Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Si Kecil Meminta-minta Untuk Mendapatkan Haiwan Peliharaan? Jom Tengok Haiwan Mana Yang Sesuai!

Kredit gambar: Adobe Stock

Memelihara haiwan peliharaan boleh memberi pengalaman yang istimewa buat kanak-kanak. Dengan pilihan yang terbaik, ia boleh membawa kegembiraan selama bertahun-tahun lamanya.

Aktiviti pemeliharaan ini juga dapat memberikan peluang bagi kanak-kanak untuk mempelajari pelbagai perkara berkaitan kehidupan yang berharga.

Kalau Mommy terfikir ingin mendapatkan haiwan peliharaan untuk si kecil, sebenarnya terdapat banyak jenis yang boleh dipertimbangkan.

5 Haiwan Peliharaan Yang Sesuai Untuk Dipelihara Kanak-kanak

1. Kucing Domestik

Highlighted

Kredit gambar: Getty Images

Kucing sudah tentu menjadi pilihan ramai. Jangan kata kanak-kanak, orang dewasa pun ramai saja yang sayang dengan kucing!

Kucing domestik dari mana-mana baka adalah sesuai untuk dijadikan haiwan peliharaan kanak-kanak. Bergantung kepada umur, si kecil boleh tolong memberikan makanan, minuman, dan bermain dengan kucingnya.

Kalau kucing duduk di dalam rumah sahaja, satu lagi tugas yang perlu diajar ialah membersihkan kotak ‘litter‘ di mana kucing membuang air besar dan kecil.

Mommy boleh dapatkan kucing dari kebanyakan pusat perlindungan haiwan. Lebih elok untuk ‘adopt‘ dan selamatkan haiwan comel ini daripada membelinya.

2. Ikan

Kredit gambar: Getty Images

Ikan selalunya boleh dijadikan haiwan peliharaan pertama kanak-kanak kerana ia adalah antara jenis yang paling senang untuk dijaga.

Antara jenis ikan yang boleh dipelihara kanak-kanak adalah jenis yang kecil seperti ikan emas dan ikan laga. Kanak-kanak boleh menjaganya dengan memberikan makanan ikan, menghias balang ikan atau akuarium, dan membersihkannya.

Kalau menggunakan balang kaca kecil, pastikan Mommy tidak meletakkannya di tempat yang tinggi. Takut pecah pula!

3. Burung

Kredit gambar: Adobe Stock

Membela burung boleh menjadi haiwan peliharaan yang menarik. Si kecil boleh diberikan peluang untuk mendapatkan sangkar yang cantik, sesuai dengan kecantikan burungnya!

Walaubagaimanapun, memelihara burung memerlukan lebih banyak perhatian dari kanak-kanak. Sesetengah burung sebenarnya agak pintar, manakala yang lain sangat sosial. Semua burung memerlukan perhatian hampir setiap hari.

Seperti yang disebutkan tadi, kanak-kanak boleh belajar untuk memberikannya makanan dan minuman, membersihkan sangkar, dan bermain dengan burung peliharaannya.

4. Kura-kura

Kredit gambar: Adobe Stock

Kura-kura yang kecil dan comel juga menjadi pilihan kebanyakan kanak-kanak, tetapi selalunya kanak-kanak yang lebih besar dan inginkan keunikan.

Kalau dijaga dengan baik, kura-kura anak Mommy boleh hidup lama sehingga mencecah 50 tahun!

Haiwan reptilia seperti kura-kura ini sesuai untuk kanak-kanak yang mempunyai alahan haiwan kerana haiwan reptilia tidak akan mencetuskan alahan.

5. Arnab

Kredit gambar: Getty Images

Seperti kucing, arnab juga popular kerana kecomelannya. Siapa boleh tahan dengan haiwan yang gebu-gebas, betul tak?

Tak seperti kucing, arnab tidak boleh melompat tinggi, jadi Mommy tak perlu gunakan sangkar bertutup pun. Tentu seronok bila anak-anak dapat keluar masuk dari sangkar bermain dengan haiwan ini.

Memelihara arnab lebih sesuai bagi kanak-kanak yang lebih besar kerana kanak-kanak kecil boleh menakutkan arnab dengan bunyi bising mereka.

Kebaikan Membela Haiwan Peliharaan Untuk Kanak-kanak

Memang tidak dinafikan lagi, membela haiwan peliharaan memberikan banyak manfaat, terutamanya bagi kanak-kanak. Selain memberikan hiburan, haiwan itu juga dapat mengajar anak-anak pelbagai perkara tentang kehidupan.

1. Memelihara haiwan mengajar kanak-kanak tentang tanggungjawab. Dengan ‘memiliki’ haiwan peliharaan, kanak-kanak boleh belajar tentang cara menjaganya dengan memberikan makanan dan minuman serta membersihkannya.

Kredit gambar: Adobe Stock

2. Memelihara haiwan juga dapat mengajar kanak-kanak tentang pengurusan masa. Kanak-kanak perlu pandai membahagikan masa untuk menjaga dan bermain dengan haiwan peliharaannya dan membuat urusan harian lain bagi diri mereka sendiri.

3. Memelihara haiwan dapat mengajar kanak-kanak tentang kewangan. Walaupun mungkin Mommy dan Daddy yang akan uruskan hal-hal kewangan, kanak-kanak masih boleh mempelajari tentang penggunaan wang untuk menjaga haiwan peliharaannya.

4. Memelihara haiwan dapat mengajar kanak-kanak tentang kepentingan kesihatan. Seperti setiap manusia, haiwan juga perlu dijaga kesihatannya. Memelihara haiwan peliharaan dapat mengajar kanak-kanak tentang kesihatan haiwan, pemberian vaksinasi, dan pemberian ubat apabila haiwan tidak sihat.

Kredit gambar: Adobe Stock

5. Memelihara haiwan juga mengajar kanak-kanak untuk tidak mementingkan diri sendiri. Apabila mereka perlu menjaga haiwan, mereka belajar tentang mendahulukan keperluan haiwan kesayangannya sebelum mementingkan diri sendiri.

Memang banyak kebaikannya menjaga haiwan peliharaan. Ia juga dipandang tinggi dalam Islam kerana haiwan juga adalah makhluk Allah s.w.t.

Kalau Mommy sudah nekad untuk mendapatkan haiwan peliharaan untuk si kecil, pastikan Mommy dapatkan info yang secukupnya tentang haiwan yang dipilih untuk memudahkan penjagaan.

Semoga Mommy dan si kecil sekeluarga akan mendapat pengalaman manis dari memelihara haiwan peliharaan yang menjadi pilihan.