Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Kepentingan Penjagaan Gigi Susu Bagi Anak-Anak Kecil

Ramai ibu bapa yang menganggap gigi susu tidak perlu dijaga seperti gigi orang dewasa kerana ia hanya sementara sahaja. Walaupun gigi susu akan tanggal dan diganti dengan gigi kekal, sebenarnya gigi susu itu perlu diberi keutamaan seperti gigi kekal.

Maksud Gigi Susu

Secara umumnya, 20 gigi primer atau gigi susu sudah wujud dalam rahang bayi sejak lahir lagi. Biasanya gigi-gigi tersebut akan muncul ketika bayi berusia antara enam bulan sehingga satu tahun.

Ada juga bayi yang lahir terus ada gigi, dan kebanyakannya perlu dicabut selepas lahir disebabkan kerosakan.

Sebilangan besar bayi atau kanak-kanak akan mempunyai 20 gigi susu dengan lengkap sebelum mereka mencecah usia tiga tahun.

Setiap kanak-kanak adalah berbeza, tetapi biasanya gigi susu pertama yang masuk akan tumbuh di bahagian atas dan bawah di bahagian depan mulut mereka.

Ketika gigi susu mula-mula masuk atau sedang tumbuh, sesetengah bayi mungkin akan mengalami gusi sakit dan ada juga yang sampai demam.

Apa yang Mommy boleh buat ialah gosok secara perlahan gusi anak dengan jari yang bersih, sudu kecil yang disejukkan, atau kain yang lembut untuk melegakan kesakitan itu.

Kalau bayi Mommy sudah mula makan makanan separa pejal, boleh berikan buah-buahan sejuk yang mereka boleh kunyah dan legakan kesakitan.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Perbezaan Gigi Susu Dan Gigi Kekal

Gigi Susu

Jumlah gigi susu yang lengkap ialah 20 batang gigi, iaitu:

  • empat geraham pertama
  • empat geraham kedua
  • empat cuspids (juga disebut gigi taring)
  • empat gigi seri lateral
  • empat gigi seri tengah

Untuk setiap set empat gigi, dua gigi berada di lengkungan atas dengan satu di sisi setiap mulut, dan dua di lengkungan bawah, juga dengan satu di sisi setiap mulut.

Sumber: American Dental Association

Gigi Kekal

Jumlah gigi kekal yang lengkap ialah 32 batang gigi, iaitu:

  • empat geraham pertama (geraham enam tahun)
  • empat geraham kedua (geraham 12 tahun)
  • empat geraham ketiga (“wisdom tooth” atau gigi bongsu)
  • empat bicuspids pertama (premolar pertama)
  • empat bicuspids kedua (premolar kedua)
  • empat cuspid (gigi taring)
  • empat gigi seri lateral
  • empat gigi seri tengah

Kepentingan Gigi Susu

Gigi susu sebenarnya sangat penting untuk kesihatan dan perkembangan anak Mommy.

Walaupun gigi sementara sahaja, bayangkan betapa susahnya untuk makan kalau banyak gigi berlubang!

Ia juga boleh membawa kesan buruk kepada perkembangan percakapan anak-anak kerana gigi memainkan peranan untuk membantu kanak-kanak bercakap.

Emosi kanak-kanak juga semakin berkembang, dan walaupun hanya empat atau lima tahun, mereka tentu boleh berasa kecil hati kalau ada rakan sebaya yang mengejek mereka kalau gigi tak bersih, berlubang, atau hitam!

Sumber: Getty Images

Selain aspek luaran atau kecantikan, gigi susu sebenarnya amatlah penting kerana ia berfungsi untuk menahan ruang di rahang sementara gigi kekal sedang tumbuh di dalam gusi kanak-kanak.

Apabila gigi kanak-kanak hilang terlalu awal akibat kerosakan, mana-mana gigi kekal dapat menular ke ruang kosong tersebut, justeru menyempitkan dan menyukarkan gigi kekal lain untuk tumbuh di ruang yang sepatutnya.

Akibatnya, gigi kekal yang akan tumbuh akan tidak tersusun dengan betul dan bercelaru.

