Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Jenis Ikan Yang Selamat Dan Dibenarkan Untuk Ibu Berpantang!

Kredit Foto: Google Image

Semua ibu yang baru melahirkan bayi harus ambil tahu tentang pemakanan mereka ketika berpantang.

Seperti yang kita tahu, badan ibu selepas berpantang amatlah sensitif dan perlu makanan yang penuh kebaikan dan khasiat untuk diri mereka dan juga untuk ibu yang menyusukan bayi. 

Persoalannya, adakah terdapat jenis ikan untuk ibu berpantang yang harus dielakkan?

Atau ibu berpantang boleh menjamah apa sahaja menu berpantang seperti sebelum bersalin? Jawapannya ialah tidak!

Mengikut petua tradisional, terdapat beberapa jenis ikan untuk ibu berpantang sahaja yang dibenarkan dan sesuai untuk dimakan. 

Highlighted

Kredit Foto: Adobe Stock

Ikan Yang Perlu Dielakkan Untuk Ibu Berpantang:

  • Ikan Keli & Sembilang
  • Ikan Patin
  • Ikan Pari
  • Ikan Duri
  • Ikan Cencaru
  • Ikan Kembung
  • Ikan Tongkol
  • Ikan Bawal Hitam
  • Ikan Terubuk
  • Ikan Parang

10 Jenis Ikan Yang Dibenarkan Untuk Ibu Berpantang (Bersama Resepi!)

1) Ikan Haruan

Kredit Foto: Google Image

Ikan haruan sangat popular untuk dijadikan pilihan sajian ikan untuk ibu berpantang.

Malah, ikan haruan dipercayai mempunyai khasiat dan zat dalam membantu menyembuh luka dalaman serta luaran.

Rasa isinya sedap seperti lemak-lemak manis. Antara menu yang boleh dimasak adalah sup ikan haruan atau ikan haruan bakar.

Jangan sesekali menggoreng!

Resipi Sup Ikan Haruan:

  • 1 ekor ikan haruan
  • 2 cawan air
  • 2 sudu makan minyak jagung
  • 1 sudu makan lada hitam – ditumbuk
  • 3 ulas bawang merah – ditumbuk
  • 2 ulas bawang putih – ditumbuk 
  • 2 sm halia – ditumbuk 
  • 1 keping asam keeping 
  • Garam secukup rasa
  • Daun bawang & daun sup – dihiris

2) Ikan Kerisi

Kredit Foto: Azie Kitchen

Ikan kerisi juga membantu menyembuhkan luka dalaman tetapi, ia tidaklah sehebat ikan haruan di mana kesannya hanya sekejap sahaja.

Tetapi, kalau makan ikan haruan hari-hari pun boleh jemu bukan?

Jadi, Mama boleh tukar menu hidangan kepada ikan kerisi pula. Ikan kerisi dipanggang kosong atau disapu garam kunyit sudah memadai.

Resipi Ikan Kerisi Masak Asam:

  • 2 ekor ikan kerisi
  • 1 biji bawang besar – dihiris
  • 5 ulas bawang putih – dihiris
  • 1-2 inci halia – dihiris
  • 1 tangkai cili merah dan hijau – dihiris
  • 1 mangkuk air asam

3) Ikan Tenggiri

Kredit Foto: Wanista

Ikan Tenggiri mengandungi kalori yang agak tinggi dan khasiatnya adalah untuk memberi tenaga dan memberi zat kepada ibu yang menyusukan si manja.

Ikan ini juga mengandungi Omega 3 yang baik untuk kecerdasan dan menghindarkan kecacatan pada bayi. Antara menu untuk hidangan ini adalah singgang ikan tenggiri.

Resepi Singgang Tenggiri:

  • Ikan tenggiri dipotong 3 keping besar
  • 2 cm lengkuas – dihiris nipis
  • 2 cm kunyit hidup – dihiris nipis
  • 3 keping asam gelugur
  • 4 cawan air
  • Garam secukup rasa

4) Ikan Jenahak

Kredit Foto: Airtanganku

Ikan Jenahak hidup di paya bakau, muara dan laut lepas. Ikan ini agak sukar untuk didapati jadi, ia agak mahal berbanding ikan yang lain.

Ikan bergred tinggi ini memiliki struktur daging yang putih, pejal dan manis. Antara menu hidangan ketika berpantang adalah sup ikan untuk ibu berpantang. 

Resipi Sup Ikan Jenahak:

  • 2 potong ikan jenahak
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/2 inci halia
  • 1 batang kayu manis (sederhana kecil)
  • 1 kuntum bunga lawang
  • 2 biji pelaga
  • 2 biji cengkih
  • Bawang goreng
  • Daun sup/bawang
  • Garam secukup rasa
  • Lada hitam/putih
  • Air secukupnya
  • Sedikit minyak untuk menumis
  • Jika suka, tambah sayuran seperti carrot dan tomato, atau lain-lain.

5) Ikan Selar

Kredit Foto: Azie Kitchen

Isi ikan selar rasanya manis dan sangat sesuai untuk ibu berpantang. Harganya juga berpatutan dan lebih mudah untuk didapatkan di pasar.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa jenis ikan selar dan anda harus elakkan daripada memakan ikan selar kuning. 

Ikan selar kuning tidak boleh dimakan kerana akan memberi bisa pada badan yang mempunyai luka dalaman.

Antara menu yang boleh dimasak adalah ikan selar bakar.

