Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Jenis Ikan Laga Sebagai Ikan Peliharaan & Tips Mudah Menjaganya Di Rumah

Haiwan peliharaan adalah penting dalam kehidupan kebanyakan orang. Ada yang suka membela kucing atau arnab, dan ada pula yang suka membela ikan seperti ikan laga.

Walaupun sebagai manusia kita membela haiwan kerana suka, tapi sebenarnya memelihara haiwan dapat memberikan impak yang positif kepada kita.

Sama seperti memelihara atau menjaga tumbuh-tumbuhan, ia secara semula jadi memanfaatkan kesihatan emosi seseorang juga. Iyelah, kalau diri sendiri tak terjaga dulu, macam mana nak jaga haiwan peliharaan, betul tak?

Kalau kebelakangan ini anda terfikir untuk berjinak-jinak dalam memelihara ikan laga, apa kata anda lengkapkan diri dahulu dengan informasi tentang ikan ini sebelum membuat pembelian.

Jom Kenali Ikan Laga Yang Menawan Ini!

Highlighted

Kredit gambar: Adobe Stock

Pada asalnya, ikan laga merupakan ikan air tawar yang sering dijumpai di parit dan bendang, terutamanya ikan laga kampung.

Nama genus saintifiknya ialah ‘Betta’, dan terdapat 73 spesis ikan jenis ini. Yang paling terkenal ialah ikan laga Siam (Betta splendens) dan juga ikan laga kampung (Betta imbellis).

Ikan ini popular sebagai ikan peliharaan kerana kecantikan warnanya, terutamanya pada ekornya yang beralun.

Satu lagi tujuan ramai membela ikan ini tentulah kerana untuk melihat ikan-ikan tersebut berlaga! Walaupun saiznya kecil, tapi tenaganya amat kuat untuk berlaga.

Kalau anda tak tahu, lebih hebat tenaganya, lebih mahal harganya!

10 Jenis Ikan Laga Yang Popular

1. Halfmoon Betta

Kredit gambar: AquaSnack

Ikan laga ‘halfmoon betta‘ adalah jenis yang popular kerana mempunyai ekor yang besar dan separuh bulat, seakan-akan separuh bulan (halfmoon).

Ikan jenis ini memang senang untuk didapati di Malaysia. Harganya adalah antara RM20-RM30 bergantung kepada warna, umur, jantina, bentuk ekor, dan saiz.

Ikan ini bernilai tinggi kerana memerlukan proses pembiakan yang banyak untuk mendapatkan ekor ‘halfmoon‘ yang sempurna.

2. Ikan Laga Peaceful Betta

Kredit gambar: Keeping Fish

Peaceful betta‘ adalah jenis yang sering dijumpai di peraiaran Asia Tenggara termasuklah Malaysia, Indonesia, dan Selatan Thailand.

Ia juga sering dipanggil ikan laga kampung kerana ia selalunya hidup di kawasan sawah padi, paya, sungai, dan kolam air di kawasan perkampungan.

Namanya dipanggil ‘peaceful‘ juga kerana ia jenis yang kurang agresif dan tidak selalu bergaduh dengan ikan lain.

3. Crowntail Betta

Kredit gambar: Fishkeeping World

Jenis ‘crowntail betta‘ ini sering dikenali sebagai ikan laga Matahari oleh orang tempatan kerana ekornya nampak seperti pancaran sinaran cahaya Matahari.

Orang Barat pula menamakannya ‘crowntail‘ kerana bentuk ekornya yang nampak seperti mahkota, iaitu ‘crown‘ dalam bahasa Inggeris.

Apa yang menarik ialah bentuk ekor ikan ini terhasil bergantung kepada jumlah tulang dan cabangnya. Jika semua cabang ekor belakangnya sempurna hingga 180 darjah, lebih tinggilah harganya!

4. Ikan Laga Plakat Betta

Kredit gambar: Aquarium Source
Jenis ‘plakat betta‘ dikatakan adalah jenis yang paling senang untuk dikenalpasti kerana mempunyai dua sirip iaitu di atas dan di bawah.
Sirip bahagian atasnya adalah lebih pendek berbanding dengan sirip di bahagian bawah.
Ekornya pula mempunyai bentuk halfmoon seperti jenis ‘halfmoon betta‘ tetapi adalah lebih kecil atau pendek.

5. Double Tail (DT) Betta

Kredit gambar: It’s A Fish Thing

Seperti namanya yang bermaksud ‘ekor berganda’ atau ‘dua ekor’, jenis ‘double tail betta‘ mempunyai ekor menarik yang terbelah dua.

Juga dikenali dengan nama ikan laga dua cabang, jenis ini sebenarnya boleh datang dari pelbagai jenis seperti halfmoon betta dan crowntail betta yang disebutkan tadi.

Apabila ekornya berbentuk tepat 180 darjah dan belahan didepan berbentuk simetri, itu dikatakan jenis double tail betta yang sempurna. Disebabkan itu jenis yang sempurna ini amat susah untuk didapatkan dan harganya juga agak tinggi!

