Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Bersalin Secara Induce: Ketahui Sebab-Sebab Diperlukan Dan Risiko-Risiko Induce Bersalin

Sumber: Adobe Stock

Bersalin secara induce atau bersalin secara induksi ialah kaedah dimana proses bersalin dipercepatkan dengan dorongan perubatan. Ia dilakukan dengan merangsang kontraksi rahim semasa kehamilan sebelum proses bersalin semula jadi bermula dengan sendirinya.

Doktor pakar sakit puan Ibu mungkin akan mencadangkan induce untuk bersalin atas beberapa sebab, terutamanya jika ada kebimbangan atau komplikasi terhadap kesihatan Ibu atau bayi.

Induce bersalin sebenarnya mempunyai lebih banyak faedah daripada risiko. Memahami mengapa dan bagaimana bersalin induce dilakukan dapat membantu Ibu membuat persediaan bersalin yang mencukupi.

Highlighted

Sumber: Adobe Stock

Sebab-Sebab Perlu Bersalin Secara Induce

Untuk menentukan sama ada Ibu perlu bersalin secara induce, doktor pakar sakit puan Ibu akan memeriksa beberapa faktor termasuklah kesihatan Ibu, kesihatan bayi, usia kehamilan, berat badan dan saiz bayi, kedudukan bayi di dalam kandungan, dan status serviks Ibu.

Sebab-sebab yang mungkin berlaku untuk bersalin secara induce merangkumi perkara-perkara berikut:

1. Kehamilan post-penggal. Ini bermakna tarikh jangkaan bersalin atau estimated due date (EDD) sudah lepas hampir dua minggu tetapi Ibu masih belum mengalami kontraksi.

2. Air ketuban Ibu telah pecah tetapi proses bersalin atau kontraksi belum bermula. Apabila air ketuban telah pecah dan proses bersalin belum bermula, ia boleh menjejas kesihatan bayi dalam kandungan.

3. Ibu mengalami chorioamionitis iaitu jangkitan pada rahim Ibu atau dalam air ketuban.

4. Bayi dalam kandungan tidak membesar pada kadar yang sepatutnya. Ini bermakna anggaran berat bayi Ibu adalah kurang daripada persentil ke-10 usia kehamilan.

Sumber: Getty Images

5. Air ketuban dalam kandungan tidak mencukupi. Ini dipanggil oligohydramnios.

6. Ibu menghidap diabetes yang bermula semasa hamil yang dipanggil gestational diabetes.

7. Gangguan tekanan darah tinggi semasa hamil yang mendatangkan komplikasi seperti preeclampsia dan gestational hypertension.

8. Gangguan plasenta dimana plasenta jatuh daripada dinding rahim sebelum bersalin, sama ada sebahagian atau sepenuhnya.

9. Masalah kesihatan lain seperti obesiti atau penyakit buah pinggang.

Ada juga ibu hamil yang pilih untuk induce bersalin secara sukarela. Selalunya ia dilakukan untuk memudahkan proses bersalin.

Sebagai contoh, Ibu mungkin duduk jauh dari hospital yang dipilih jadi memilih untuk induce bersalin dapat memastikan Ibu berada di hospital semasa proses bersalin bermula, terutamanya jika Ibu ada pengalaman atau sejarah bersalin dengan cepat.

Risiko-Risiko Bersalin Secara Induce

Walaupun ramai ibu hamil yang akan mendapat manfaat daripada induce bersalin, ia juga datang dengan beberapa risiko.

1. Kira-kira 75% ibu yang bersalin buat kali pertama akan berjaya melahirkan anak melalui induksi. Sekitar 25% wanita pula akan gagal bersalin secara induksi.

Ini bermakna serviks tidak cukup matang untuk memulakan proses bersalin, jadi kaedah bersalin secara C-section diperlukan.

Doktor pakar puan akan selalunya membincangkan dahulu kebarangkalian untuk pembedahan C-section dilakukan.

