Hari Tasyrik merupakan hari dalam kalendar Islam yang jatuh pada tarikh 11,12, dan 13 Zulhijjah, atau tiga hari selepas solat sunat Aidiladha. Pada tempoh waktu ini semua umat Islam diharamkan untuk berpuasa. Hari Tasyrik juga adalah hari raya bagi orang yang sedang mengerjakan haji.
Riwayat daripada ‘Uqbah bin ‘Amir r.a, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
يَوْمُ عَرَفَةَ وَيَوْمُ النَّحْرِ وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ وَهُنَّ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
“Hari Arafah, Hari Raya Korban dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) ialah hari raya bagi umat Islam, ia adalah hari makan dan minum.”
Riwayat al-Tirmizi (773), Abu Daud (2419), al-Nasaie (3004), Imam Ahmad (17379) di dalam Musnad
Hari Tasyrik Sangat Istimewa Buat Umat Islam
Hari tasyrik merupakan hari untuk makan dan minum iaitu semua manusia akan memakan daging binatang yang dikorbankan termasuklah mereka yang berada di padang Arafah atau yang tiada di situ.
Hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Maksudnya:
Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah S.W.T. sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).
Riwayat al-Tirmidzi: 1493
Bagi umat Islam yang sedang melakukan ibadah haji, mereka akan melakukan ibadah melontar di ketiga-tiga Jamrah iaitu Jamratul Ula, Jamratul Wusta dan Jamratul Aqabah. Ianya dilakukan bagi mengingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s yang melontarkan anak batu kepada syaitan ketika dia menjelma untuk mengganggu tumpuan kedua-dua Nabi itu untuk melakukan ibadah korban.
Amalan-amalan Sunat Yang Boleh Dilakukan
Oleh itu pada hari yang istimewa ini, sebagai orang yang beriman kita digalakkan untuk melakukan ibadah dengan semaksimum yang mungkin untuk mendapatkan rahmat dan pahala daripada Allah S.W.T. Terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan, antaranya adalah:
#1. Memperbanyakkan amalan berzikir
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
Maksudnya:
“Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi Allah dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi Allah daripada sepuluh hari ini. Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
Hadis Riwayat Ahmad
#2. Memperbanyakkan amalan membaca Al-Quran
Firman Allah S.W.T.:
أَفَلَا یَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَۚ وَلَوۡ كَانَ مِنۡ عِندِ غَیۡرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِیهِ ٱخۡتِلَـٰفا كَثِیرا
Maksudnya:
“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”
Surah al-Nisa’: 82
#3. Memberi sedekah
Dari Abu Umamah al-Bahili berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:
صَنَائِعُ الْمَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ, وَصَدَقَةُ السِّرِّ تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ, وَصِلَةُ الرَّحِمِ تَزِيدُ فِ الْعُمْر
Maksudnya:
“Orang-orang yang melakukan kebaikan akan memelihara diri mereka dari nasib buruk. Sedekah secara rahsia menghapuskan kemurkaan Tuhan dan silaturahim pula menambahkan umur.”
HR al-Thabarani
#4. Menyembelih haiwan korban
Sembelih haiwan korban merupakan ibadah sunat yang sangat dianjurkan dalam islam. Istimewanya, ibadah ini hanya boleh dilakukan pada hari raya korban dan hari tasyrik sahaja.
Simboliknya, melakukan ibadah korban ini merupakan satu tanda kita bersyukur dengan setiap perkara yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita dan ianya juga sebagai tanda untuk mensucikan harta yang kita miliki.
#5. Memperbanyakkan doa
Dianjurkan juga supaya memanjatkan doa memohon kepada Allah S.W.T. Sebagaimana firman Allah S.W.T :
فَإِذَا قَضَيْتُمْ مَنَاسِكَكُمْ فَاذْكُرُوا اللَّهَ كَذِكْرِكُمْ آبَاءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا فَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاقٍ, وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya:
“Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berzikirlah (dengan menyebut) Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu, atau (bahkan) berzikirlah lebih banyak dari itu. Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia”, dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: “Rabbana aatina fid dunya hasanah wa fil akhirati hasanah wa qina ‘adzaban naar”. [Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka]”
Surah Al Baqarah: ayat 200-201
Semoga setiap amalan yang kita lakukan akan diterima oleh Allah S.W.T. InsyaAllah!
Dapatkan juga pelbagai doa harian beserta terjemahan yang lain di SINI!