6. Ikan Laga Elephant Ear Betta

Kredit gambar: LoveMyBetta

Jenis ‘elephant ear betta‘ mendapat namanya kerana mempunyai sirip kiri dan kanan yang nampak seakan-akan telinga gajah.

Ikan ini lincah berenang dan yang jenis jantan agak dominan dan suka menyerang!

Disebabkan yang jantan adalah agresif, ramai yang lebih suka mendapatkan yang jenis betina. Tambahan pula, ekor jenis betina lebih panjang dan nampak lebih cantik.

7. Rosetail Betta

Kredit gambar: Betta Sourse

Jenis ‘rosetail betta‘ adalah antara jenis yang paling komersial di pasaran. Ia diburu ramai kerana mempunyai ekor berbentuk ala-ala bunga ros.

Jangka hayat ikan jenis ‘rosetail betta‘ ini tidak panjang jika ekornya membesar terlalu lebat. Ini akan melambatkan pergerakannya ketika berenang.

Untuk dijadikan ikan peliharaan, anda dinasihatkan untuk mendapatkan yang masih kecil supaya tumbesaran tulang ekornya lebih terkawal dan seimbang.

8. Ikan Laga Avatar Betta

Kredit gambar: GDM Organik

Jenis ‘avatar betta‘ ini mendapat namanya daripada filem ‘Avatar‘ yang popular dimana wataknya berwarna biru terang.

Ikan ini mempunyai kulit yang akan memancar-mancar ketika dalam gelap. Harganya pula adalah antara yang paling mahal yang bermula dari RM400.

Dalam suatu pertandingan kecantikan ikan laga hiasan pada tahun 2019 di Kuala Terengganu, ikan jenis ‘avatar betta‘ ini telah menjadi juara dan dijual pada harga RM7,000!

9. Veiltail Betta

Kredit gambar: Depositphotos

Antara jenis yang paling senang untuk didapati di Malaysia ialah jenis ‘veiltail betta‘. Ia mendapat namanya dari bentuk ekornya yang seakan-akan ‘veil‘ atau kelubung.

Sirip dan ekornya yang labuh dan jatuh seperti langsir ini membuatkannya mudah untuk dikenalpasti di pasaran tempatan.

Walaubagaimanapun, jenis ini tidak mempunyai saingan yang tinggi di pasaran kerana peratus baka kacukannya rendah, jadi harganya pun rendah.

10. Ikan Laga Samurai Betta

Jenis ‘samurai betta‘ adalah hasil kacukan yang tidak disengajakan daripada hasil pembiakan ikan laga hitam bergenerasi lamanya di Thailand.

Hasilnya ialah ikan yang mempunyai corak yang unik dan warnanya yang tidak menyeluruh di seluruh sisik tubuhnya.

Pembiakan ini diteruskan dan sekarang terdapat beberapa warna jenis samurai seperti merah dan biru. Walaubagaimanapun, yang warna hitam itu masih diburu ramai.

Tips Mudah Jaga Ikan Laga di Rumah

Ikan yang kecil dan menawan ini memang nampak cantik duduk di dalam balang, kan? Nak jaga pun senang, tapi masih memerlukan perhatian yang mencukupi.

1. Pastikan air yang digunakan adalah bersih dan ditukar selalu. Air yang kotor boleh menyebabkan kematian ikan ini. Jika menggunakan air paip, letakkan sedikit ubat anti-klorin kerana ikan ini tidak boleh survive dalam air yang mempunyai pH tinggi.

Kredit gambar: Adobe Stock

2. Ikan ini adalah jenis haiwan karnivor, dan ia memerlukan diet yang sesuai. Walaupun tidak senang untuk memberi diet seperti di alam liar, anda perlu mendapatkan makanan yang mempunyai protein yang tinggi.

3. Gunakan akuarium yang lapang dan bukannya balang yang kecil. Ini adalah kerana ikan laga cepat stress dan akuarium yang kecil akan membantutkan pembesarannya. Bekas yang kecil juga boleh menurunkan kualiti air dengan cepat.

4. Pertimbangkan penggunaan tumbuhan akuatik dalam akuarium kerana ia dapat memproses najis ikan laga yang menjadi makanannya. Daun ketapang adalah antara kegemaran ikan laga kerana boleh menurunkan nilai pH air dan membunuh bakteria dalam air.

5. Anda digalakkan juga untuk menghiasi akuarium dengan batu kerikil, pasir, dan kayu hanyut. Hiasan ini dapat mengawal ’emosi’ ikan laga dan mengurangkan stress. Hiasan ini dapat memimik habitat semula jadi, justeru membuatkan ikan anda lebih selesa.

Sekarang anda sudah tahu serba sedikit tentang jenis dan penjagaan ikan laga, tentu tak sabar pula nak mula memeliharanya, kan?

Seperti penjagaan haiwan peliharaan lain, pastikan anda boleh memberi komitmen yang sewajarnya dan bukan setakat mahu ikut trend.

Ikan juga adalah makhluk Tuhan dan perlu dijaga sebaik mungkin. Dengan penjagaan yang baik, ia tentu dapat memberi manfaat kepada makhluk tersebut dan juga diri anda sendiri.

Semoga bermanfaat.