Ibu, Bayi & Kanak Kanak

11 Fakta Anak Sulung Yang Menarik & (Pasti!) Dipersetujui Ramai Ibu Bapa

Sumber: istockphoto

Antara fakta anak sulung yang utama adalah bagaimana dia sangat istimewa buat para ibu dan bapa kerana kelahiran pertama yang dinanti-nantikan seisi keluarga.

Melalui anak sulunglah, ibu dan bapa belajar dan berusaha untuk menjadi yang terbaik. Mereka telah memberi seribu pengalaman kepada ibu bapa sepanjang proses untuk membesarkan mereka sebagai zuriat pertama.

Sudah tentulah mereka mendapat tempat yang khas di hati ibu bapa kan? Jika dibandingkan dengan anak-anak yang lain, anak sulung juga mempunyai personaliti yang berbeza dan lebih menonjol.

Motherhood kongsikan lebih 10 fakta anak sulung yang ramai ibu bapa tidak tahu.

11 Fakta Anak Sulung

Kebiasaannya, anak sulung mempunyai imej yang tersendiri kerana sifat-sifat yang ada padanya. Menurut Dr. Fadzilah Kamsah, terdapat beberapa personaliti yang terserlah pada setiap anak sulung.

Antaranya adalah:

1. Tenang dan matang

Anak sulung merupakan seorang yang tenang dan tidak terburu-buru dalam melakukan sesuatu. Mereka membuat keputusan selepas menimbang kira segala sudut dan faktor secara menyeluruh.

Mungkin kerana usianya yang lebih tua berbanding dengan yang lain telah membuatnya lebih matang. Selain itu, apabila dilahirkan, rata-rata kebanyakkan dari anak sulung telah mendapat perhatian sepenuhnya dari ibu dan bapa.

Disebabkan itulah mereka mampu mengawal emosi dengan lebih baik kerana tangki emosi mereka lebih terisi berbanding yang lain.

2. Mudah bertolak ansur dan dibawa berbincang

Kerana kematangannya, anak sulung mudah untuk bertolak ansur dan cenderung untuk mengalah apabila berlakunya sesuatu perbalahan atau salah faham.

Mungkin disebabkan pengetahuan dan pengalamannya yang lebih banyak, mereka dapat menilai situasi dengan lebih baik dan mudah untuk dibawa berbincang. Mereka bersikap lebih rasional dalam membuat keputusan dan menilai sesuatu.

Selain itu, hal ini juga mungkin disebabkan oleh perasaan mereka yang ingin melindungi adik-adiknya.

3. Cemerlang

Anak sulung selalunya mendapat sokongan yang penuh dari ibu dan bapa.

Dari segi pendidikan, kemahiran dan didikan agama, mereka diberi peluang yang banyak untuk berusaha dan meningkatkan kualiti diri. Jadi tidak peliklah jika anak sulung lebih cemerlang berbanding yang lain.

Selain itu, ia juga boleh dipengaruhi oleh faktor keinginannya selaku anak sulung yang ingin berjaya untuk mengubah dan membela nasib keluarga.

4. Model contoh

Highlighted

Sumber: istockphoto

Memang kita selalu dengar yang abang dan kakak sulung adalah model contoh kepada adik-adik mereka kan? Memang begitulah dalam kebanyakkan keluarga.

Anak sulung dilihat sebagai kayu pengukur dan ayam tambatan keluarga. Apa yang dilakukan mereka, perbuatan ataupun ucapan, sering menjadi ikutan adik-beradik.

Pernah kan kita mendengar ibu dan bapa menyuruh anak yang lain mencontohi anak sulung mereka. Sebagai contoh:

Belajarlah bersungguh-sungguh macam abang long kamu ya? Dari kecil lagi dia tak pernah putus asa. Tengoklah sekarang dah jadi doktor dah.

5. Pandai memujuk

Selain itu, anak sulung juga dikatakan seorang yang pandai memujuk. Betul ke?

Mungkin disebabkan posisi mereka sebagai anak yang paling tua, merekalah yang sentiasa memujuk adik-adiknya. Jadi secara tidak langsung, sifat ini terbentuk dalam diri mereka. Jika begitu, bertuahlah siapa yang menjadi pasangan mereka kan?

6. Bijak mengawal situasi

Bukan itu sahaja, mereka juga pandai mengawal situasi di sekeliling mereka. Dengan ilmu dan pengalaman yang ada, mereka mampu mempengaruhi orang dan secara tidak langsung, keadaan sekeliling.

Mungkin juga disebabkan faktor usia, adik-adik akan lebih mendengar kata dan orang lain hormat pada mereka.

7. Bertanggungjawab

Sudah tentunya sebagai anak sulung, tanggungjawab mereka lebih berat berbanding yang lain. Selaku anak pertama dalam keluarga, ibu dan bapa mestilah meletakkan pengharapan yang tinggi kepada mereka dari semua segi.

Jika anak sulung lelaki, sudah tentu merekalah yang diharapkan untuk menolong bapa melakukan kerja-kerja berat.

Bagi anak perempuan sulung pula, ibu mestilah mengharapkannya untuk membantunya di dapur dan melakukan tugasan rumah yang lain.

Dengan pendedahan dan ajaran sebegini, tidak peliklah jika anak sulung menjadi seorang yang bertanggungjawab kan? Apabila lahirnya adik-adik yang lain, anak sulung akan merasa bertanggungjawab pada mereka.

8. Ego

Sumber: istockphoto

Fakta anak sulung yang seterusnya adalah, mereka juga sering dilihat sebagai seorang yang ego. Hmm…ada kebenaran juga kan pada pendapat ini?

Biasalah sebagai anak sulung, mereka memainkan peranan yang besar dalam keluarga. Sebagai contoh adik-adik, pelindung, pendamai, anak harapan ibu bapa; semua ini sedikit sebanyak boleh membentuk keegoan dalam diri mereka.

Di posisi mereka, anak sulung ini tidak suka diperlekehkan dan dipandang rendah oleh orang lain akan kelebihan dan kemampuannya.

9. Degil

Kadang-kadang pula, boleh tahan degil anak sulung ni kan? Mereka kurang suka diarah-arahkan terutamanya jika dari orang lain selain ibu dan bapa mereka.

Sudah terbiasa memainkan peranan sebagai orang harapan, apabila disuruh buat itu ini, agak sukar untuk mereka menerima dan melakukannya.

10. Sensitif dan manja

Walaupun begitu, anak sulung ni sensitif dan manja tau. Mungkin kerana mereka sentiasa bersikap matang dan rasional, ada juga ketikanya mereka ingin bermanja.

Kebiasaannya ibu bapa lebih memberikan perhatian kepada anak bongsu dan lain-lain yang lebih muda. Mungkin disebabkan itulah mereka tidak mendapat perhatian yang secukupnya dengan kehadiran adik-adik yang lain.

Ini menyebabkan mereka bersikap lebih sensitif dan apabila berjumpa pasangannya, dengan merekalah anak sulung ini bermanja.

11. Tegas

Sebagai anak sulung, mereka juga tegas dalam pendirian dan kelakuan mereka. Memang kebanyakkan adik-beradik akan lebih mendengar kata anak sulung bukan sahaja kerana hormat pada mereka tetapi juga kerana ketegasannya dalam berbicara.

Sumber: istockphoto

Anak sulung tidak boleh ditukar ganti. Merekalah yang sering dirujuk untuk mendapatkan pandangan dan nasihat buat adik-beradik.

Bahkan, sanak-saudara pun turut menghormati dan menyayangi anak sulung sebagai kelahiran pertama dalam keluarga.