan menjalani beberapa siri pengambilan ubat hormon untuk merangsang ovarinya bagi menghasilkan lebih banyak telur. Apabila telur telah mencapai kematangan, pengambilan telur (egg retrieval) akan dilakukan. Seterusnya, telur-telur ini boleh disimpan untuk kegunaan masa hadapan.
“Proses persediaan yang sama akan dilakukan bagi mereka yang menjalani IVF tetapi telur yang diambil akan disenyawakan dengan sperma pasangan di makmal. Ahli embriologi seterusnya akan memantau pertumbuhan dan perkembangan embrio. Embrio ini juga boleh dibekukan dan boleh d dipindahkan ke dalam rahim wanita di kemudian hari. Telur yang telah beku boleh dicairkan dan digunakan dalam rawatan kesuburan seperti inseminasi intrauterine atau IVF,” katanya.
Dengan kemajuan teknologi perubatan semasa, spesimen boleh disimpan melalui proses vitrifikasi yang menyebabkan pembekuan berlaku dengan sangat cepat (15000’C/minit), bersamaan dengan pembekuan terus.
Dengan ini, Persatuan Persenyawaan dan Embriologi Manusia menyokong bahawa pengawetan krio telur, sperma dan embrio boleh disimpan sehingga 55 tahun.
Pemeliharaan Kesuburan Sperma
Seperti pembekuan telur, golongan lelaki juga boleh membekukan sperma mereka untuk memanjangkan dan memelihara kesuburan mereka melalui proses yang sama.
Juga dikenali sebagai pembekuan sperma, ia merupakan sebuah kaedah memelihara sel sperma untuk kegunaan masa hadapan dan melibatkan pengumpulan sampel air mani daripada lelaki melalui ejakulasi yang kemudian akan melalui proses pengawetan krio.
Ini adalah proses perubatan yang bermanfaat bagi pesakit lelaki yang sedang menjalani rawatan untuk keadaan kesihatan yang serius seperti kanser. Menurut Dr Ashley Chung Soo Bee, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan dari SMCV, kanser sendiri boleh menjejaskan kuantiti dan kualiti sperma walaupun sebelum pesakit menjalani rawatan.
“Bagi lelaki, rawatan kanser boleh menyebabkan pengeluaran sperma menjadi lebih rendah, sperma rosak, atau ketidakupayaan untuk menghasilkan sperma. Kesan ini boleh bersifat sementara atau kekal dan bergantung kepada jenis rawatan yang dijalani pesakit.”
Ketika membuat persediaan untuk pembekuan sperma, pesakit lelaki dikehendaki mengeluarkan air maninya secara semula jadi sebelum dihantar ke makmal IVF untuk dibekukan.
“Jika pesakit lelaki itu tidak dapat mengeluarkan air mani secara semula jadi, dia mungkin perlu menjalani prosedur untuk membolehkan sperma diambil dari buah zakar.” tambah Dr Ashley.
Faktor yang perlu Dipertimbangkan
Pasangan atau individu boleh memilih untuk membekukan telur atau sperma mereka dan menjalani pengawetan krio di atas beberapa sebab; sama ada potensi penurunan tahap kesuburan, umur yang meningkat atau menjalani rawatan untuk penyakit seperti kanser.
Menurut Dr Farah, pengawetan krio membantu memelihara kualiti sperma, telur atau embrio dengan lebih baik sebelum memulakan rawatan kanser kerana ia boleh menjejaskan fungsi organ reproduksi dan menyebabkan masalah kesuburan.
Beliau juga mengetengahkan satu lagi keadaan kesihatan yang boleh menjejaskan kesuburan wanita iaitu masalah kekurangan ovari.
“Ini bermaksud ovari berhenti berfungsi lebih awal daripada jangkaan (sebelum berumur 40 tahun) dan menyebabkan ketiadaan haid. Jika terdapat sejarah keluarga yang mengalami maslah kekurangan ovari pramatang, para wanita disyorkan untuk mempertimbangkan pembekuan telur sebelum mendapat keadaan ini jika mereka merancang untuk mempunyai keluarga pada masa hadapan. Telur yang dibekukan boleh digunakan untuk mencipta embrio yang sihat melalui proses IVF untuk kehamilan pada masa hadapan,” jelas Dr Ashley.
Tambahnya, pasangan yang berminat untuk membina keluarga perlu mempertimbangkan untuk menjalani saringan kesuburan jika mereka telah melakukan hubungan seksual secara tetap tanpa kontraseptif selama setahun dan pasangan wanita itu berumur di bawah 35 tahun.
Namun, sekiranya pasangan wanita berumur 35 tahun ke atas, mereka disarankan untuk mendapatkan konsultasi kesuburan sekiranya mereka telah mencuba untuk hamil selama 6 bulan atau lebih, di mana pasangan tersebut akan menjalani pemeriksaan, ujian imbasan dan penilaian status kesuburan mereka.
Potensi risiko dan komplikasi
Setiap prosedur perubatan mempunyai kesan sampingan dan risiko yang mungkin berlaku, namun pengawetan krio dianggap sebagai prosedur yang selamat untuk dijalani.
“Kadar kelangsungan hidup (telur dan sperma yang dibekukan) agak tinggi, walaupun terdapat kemungkinan bahawa sesetengah sel mungkin tidak dapat bertahan ketika proses pencairan. Terdapat banyak faktor dalam menentukan kadar kejayaan kehamilan. Umur adalah salah satu faktor yang paling penting. Selain itu, makmal, peralatan dan staf perubatan juga memainkan peranan penting,” tekan Dr Farah.
Dr Ashley juga berpandangan sama dan menekankan bahawa terdapat kemungkinan untuk pesakit mengalami beberapa kesan sampingan yang disebabkan oleh peningkatan hormon semula jadi akibat rangsangan ovari.
“Kesan sampingan seperti mual, perubahan emosi, rasa panas, dan sakit kepala adalah simptom biasa. Sebilangan kecil pesakit juga mungkin berisiko mengalami sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS) dan mungkin mengalami kesan sampingan seperti mual, kembung perut, ketidakselesaan atau sakit perut, dan muntah-muntah. Oleh itu, setiap pesakit akan diberikan plan rawatan yang bersesuaian oleh pakar kesuburan masing-masing untuk mengurangkan risiko komplikasi ini,” tambahnya.
Untuk menentukan kesesuaian pengawetan krio bagi setiap individu, mereka perlu mendapatkan konsultasi dengan pakar penjagaan kesihatan yang dipercayai untuk mendapatkan maklumat lanjut dan untuk mengetahui langkah seterusnya yang terbaik ke arah perjalanan mereka dalam memulakan keluarga.
Dapatkan lebih banyak info yang terkini dan menarik di SINI.