Ketika disahkan mengandung, para ibu pasti teruja dengan kehamilan dan terbayang-bayang saat melahirkan si comel. Banyak faktor seperti pemakanan, pergerakan dan kesihatan harus diubah dan dijaga dengan rapi untuk memastikan kesihatan si ibu dan bayi berada di tahap optimum.
Namun, ramai yang tidak mengambil berat akan faktor lain seperti pemakaian si ibu sebagai medium penting dalam memastikan keselesaan dan kesihatan para ibu. Anda haruslah mengambil berat akan pakaian dan fesyen anda ketika hamil kerana ia banyak memberi kesan yang positif terhadap kehamilan dan keyakinan diri anda.
Pakaian Dalam
Ketika hamil, banyak perubahan yang akan berlaku pada badan anda. Para ibu akan mula perasan akan saiz dan bentuk payudara yang makin membesar dan faraj yang berubah kelembapan dan tahap sensitivitinya. Perubahan ini adalah normal bagi ibu mengandung kerana berlakunya perbezaan hormon untuk menampung kehamilan bayi anda.
Supaya faraj anda sentiasa selesa dan terjaga kelembapannya, para ibu dinasihatkan untuk memakai seluar dalam yang diperbuat dari kapas dan bahan yang mudah menyerap peluh. Seluar dalam yang diperbuat dari bahan seperti nylon adalah tidak sesuai kerana ia cenderung dalam merangsang bau peluh dan ini akan mengakibatkan ketidakselesaan kepada para ibu.
Selain itu, anda juga dinasihati untuk tidak memakai seluar dalam yang ketat sebagai pilihan baju mengandung anda kerana khuatir akan menganggu peredaran darah dan menimbulkan ruam pada daerah lipatan alat sulit.
Untuk payudara pula, para ibu haruslah bijak dalam memilih jenis dan saiz baju dalam sebagai baju mengandung. Seperti seluar dalam, baju dalam yang diperbuat dari bahan kapas di bahagian dalam nya adalah yang paling sesuai. Selain kapas, bahan yang menyerap peluh juga disarankan kerana ketika mengandung, para ibu kebiasaannya akan cepat panas dan mudah berpeluh.
Semakin lama tempoh kehamilan, payudara para ibu akan semakin mengembang. Oleh itu, untuk membeli coli pada saiz yang sesuai, anda disarankan untuk mengukur payudara anda pada setiap enam atau lapan minggu. Adalah amat penting untuk si ibu memakai coli yang mampu menampung kedua-dua belah payudara yang semakin memberat supaya payudara anda nyaman dan tidak nyeri.
Para ibu juga tidak digalakkan untuk memakai coli yang mangkuknya keras kerana ini akan menekan payudara dan puting anda. Dalam sesetengah kes, ini mungkin juga akan mengakibatkan alahan pada puting si ibu.
Di samping itu, jenis baju dalam juga memainkan peranan penting. Ibu mengandung dinasihatkan untuk memilih baju dalam menyusu yang menutup sepenuhnya bentuk dada mereka. Ketika menyusu si comel nanti, payudara anda dapat dipegang dan dirasai oleh mereka berbanding dengan baju dalam menyusu yang hanya mempamerkan sebahagian payudara sahaja. Pasti saat menyusu akan lebih indah.
Sama ada coli yang menggunakan tali ataupun penyangkuk sebagai penyokong, kedua-dua nya adalah sesuai, bergantung kepada keadaan payudara si ibu.
Kedua-dua seluar dan baju dalam haruslah kerap ditukar dan dibasuh menggunakan pencuci yang sesuai untuk mengelakkan sebarang alahan pada bahagian sulit anda.
Baju Mengandung Harian dan di Tempat Kerja
Ketika berada di rumah, para ibu bebas untuk memakai pakaian yang memberi keselesaan sepenuhnya. Baju seperti baju kaftan contohnya, amat sesuai kerana ia tidak panas dan bersaiz besar. Sarung atau kain batik bersama kemeja-T juga adalah padanan yang sesuai untuk si ibu terutamanya ketika cuaca panas.
Selain itu, dress labuh dan gaun juga boleh menjadi pilihan si ibu jika mahukan kelainan. Apa salahnya untuk sesekali bergaya di rumah dan menimbulkan suasana gembira bersama suami. Pakaian ini amat sesuai untuk dipakai bukan sahaja di rumah tetapi juga ketika keluar bersiar mahupun di tempat kerja. Pemadanan kedua jenis pakaian ini dengan kardigan atau jaket nipis pasti akan menimbulkan imej yang sopan dan bergaya untuk para ibu.
Untuk para ibu yang bekerja, anda hendaklah memilih seluar panjang yang boleh menampung perut anda dan dalam masa yang sama, tidak menganggu keselesaan dan konsentrasi kerja anda. Seluar panjang atau skirt labuh yang bergetah lembut dan terletak di bahagian atas atau bawah perut adalah pilihan sesuai yang boleh dipadankan dengan beberapa jenis baju seperti blaus labuh dan kemeja-T longgar.
Bagi ibu hamil yang bertudung, pemilihan hijab merupakan antara faktor yang harus dititik beratkan kerana anda cenderung untuk berpeluh di kawasan lipatan telinga, leher, ketiak dan payudara. Fabrik yang menyerap peluh dan bukan dari bahan kain sintetis dapat mengelakkan bau badan dan mencipta rasa nyaman pada si ibu.
Baju Mengandung untuk Bersukan/Renang
Walaupun mengandung, ibu hamil digalakkan untuk bersenam dan melakukan aktiviti yang sesuai dengan keadaan anda. Di pasaran, terdapat banyak pakaian sukan untuk ibu mengandung. Sebagai contoh, seluar yoga yang mengembang dan baju sukan nipis. Untuk seluar sukan biasa seperti seluar trek, para ibu harus mementingkan fabrik di kawasan pinggang hingga ke peha agar anda boleh bersukan tanpa sebarang gangguan.
Untuk aktiviti renang pula, para ibu mempunyai pelbagai pilihan seperti baju renang khas yang berfabrik memeri, bikini dan tankini. Terdapat juga baju renang menyusu yang dicipta khas untuk memudahkan para ibu menyusu si comel. Ketika anda mahu bersantai di tepi kolam pula, para ibu boleh memakai sarong yang boleh diikat dan dibentuk sesuai dengan badan dan fesyen anda.
Ketika bersukan, para ibu juga harus mengambil berat akan saiz kasut sukan dan stokin kerana ketika hamil, saiz kaki anda akan membesar dan stokin yang ketat akan mengganggu peredaran darah di kaki anda.
Dalam berpakaian dan berfesyen ketika mengandung, faktor yang paling penting ialah keselesaan anda. Walaupun begitu, ini tidak bermakna para ibu tidak boleh bergaya. Anda bebas mengenakan busana dan baju mengandung yang memberi kepuasan terhadap anda. Pilih lah aksesori yang anda suka untuk dipadankan bersama. Usah lah berpakaian untuk menutup perut anda kerana yakin lah, kehamilan anda menjadikan anda wanita yang sangat cantik.
Dapatkan lebih banyak pilihan pakaian ibu hamil di Motherhood.com.my dengan harga yang berpatutan!