Sebab itulah penjagaan gigi bayi sebenarnya amat penting untuk jangka masa yang panjang. Alasan gigi susu tak penting dan akan tanggal tidak boleh dipakai dalam mengelakkan penjagaan gigi kanak-kanak.

Proses Pertumbuhan Dan Penanggalan Gigi Susu

Secara umumnya, empat biji gigi susu akan tumbuh setiap enam bulan bagi seorang bayi atau kanak-kanak.

Kanak-kanak perempuan selalunya akan tumbuh gigi lebih awal daripada kanak-kanak lelaki, dan pada kebiasaannya gigi bawah akan tumbuh dahulu sebelum gigi atas.

Gigi di kedua rahang akan tumbuh secara berpasangan, iaitu satu di sebelah kiri dan satu di sebelah kanan.

Selepas kanak-kanak berumur empat tahun, tulang rahang dan muka kanak-kanak mula tumbuh, justeru mewujudkan lebih banyak ruang untuk gigi kekal tumbuh.

Ini adalah proses pertumbuhan gigi semulajadi yang menyediakan ruang yang diperlukan untuk gigi kekal lebih besar muncul.

Mommy perasan tak gigi kekal lebih besar? Gigi susu pula memang lebih putih berbanding dengan gigi kekal dan ini sebenarnya adalah normal.

Di antara usia enam hingga 12 tahun, seorang kanak-kanak akan mempunyai kedua-dua gigi susu dan gigi kekal sehinggalah semua gigi susu telah tanggal dan gigi kekal mula tumbuh.

Sumber: Getty Images

Penjagaan Gigi Susu

Jadi apa yang perlu Mommy buat untuk memastikan gigi susu anak dijaga dengan betul?

Sebenarnya penjagaan gigi boleh bermula sejak bayi lahir lagi walaupun bayi belum mempunyai gigi. Sebaik sahaja gigi mula tumbuh, kerosakan juga sudah boleh bermula.

Mommy boleh ikut tips-tips berikut untuk mengelakkan kerosakan, menjaga, dan melegakan gusi anak.

  • Gunakan kain lap atau kain ‘gauze’ yang lembap untuk membersihkan gusi bayi walaupun gigi belum tumbuh. Memandangkan Mommy tak boleh tahu bila gigi akan tumbuh, rutin ini dapat melegakan gusi bayi jika gigi sedang tumbuh dan juga memastikan mulut bayi bersih.
  • Bagi bayi berumur kurang dari tiga tahun, sejurus sahaja gigi tumbuh, Mommy sudah boleh membersihkan atau menggosok gigi menggunakan berus gigi bayi yang lembut dan selalunya diperbuat daripada bahan silikon. Mereka hanya memerlukan secalit ubat gigi sahaja di atas berus gigi.
  • Baki kanak-kanak berumur tiga ke enam tahun, mereka memerlukan lebih banyak sedikit jumlah ubat gigi yang mengandungi fluorida. Saiz ubat gigi yang diperlukan adalah lebih kurang sebesar sebiji kacang tanah. Mommy perlu mengawasi rutin ini supaya anak tidak menelan ubat gigi tersebut.
Sumber: healthychildren.org
  • Gosok gigi anak-anak dua kali sehari, iaitu sekali pada waktu pagi dan sekali sebelum tidur.
  • Apabila bayi sudah mula tumbuh gigi, Mommy bolehlah bawa berjumpa dengan doktor gigi. Lawatan ke doktor gigi seawal mungkin adalah bagus supaya doktor gigi dapat memastikan semuanya berada dalam keadaan normal, dan mereka juga boleh menunjuk Mommy cara yang terbaik untuk membersihkan gigi anak.

Penjagaan gigi susu kanak-kanak adalah sangat penting seperti yang disebutkan di atas tadi. Selain itu, Mommy juga perlu menjaga pemakanan anak-anak.

Pastikan mereka tidak banyak memakan makanan ringan dan bergula kerana ini boleh membuatkan gigi susu rosak dengan cepat, terutamanya jika anak-anak tidak menggosok gigi dengan betul.

Doktor gigi juga memainkan peranan besar dalam penjagaan gigi anak-anak, jadi Mommy perlu mencari doktor gigi yang mesra dan pakar dalam mengendalikan anak-anak kecil.