Sumber: Getty Images

2. Ubat-ubatan yang digunakan untuk mendorong atau induce proses bersalin seperti oxytocin atau prostaglandin boleh menyebabkan kontraksi yang tidak normal atau berlebihan. Ini dapat mengakibatkan kekurangan bekalan oksigen kepada bayi anda dan menurunkan degupan jantung bayi.

3. Sesetengah kaedah induce untuk bersalin seperti memecahkan air ketuban boleh meningkatkan risiko jangkitan pada ibu dan bayi dalam rahim. Air ketuban yang sudah pecah dalam tempoh yang berpanjangan boleh meningkatkan risiko jangkitan lagi.

4. Bersalin induce boleh mengakibatkan rahim pecah, terutama sekali jika Ibu pernah bersalin secara C-section atau membuat pembedahan rahim sebelum ini. Ini adalah komplikasi atau risiko yang jarang berlaku tetapi sangat serius kerana boleh mengakibatkan rahim terpaksa dikeluarkan terus.

5. Bersalin secara induce boleh meningkatkan risiko untuk otot rahim tidak dapat membuat kontraksi secara sempurna selepas bersalin yang boleh menyebabkan pendarahan berlebihan dan serius selepas bersalin.

Tips-Tips Untuk Mengelakkan Bersalin Secara Induce

Ada di kalangan ibu hamil yang tidak mahu langsung bersalin secara induce melalui perubatan kerana takut dengan risiko-risiko yang mungkin berlaku.

Apa yang boleh dilakukan oleh ibu hamil yang sudah melebihi tarikh jangkaan bersalin (EDD) lebih dari satu atau dua minggu ialah mencuba kaedah-kaedah untuk induce proses bersalin secara semula jadi.

Sebelum mencuba, pastikan Ibu mendapat kelulusan dari doktor pakar sakit puan.

1. Berjalan-jalan dengan lama dikatakan dapat mempercepatkan proses bersalin, jadi ini boleh menjadi kaedah untuk mengelakkan bersalin secara induce melalui perubatan.

Tambahan pula, berjalan-jalan adalah aktiviti kardio ringan yang memang disarankan untuk ibu mengandung.

2. Memakan makanan yang pedas adalah salah satu teori popular untuk induce bersalin secara semula jadi.

Walau bagaimanapun, tiada kajian yang bernas telah dibuat tentang kaitan makanan pedas dengan proses bersalin, jadi Ibu perlu berjaga-jaga jika mencuba kaedah ini.

Takut kalau makan terlalu banyak makanan pedas, boleh membuatkan Ibu sakit perut atau pedih ulu hati!

Sumber: Getty Images

3. Salah satu kaedah popular dari negara Barat untuk mempercepatkan proses bersalin ialah dengan meminum teh daun raspberry. Tiada kajian kukuh telah dilakukan untuk teori ini, tapi teh daun raspberry mempunyai zat besi dan kalsium yang tinggi dan ia baik untuk ibu hamil.

4. Membuat hubungan seks juga dikatakan dapat mempercepatkan proses bersalin dan ia adalah kaedah semula jadi untuk induce proses bersalin. Seks dikatakan melepaskan prostaglandin, iaitu hormon yang menyerupai ubat yang digunakan untuk induce bersalin melalui perubatan.

5. Kalau Ibu pernah membuat acupuncture sebelum ini, ia dikatakan dapat induce proses bersalin. Beberapa kajian menunjukkan bahawa ia dapat membantu wanita yang hamil kurang daripada 40 minggu, tapi tidak berkesan jika usia kehamilan lebih dari 40 minggu.

6. Ibu juga boleh cuba menstimulasikan puting payudara dengan menggunakan pam payudara selama beberapa minit seolah-olah bayi sedang menyusu. Ini akan membuatkan tubuh badan Ibu bersedia untuk memulakan proses bersalin.

Sumber: Getty Images

Sekiranya induce bersalin berjaya dicapai oleh Ibu sama ada secara perubatan atau semula jadi, dan setelah kontraksi Ibu berjalan seperti normal, proses bersalin pun akan susuli seperti biasa.

Semoga bermanfaat dan selamat melalui proses bersalin yang mudah!