Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Hukum Dan Hikmah Ibadah Korban Dalam Islam

ibadah korban

Kredit gambar: kosmo.com.my/

Ibadah korban merupakan satu ibadah yang sangat mulia dalam agama Islam. Berdasarkan perkongsian Majlis Agama Islam Selangor, ibadah korban adalah ibadah Ta’abbudi.

Menurut pengertian fiqh, qurban adalah penyembelihan haiwan ternakan seperti kambing dan lembu pada waktu tertentu dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T..

Tempoh waktu qurbannya bermula selepas solat sunat raya pada 10 Zulhijjah sehinggalah terbenamnya matahari pada 13 Zulhijjah dengan tujuan untuk beribadah kepada Allah dan menghidupkan syariat Nabi Ibrahim A.S. yang telah disyariatkan kepada Nabi Muhammad S.A.W..

Hukum Ibadah Korban Dalam Islam

Telah dinyatakan dalam sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

Tidak ada satu amalan anak Adam pada hari Nahar (Hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih binatang qurban), kerana ia (binatang qurban) itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, kuku dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah qurban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang qurban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu perelokkan olehmu niat serta binatang yang diqurbankan.

Riwayat al-Hakim

Highlighted

Kredit gambar: solusianakmuda.com/

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei, hukum bagi ibadah korban dalam agama Islam adalah sunat muakadah. Sunat muakadah ibadah korban ini adalah sunat yang sangat dituntut buat mereka yang baligh, berakal, berkemampuan dan merdeka.

Melihat pada faktor-faktor ini, seseorang itu dituntut untuk melaksanakannya jika dia memenuhi ciri-cirinya. Jika seseorang itu mampu dan tidak pula melakukannya, hukumnya adalah makruh.

Apabila menjelang Hari Raya Haji, adalah sebaiknya jika Mommy dan sekeluarga menilai tentang kemampuan diri dan buatlah ibadah korban jika mampu ya?

Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

عن أبى هريرة رضى الله عنه، أن رسول الله عليه وسلم قال: من كان له سعة ولم يضح، فلايقربن مصلانا {رواه إبن ماجه}

Maksudnya: Barangsiapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk berkorban tetapi dia tidak berkorban, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini.

Hikmah Ibadah Korban Dalam Islam

#1. Tanda taat seorang hamba kepada Allah S.W.T.

Berdasarkan peristiwa yang telah terjadi antara Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya Nabi Ismail A.S., telah terlakarnya sebuah sejarah dalam Islam yang telah mensyariatkan umat Islam untuk melakukan ibadah korban.

Kredit gambar: korbanaqiqah.com.my/

#2. Menyemai sikap prihatin sesama manusia

Melalui ibadah korban, sikap prihatin dalam diri umat Islam akan lebih menyubur kerana pemberian daging korban kepada fakir miskin. Sama-sama boleh merasa, sama-sama mendapat berkat insyaAllah.

#3. Menzahirkan rasa syukur kepada Allah

Seperti firman Allah dalam Surah Al-Hajj ayat ke-34:

وَلِڪُلِّ أُمَّةٍ۬ جَعَلۡنَا مَنسَكً۬ا لِّيَذۡكُرُواْ ٱسۡمَ ٱللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلۡأَنۡعَـٰمِ‌ۗ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syariatkan penyembelihan korban sampai mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka.”

Salah satu hikmah ibadah korban ini adalah untuk menzahirkan rasa syukur kepadaNya terhadap nikmat dan rezeki yang dikurniakan.

#4. Mendidik sikap sabar dan tawakal kepada Allah

Melalui peristiwa yang telah terjadi antara Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya Nabi Ismail A.S., terdapat beberapa pelajaran yang umat Islam boleh kenangkan dan ambil pedoman seperti hendaklah bersabar, cekal dan tawakal kepada Allah apabila ditimpa sesuatu ujian ataupun musibah.

Sesungguhnya itu semua adalah ketentuan dan ketetapan daripada Allah S.W.T..

#5. Menyuburkan sifat pemurah dan mengikis ketamakan dalam hati

Sesungguhnya, Allah itu amat pemurah dalam mengurniakan pelbagai nikmat kepada kita. Umat Islam digalakkan untuk melakukan ibadah korban supaya sifat murah hati dalam diri akan lebih menyubur dan sifat tamak pula dapat dikikis.

Segala nikmat yang diberikan oleh Allah sebaiknya dikongsi beramai-ramai melalui zakat, sedekah dan wakaf.

Kredit gambar: hmetro.com.my/

Ibadah Korban Adalah Ibadah Yang Mulia

Setiap tahun, bergantung kepada kemampuan Mommy dan Daddy, usahakanlah untuk melakukan ibadah korban jika mampu.

InsyaAllah, moga-moga Allah menerima ibadah kita dan dikurniakan kesejahteraan daripadaNya.