Resipi Ikan Selar Bakar Dengan Air Asam:

  • 2 ekor ikan selar – kelar
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 inci halia  
  • Minyak bijan
  • Minyak zaitun
  • Garam

6) Ikan Merah

Kredit Foto: Azie Kitchen

Ikan merah dan ikan jenahak adalah dari keluarga yang sama iaitu snapper. Oleh yang demikian, ia memiliki struktur daging dan khasiat yang hampir sama.

Antara menu yang boleh dimasak dengan ikan untuk ibu berpantang ini adalah masak stim atau sup ikan merah.

Jangan lupa untuk tambahkan halia dalam masakan untuk mendapatkan lebih zat dalam badan.

Resipi Sup Ikan Merah:

  • 1 ekor Ikan Merah 
  • 3 ulas bawang merah – hiris
  • 2 ulas bawang putih – hiris
  • 1/2 inci halia – hiris kasar
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 1 biji ubi kentang – jika suka 
  • 1 batang karot – hiris nipis
  • 1 sudu lada hitam – tumbuk kasar
  • 1-2 sudu kecil MAGGI Cukup Rasa
  • Garam – jika perlu
  • Daun sup / daun bawang
  • Bawang goreng

7) Ikan Bawal Putih

Kredit Foto: Kuali Sakti

Ikan bawal putih ini mempunyai khasiat yang tinggi. Isi ikan ni rasa seperti isi ketam yang pejal. 

Selain dimasak kukus, ikan ni juga sedap digoreng rangup. Tetapi kalau untuk wanita berpantang, anda hanya dinasihatkan untuk makan ikan bergoreng selepas 2 minggu bersalin.

Di peringkat awal, kurangkan pengambilan minyak, kecuali minyak bijan.

Resipi Ikan Bawal Putih Stim Halia:

  • Ikan bawal putih – 1 ekor 
  • Bawang putih – 2 ulas
  • Bawang besar – 2 ulas
  • 1/2 labu
  • Halia – 1 ibu jari
  • Air
  • Kiub pati ayam 1/2 kiub
  • Lemon – 3 hirisan

8) Ikan Senangin

Kredit Foto: Google Image

Ikan senangin pula hampir sama saja seperti ikan selar dari segi khasiat, namun harganya jauh pula berbeza.

Para ibu boleh meminta suami membakar ikan senangin untuk dimakan ketika berpantang. Kalau nak berkuah, mungkin boleh masak singgang.

Resipi Ikan Senangin Kukus:

  • 1 ekor ikan senangin 
  • 1 biji hirisan halia 
  • 1 biji hirisan carrot
  • Hirisan serai 
  • Jus limau nipis 
  • Kiub pati ikan (jika suka) 
  • Garam secukup rasa

9) Ikan Gelama

Kredit Foto: Dari Dapur Aida

Ikan gelama mempunyai isi yang banyak dan khasiat yang penting sebagai ikan untuk ibu berpantang.

Resipi Ikan Gelama Masak Asam:

  • 2 keping isi ikan gelama bunga
  • 1 sudu kecil asam jawa 
  • 2 ulas bawang merah – hiris
  • 2 ulas bawang putih – hiris
  • 1 inci halia – ketuk
  • Garam

10) Ikan Salmon

Ikan salmon memberi banyak kelebihan kepada ibu yang sedang berpantang.

Antaranya ialah ia membantu dalam mengurangkan risiko kemurungan selepas bersalin, memperbaiki fungsi otak, dan membantu membina sistem saraf bayi.

Resipi Ikan Salmon Panggang Masak Lada Hitam

  • 2 keping isi ikan salmon
  • 1 1/2 inci halia – dicincang
  • 1 camca kecil ‘penuh’ lada hitam serbuk – kisar dari lada hitam biji
  • 1/2 camca teh kunyit serbuk 
  • Garam secukup rasa

Sebab-Sebab Ibu Berpantang Harus Memilih Ikan Yang Spesifik:

Mengikut petua tradisional turun-temurun, dikatakan ada beberapa ikan yang boleh membahayakan ibu yang sedang berpantang seperti ikan kembung dan ikan pari.

Ikan-ikan ini perlu dielakkan kerana:

  • Mengakibatkan kegatalan badan kepada ibu yang berpantang.
  • Mungkin akan memberi reaksi gatal, bisa, dan alahan ketika berpantang. 
  • Luka ‘c-section’ lambat sembuh.

Jadi, pilihkan ikan dan makanan pantang yang selamat untuk si ibu yang sedang berpantang untuk mengelakkan perkara di atas. 

Pentingnya Keseimbangan Petua Tradisional Dan Nasihat Doktor

Harap-harap senarai ikan dan resepi ini dapat membantu ibu-ibu yang pertama kali melalui proses berpantang ini.

Ketika menjadi ibu buat pertama kali, banyak perkara yang kita perlu tahu terutamanya apa yang kita makan. 

Setiap orang juga berbeza jadi sebaiknya, makan sedikit dahulu dan jika tiada gatal-gatal pada luka atau tiada alahan, Mama boleh teruskan untuk makan. 

Jangan lupa, dalam kita mengikut petua tradisional, kita juga harus mendengar nasihat doktor juga.

Pentingnya kita harus mempunyai keseimbangan dalam petua tradisional dan juga nasihat doktor demi keselamatan dan kesihatan kita ketika berpantang. 

Semoga senarai dan resipi ini dapat memberi manfaat kepada ibu-ibu di luar sana!

Sumber: Umpan dan Azie’s Kitchen