Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Sejarah Dan Tradisi Hari Raya Haji Dalam Islam Yang Masih Ramai Tak Tahu

hari raya haji

Kredit gambar: people.utm.my/

Seusai menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagai hari kemenangan, beberapa bulan kemudian, umat Islam akan menyambut Hari Raya Haji pula.

Hari Raya Haji disambut pada setiap 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah pada setiap tahun Hijrah umat Islam. Keempat-empat hari ini adalah hari tasyrik iaitu hari yang diharamkan berpuasa. Pada hari-hari inilah, umat Islam mengorbankan haiwan peliharaan seperti kambing dan lembu sebagai ibadah korban.

Tujuan Hari Raya Haji ini disambut adalah untuk memperingati peristiwa tentang pengorbanan dan ketaatan Nabi Ibrahim A.S. kepada Allah S.W.T. dan kesabaran anaknya, Nabi Ismali A.S. dalam memenuhi perintah Allah.

Di samping itu, ketika Hari Raya Haji juga lah umat Islam dapat menyantuni fakir miskin dengan bersedekah daging korban kepada mereka.

Sejarah Islam Mengenai Hari Raya Haji

Highlighted

Kredit gambar: therakyatpost.com

Apakah sebenarnya peristiwa yang melibatkan Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya Nabi Ismali A.S. ini? Mengapakah umat Islam menyambut Hari Raya Haji ini pada setiap tahun untuk memperingatinya?

Sudah tentulah kan ia sesuatu yang besar dan bersejarah dalam Islam. Menurut Tazkirah, peristiwa ini diceritakan oleh Allah dalam firmannya, Surah As-Saffat daripada ayat 100 hingga 107.

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

  1. Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang saleh.

فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ

  1. Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar.

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

  1. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.”

فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ

  1. Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya).

وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ

  1. Dan Kami panggillah dia: “Hai Ibrahim,

قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ

  1. Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْبَلَاءُ الْمُبِينُ

  1. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata.

وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ

  1. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.

Demikianlah penceritaan tentang peristiwa tersebut dalam Al-Quran. Nabi Ibrahim A.S. sanggup untuk mengorbankan anak kesayangannya untuk mentaati perintah Allah dan anaknya pula, begitu sabar dan yakin dalam menyempurnakan perintah Allah.

Telah digantikan tubuh anaknya oleh Allah, Nabi Ismail A.S. dengan binatang sembelihan yang besar dan dilimpahkan kesejahteraan kepada Nabi Ibrahim A.S..

Kerana itulah, umat Islam akan mengorbankan haiwan peliharaan mereka pada setiap tahun ketika Hari Raya Haji dan menyedekahkan daging korban sebahagiannya kepada fakir miskin.

Kredit gambar: katamalaysia.my/

Tradisi Hari Raya Haji Di Malaysia

Seperti pada Hari Raya Aidilfitri, umat Islam di Malaysia akan melakukan beberapa tradisi yang tak jauh bezanya pada Hari Raya Haji.

Pada malam raya, akan dilaungkan takbir raya, memuji dan mengesakan Allah S.W.T.. Keesokkan paginya pula, akan berbondong-bondonglah umat Islam menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat raya beramai-ramai.

Tetapi sebelum ke masjid, adalah digalakkan untuk berpakaian dengan pakaian yang terbaik dan memakai wangi-wangian untuk kaum lelaki.

Dalam perkongsian oleh Universiti Malaysia Terengganu, tempoh solat sunat Hari Raya Haji adalah lebih cepat berbanding ketika solat sunat Hari Raya Aidilfitri kerana ia bertujuan untuk memberi lebih masa kepada ibadah korban.

Berbeza dengan Hari Raya Aidilfitri, adalah disunatkan untuk makan selepas solat sunat raya pada Hari Raya Haji supaya makanan pertama yang dimakan adalah daging korban.

Indahnya ketika Hari Raya Haji ini, semua akan dapat merasa daging korban walaupun fakir miskin. Namun ingin Motherhood mengingatkan ya, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, daging yang disedekahkan ini wajib dalam keadaan mentah dan bukanlah yang telah dimasak atau dikeringkan.

Al-Sheikh Muhammad Ibn Ahmad al-Syathiri telah menukilkan dalam kitabnya Syarh al-Yaqut al-Nafis:

وَ يُجْزِئُ نِيءٌ غَيْرُ تَافِهٍ مِن لَحْمِ المُتَطَوَّعِ بِهَا

Maksudnya: Sahnya daging korban itu adalah dengan disedekahkan dalam keadaan mentah, apa yang tidak rosak, daripada daging korban yang sunat. – Syarh al-Yaqut al-Nafis: 828

فَلَا يَكْفِى إِعْطَاؤُهُ مَطْبُوخًا وَ لَا قَدِيدًا

Maksudnya: Tidak memadai untuk memberi sedekah daging korban tersebut dalam keadaan sudah dimasak atau sudah dikeringkan (diawet dengan garam). – Syarh al-Yaqut al-Nafis: 828

Seusainya bermandikan peluh mengerjakan ibadah korban, umat Islam biasanya akan bekerjasama memasak pelbagai juadah hasil daripada penyembelihan dan menjamu ahli keluarga, sanak-saudara dan rukun tetangga.

Gulai daging, daging goreng, sup perut, sup tulang, hati lembu yang digoreng nipis-nipis; dimakan dan dinikmati bersama, hasil daripada daging korban yang berkat.

Sebahagiannya yang mentah telah disedekahkan, indahnya sambutan Hari Raya Haji ini kerana ia mentautkan ikatan silaturrahim sesama hambaNya, tiada yang ketinggalan dalam mentaatati perintahnya.

Kredit gambar: butterkicap.com/

Sambutan Hari Raya Haji Yang Indah

Semoga sambutan Hari Raya Haji di Malaysia dan di negara-negara Islam yang lain pada tahun ini meriah dan penuh dengan berkat dan rahmat Allah S.W.T..

InsyaAllah..